JAULAH NADI AL-QURAN KE ZOO NEGARA!
7 September 2022 (Rabu)- Buat julung-julung kalinya Ustazustazah Dot Com Sdn Bhd mengelolakan sebuah program lawatan sambil belajar yang dinamakan Jaulah Nadi Al-Quran ke Zoo Negara Kuala Lumpur. Seawal 7.15 pagi telah hadir pelajar Nadi Al-Quran dan berkumpul di surau Kg Sri Melenggang. Ada juga yang hadir dari waktu Subuh lagi. Alhamdulillah, dapat mereka solat Subuh berjemaah bersama. Jaulah ialah kata nama dari Bahasa Arab yang bermaksud rombongan, jalan-jalan atau bersiar-siar. Jaulah kali ini diadakan bagi pelajar Nadi Al-Quran Sri Melenggang seramai 22 orang dan melibatkan 8 orang pengiring terdiri daripada kru Ustazustazah Dot Com Sdn Bhd.
Perjalanan bermula seawal jam 8.00 pagi menaiki sebuah bas dan mengambil masa dalam 3 jam untuk tiba di Zoo Negara. Sebelum tiba di Zoo Negara, kru UUC membawa pelajar Nadi Al-Quran bersarapan di sebuah RnR berdekatan. Anak-anak Nadi Al-Quran sangat teruja ingin tiba di zoo sehinggakan sepanjang perjalanan tiada seorang dalam kalangan mereka yang tidur.
“Dah sampai ke ustazah?” “Lama lagi nak sampai ke ustazah?”
Itulah antara persoalan-persoalan yang keluar dari mulut anak-anak ini. Penuh keterujaan. Sesi lawatan di zoo mengambil masa kira-kira 3 jam 30 minit. Mereka juga berkesempatan melihat pertunjukan haiwan yang melibatkan singa laut, burung kakak tua, binturong, merpati dan juga ayam. Walaupun ada dalam kalangan mereka yang hampir putus asa, tidak mahu meneruskan perjalanan mengelilingi Zoo Negara kerana kepenatan tetapi, setiap kali mereka melihat dan mengamati haiwan-haiwan ini, penat mereka seolah-olah hilang sebentar. Kegembiraan dan keterujaan mengatasi segalanya.
Pendedahan sebegini sangat baik buat anak-anak yang sedang membesar kerana dapat meningkatkan pengetahuan am, memupuk perasaan sayang dan kesedaran tentang habitat haiwan dan kepentingannnya terhadap keseimbangan ekosistem. Selain dapat mendekatkan diri dengan merenung ciptaan Allah yang pelbagai rupa dan fungsinya. Program ini juga dapat memberi pengalaman yang baru dan nilai buat anak-anak Nadi Al-Quran untuk lebih bersemangat dan minat terhadap pengajian Al-Quran.