KENAPA KAU HIDUP?
Alhamdulillah, anda masih hidup lagi pada hari ini. Saya berharap hari anda dimulakan dengan basmalah yang diikuti dengan hamdalah (doa bangun tidur), semoga kehidupan anda pada hari ini diberkati.
Saya ada satu soalan untuk anda. Dalam menjalani kehidupan seharian, pernahkah anda terfikir, untuk apa anda hidup? Sekiranya pernah, maka teruskanlah membaca artikel ini, kerana artikel ini sememangnya untuk anda.
APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN HIDUP?
Menurut kamus dewan, definisi bagi perkataan Hidup adalah: Bernyawa dan bernafas. Namun begitu, adakah hidup ini cukup sekadar bernyawa dan bernafas? Apa pendapat anda?
Buya Hamka pernah berkata: “Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup.
Kalau bekerja sekadar bekerja, kera juga bekerja.”
Sekiranya anda setuju bahawa hidup ini cukup sekadar bernyawa dan bernafas, maka adakah anda setuju diri anda disamakan dengan khinzir dan monyet di hutan?
Saya berharap jawapan anda adalah tidak.
APA KATA ALLAH SWT?
Allah SWT berfirman di dalam kitab suci Al-Quran:
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Surah Adh-Dhariyat 51:56
Berdasarkan ayat ini, dapat kita simpulkan bahawa tujuan kita diciptakan dan dihidupkan adalah semata-mata untuk beribadat kepada Allah SWT. Ini bukanlah bermaksud hidup kita ini hanyalah untuk solat, puasa, sedekah dan sebagainya semata. Bahkan, ibadat disini merangkumi segenap aspek perbuatan-perbuatan baik yang dilakukan kerana Allah SWT.
APA KATA ORANG AWAM?
Bila ditanya kepada orang awam, terutamanya anak muda, ada yang menjawab bahawa hidup adalah untuk berseronok dan bermewah-mewahan semata. Allah SWT menidakkan jawapan sebegini dengan firman-Nya di dalam Al-Quran:
(Ingatlah) bahawa kehidupan dunia (yang tidak berdasarkan iman dan taqwa) hanyalah ibarat permainan dan hiburan; dan jika kamu beriman serta bertaqwa, Allah akan memberikan kamu pahala amal kamu, dan Ia tidak meminta kepada kamu harta benda kamu (melainkan untuk memberikan kamu barang yang lebih baik daripadanya). Surah Muhammad 47:36
Seterusnya Allah SWT berfirman:
Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. Surah al-Hadid 57:20
Berdasarkan daripada ayat-ayat ini, tahulah kita bahawa segala apa yang ada di dunia ini tidak akan kekal. Jadi amatlah rugi bagi mereka yang menyangka bahawa kehidupan dunia ini sekadar untuk berseronok dan bermewah-mewahan sahaja.
Gunakanlah rezeki yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita, untuk melakukan perbuatan-perbuatan baik, seperti bersedekah, memajukan ekonomi umat islam atau menjadi suara umat islam di persada dunia. Niatkan kerana Allah SWT, agar amalan tersebut dikira sebagai ibadah. Nikmati ibadah yang dilakukan agar kita mula rasa seronok melakukan perkara yang baik.
Kesimpulannya, Allah SWT menghidupkan anda sekarang semata-mata untuk beribadah kepadanya. Jadi, tidak kisahlah apa pun erti kehidupan di sisi anda, pastikan ia berlandaskan ibadah kepada Allah SWT. Pastikan matlamat kita adalah matlamat yang baik, yang diniatkan kerana Allah SWT, agar matlamat hidup kita turut dikira sebagai ibadah. Semoga kita semua berjaya di dunia dan di akhirat.