10 FAKTA MENARIK IBADAH KORBAN
Islam merupakan agama yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Baginda menunjukkan contoh kepada umatnya bagaimana pelaksanaan ibadah-ibadah dalam Islam.
Setiap panduan yang menjadi ikutan dan amalan itu kemudiannya akan diberi ganjaran oleh ALLAH SWT. Inilah antara hikmah secara umum bagi ibadah korban dan semua ibadah yang telah disyariatkan ke atas umat Islam pada hari ini iaitu dengan mencontohi amalan Rasulullah SAW dengan niat mengikuti sunnah baginda.
Dan berkorban merupakan salah satu ibadah yang agung sebagaimana yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim kepada anaknya Nabi Ismail bagi memenuhi perintah Allah SWT.
Rentetan daripada peristiwa inilah disyariatkan untuk kita melaksanakan ibadah korban. Untuk itu, di sana terdapat beberapa buah hadith yang menceritakan berkaitan kelebihan berkorban. Antaranya:
مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا
Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).”
Riwayat al-Tirmizi (1493)
Di sini ingin saya kongsikan 10 fakta menarik tentang ibadah korban.
- Haiwan sembelihan haruslah diambil dari jenis baka yang elok dan tiada sebarang kecacatan seperti buta, tempang, kurus, tanduk patah dan lain-lain penyakit.
- Mereka yang melaksanakan ibadah korban dilarang untuk memotong kuku serta menggunting rambut bermula 1 Zulhijjah sehingga selesai ibadah korban tersebut.
- Bagi mereka yang melaksanakan ibadah korban, sunat baginya untuk menyembelih haiwan tersebut menggunakan tangannya sendiri.
- Penyembelihan haiwan dilakukan setelah selesai solat sunat Aidiladha dan dibenarkan melakukan penyembelihan semasa 11, 12, dan 13 Zulhijjah.
- Seseorang dibenarkan berkorban dan berkongsi pahalanya bagi dirinya sendiri serta bagi pihak keluarganya dengan seekor kambing atau sebahagian daripada tujuh bahagian itu.
- Bagi memastikan haiwan sembelihan tidak terseksa dan mati dengan serta-merta, pisau yang digunakan haruslah tajam dan penyembelihan harus dilakukan dengan cepat.
- Ibadah korban dilaksanakan selepas selesai mengerjakan solat sunat Hari Raya Aidiladha.
- Adalah sunat untuk keluarga yang melaksanakan ibadah korban untuk memakan dan menghadiahkan sebahagian daging tersebut kepada orang yang lain.
- Bagi mereka yang menyembelih haiwan korban sebelum solat sunat aidiladha, sembelihan itu hanya menjadi daging yang boleh disedekahkan dan bukan daging korban.
- Solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha dilakukan di masjid atau di tempat yang terbuka di mana khatib tersebut dapat melihat keseluruhan hadirin yang hadir.
Kesimpulannya, Hari Raya Haji bukan sekadar perayaan tahunan, tetapi ianya untuk mengingatkan kita tentang peristiwa Nabi Ibrahim A.S.
Dari peristiwa tersebut, terdapat pengajaran yang boleh kita ikuti.
Sebagai contoh, walaupun perintah Allah S.W.T didatangkan dalam pelbagai bentuk, kita harus melaksanakannya dengan hati terbuka sebagai tanda keimanan kita terhadap Yang Maha Esa.
Oleh itu, bagi mereka yang berkemampuan, laksanakan ibadah korban ini dan kongsikan hasil korban tersebut dengan mereka yang memerlukan.
Tag:#korban, #Zulhijjah, ustazustazahcom