10 SIFAT YANG PERLU ADA DALAM DIRI MUKMIN
Agama Islam memberi perhatian yang sangat besar mengenai akhlak seseorang. Berdasarkan bahasa, akhlak bererti budi pekerti atau kelakuan seseorang. Sementara berdasarkan istilah, akhlak bererti kumpulan sifat yang dimiliki oleh seseorang yang melahirkan perbuatan baik dan buruk.
Bagi seorang muslim, akhlak yang terbaik ialah seperti yang terdapat pada diri Nabi Muhammad SAW karena sifat-sifat dan perangai yang terdapat pada dirinya adalah sifat-sifat yang terpuji dan merupakan contoh teladan terbaik bagi seluruh umat. Malahan Baginda SAW diutuskan untuk memperbaiki akhlak kita. Sepertimana sabdaan Baginda:
Dari Malik Nabi SAW bersabda,
“بُعِثْتُ لأُتَمِّمَ حُسْنَ الأَخْلاَقِ ”
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik.”
Hadis riwayat Ahmad
Imam Ghazali menggariskan 10 Sifat Mahmudah (terpuji) yang boleh disemai dan diterapkan dalam diri kita.
Taubat
Keazaman untuk meninggalkan segala kesalahan dan dosa-dosa besar, melalui jalan ilmu, penyesalan dan niat untuk tidak mengulanginya.
Takut akan Allah SWT
Perasaan takut terhadap Allah akan membuatkan seseorang itu melipatgandakan amalan soleh dan meninggalkan laranganNya.
Mahabbah
Mengasihi Allah dan Rasul melebihi segala yang lain akan melahirkan rasa cinta kepada agama dan rela berjuang kerana mempertahankan Islam.
Zuhud
Kehidupan insan Mukmin yang mengekang jiwa daripada segala rupa kesenangan dunia yang berlebihan dan meninggalkan perkara yang tidak baik.
Sabar
Perasaan memujuk jiwa dengan keimanan. Ia merangkumi sabar atas ketaatan dan juga sabar dalam menjauhi maksiat.
Syukur
Bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat kesihatan,rezeki,kemudahan hidup,kurniaan pancaindera dan sebagainya.
Ikhlas dan benar
Untuk mencapai tingkatan ikhlas ini,amat dituntut untuk mematahkan dorongan hawa nafsu dan kasih akan dunia.
Tawakal
Tawakal ialah meletakkan pergantungan hanya pada Allah SWT setelah berazam. Seterusnya diikuti dengan usaha.
Reda dengan qadak Allah
Segala ketentuan Allah sama ada baik atau buruk diterima dengan syukur atau sabar oleh insan Mukmin.
Mengingati mati
Sepintar-pintar manusia ialah orang yang sentiasa ingat pada mati dan sentiasa bersedia menghadapinya, mereka itulah orang yang bijaksana.
Inilah 10 sifat mahmudah (terpuji) yang digariskan oleh Imam Ghazali untuk panduan kita bersama. Moga-moga sifat ini kita dapat tanam dalam diri dan amalkan sebagai satu cara hidup Mukmin. Ya Allah abadikan hati ini dengan sifat-sifat mahmudah dan jadikanlah kami dari hamba-hambaMu yang bertakwa. Aamin.
Tag:#mukmin, carahidup, ustazustazahcom