Suburkan Syukur
‘Maka, nikmat Tuhan-mu yang manakah yang kamu dustakan?’
(surah Ar-Rahman:13)
Sebanyak 31 kali ayat diatas diulang-ulang dalam surah Ar-Rahman. Tapi adakah kita terfikir, nikmat Allah yang manakah kita dustakan? Adakah kita sedar kita sedang mendustakan nikmat yang diberikan? Atau sengaja mendustakannya? Apakah nikmat Allah? Nikmat merupakan suatu anugerah Ilahi kepada manusia. Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, nikmat ialah suatu kesenangan, keselesaan dan kesedapan. Tidakkah kita sedar bahawa kita sentiasa dikelilingi nikmat sejak bayi sehingga dewasa, dari bangun tidur sehingga tidur semula. Nikmat itu adalah rezeki yang diberi oleh Allah kepada kita.
Setiap kali bermula hari baru, kita tersedar dari dinginnya pagi. Diberi peluang menghirup udara segar dan masih bernafas untuk menjalani kehidupan sebagai seorang hambaNya. Sedarkah kita setiap helaan nafas itu adalah nikmat dari Allah yang tidak terhitung dek jari dan manusia. Setiap degup jantung yang mengalirkan darah dan oksigen ke setiap vena melalui kapilari darah ke seluruh tubuh manusia, juga merupakan nikmat terbesar Allah SWT. Hidup dalam sebuah keluarga yang masih mempunyai kedua orang tua dan adik-beradik, juga adalah satu nikmat. Tidak sedarkah akan kita tentang luasnya nikmat Allah buat kita?
Ya, kita hanya manusia. Yang imannya naik dan turun. Yang kadang bicara bibirnya tidak selari dengan hati dan akal. Hanya kerana satu nikmat yang Allah tarik, kita dustakan semua nikmat lain yang ada. Sedangkan hakikatnya, semua diatas muka bumi ini hanyalah pinjaman, hatta ibu dan bapa kita. Besar makna dan pengorbanan dua orang insan yang digelar ibu dan bapa. Besar juga impak dan kesan yang dirasai akan kehilangan salah seorang daripada mereka. Kadang kita lupa, mereka hanya pinjaman sahaja. Pinjaman dari Allah yang sangat bermakna buat kita. Hilang mereka didunia, seolah-olah separuh nyawa kita juga dibawa pergi bersama.
Acapkali kita dengar kata-kata yang diungkap oleh manusia jika ditimpa musibah. ‘Allah tidak akan uji seseorang itu diluar kemampuannya’. Jika hati tengah rapuh, kata-kata itu seakan tidak relevan dek akal. Tapi janganlah kita lupa sahabat, Allah itu sentiasa ada dengan kita. Tidak salah untuk engkau bersedih. Rasulullah juga menangis. Tidak salah untuk berduka mengenangkan yang tiada. Serangkap Al-Fatihah sangat bermakna buatnya. Tidak salah untuk menyendiri. Berbicaralah dengan Ilahi, Dia lebih memahami dan mengetahui segala hal dan isi duniawi dan ukhrawi. Tetapi perlu ingat sahabat, kata-kata yang seakan tidak relevan tadi sebenarnya mendalam maknanya.
Kau perlu syukur dengan nikmat yang masih ada. Kau perlu yakin semua yang terjadi ada hikmah yang tersembunyi. Boleh jadi kau merasakan sesuatu itu tidak baik buatmu sedangkan ia baik buatmu dan sebaliknya. Allah Maha Mengetahui. Setiap nikmat perlu diikuti dengan kesyukuran. Bukan terus menerus meratapi nasib yang seolah tiada nikmat lain yang Allah beri. Barangkali nikmat yang ditarik darimu hanya sedikit berbanding insan lain yang hilang pancaindera, kurang anggota badan dan tinggal sebatang kara. Lihatlah sekeliling agar dapat menyuburkan syukur dihati. Jangan mendongak langit, tetapi pandanglah ke bawah dengan hati. Nilaikan setiap apa yang ada didepan mata. Nikmat dan syukur perlu seiring. Suburkan syukur nescaya hatimu lapang untuk terus melangkah. Alhamdulillah.