BAHAGIA DENGAN SALAM
Dari sudut bahasa, menurut Kamus Dewan, salam bermaksud sejahtera, damai dan hormat. Ibn Manzhur berkata di dalam kitabnya, salam bermaksud selamat, sejahtera dan juga berlepas diri.
Dari sudut istilah, salam merupakan ucapan penghormatan yang diucapkan oleh orang yang beragama Islam kepada saudaranya. Maksud ini diambil berdasarkan firman Allah SWT, maksudnya: “Dan ucapan penghormatan mereka padanya ialah, Selamat sejahtera”, Surah Yunus, 10.
“Sesungguhnya manusia yang paling utama di sisi Allah adalah yang terlebih dahulu mengucapkan salam.” (HR Abu Dawud).
Agama Islam menganjurkan umatnya agar sentiasa menjaga dua hubungan iaitu Hablum Minallah dan Hablum Minannas. Hubungan dengan Allah ialah dengan kita beribadah dan mentaati segala suruhanNya dan menjauhi segala laranganNya. Manakala hubungan dengan manusia pula ialah kita melaksanakan kewajipan dan menunaikan hak-hak sesama kita seperti saling menghormati, menyayangi, menasihati, dan semestinya memberi salam.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Mereka tidak akan masuk syurga sehingga mereka beriman dan tidak beriman mereka itu sehingga mereka berkasih sayang. Adakah kalian mahu aku tunjukkan sesuatu yang mana apabila kalian mengerjakannya nescaya kalian akan saling menyayangi sesama kalian? Sebarkanlah salam sesama kalian”, Riwayat Muslim, 81.
DENGAN MEMBERI SALAM, TERCETUSNYA PERDAMAIAN.
Dalam bahasa Arab, kalimah al-Salam bermaksud keselamatan, keamanan dan kebebasan daripada keaiban. Dalam kaedah syariat, salam sering diucapkan dengan kalimat ‘Assalamu’alaikum’ (السلام عليكم) yang bererti “Selamat Sejahtera Ke Atas Kamu”.
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Hendaklah orang yang menaiki kenderaan memberi salam kepada orang yang berjalan dan orang yang berjalan memberi salam kepada orang yang duduk dan orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang ramai”. Riwayat al-Bukhari, 5765, Riwayat Muslim, 4019.
Begitu indah dan teraturnya agama Islam ini. Sesungguhnya memberi salam itu adalah amalan yang sangat mulia. Ia merupakan ucapan penghormatan yang ditujukan kepada saudara sesama Muslim sama ada yang dikenali mahupun tidak. Terus-menerus kita saling mendoakan selamat sejahtera ke atas orang lain, dan orang itu akan balas seperti itu juga malah lebih baik lagi terhadap kita. MasyaAllah. Alangkah cantik dan syumulnya agama Islam ini dalam menjaga setiap perlakuan manusia.
Dengan memberi salam, Islam memberi peluang yang sangat luas kepada kita untuk meraih pahala dengan mudah. Namun, kita perlulah melakukannya dengan niat yang ikhlas kerana Allah semata. Islam Agama Damai, Islam Agama Sejahtera.
MEMBERI SALAM, PAHALA BERGANDA
Dengan memberi salam, kita akan diberikan pahala yang berlipat ganda dan ganjaran yang setimpal dengan apa yang telah kita amalkan. Allah berfirman, mafhumnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”. al-Nisa’, 86.
Malah para malaikat sering mendoakan orang yang sentiasa murah akan mengucapkan salam kepada orang lain. “Apabila seseorang Islam itu memberi salam kepada orang Islam lalu salam itu dibalasnya, maka berdoalah para malaikat untuknya 70 kali.” (Hadis Riwayat Sahibul Firdaus daripada Abu Hurairah).
Selain itu, kita hendaklah juga berjabat tangan dengan saudara sesama Islam. Lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan. Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Tidaklah dua orang Muslim bertemu lalu berjabat tangan, melainkan dosa keduanya sudah diampuni sebelum mereka berpisah”, HR Abu Daud, 5212. Dengan berjabat tangan juga dapat meredakan kedengkian, memperteguhkan kasih sayang serta mendapat rahmat daripada Allah.
Justeru, eratkanlah hubungan silaturahim sesama kita dengan mengamalkan memberi dan menjawab salam itu sebagai satu budaya dan rutin dalam kehidupan seharian kita. Sebarkanlah salam nescaya kita akan selamat. Semoga amalan ini menjadi asas pengukuhan kepada perpaduan agar kita sentiasa beroleh keselamatan, kerahmatan dan keberkatan Allah.