ADAB BERDOA
Doa merupakan satu ibadah yang menunjukkan tanda kehambaan kepada Allah -subhanahuwaTa’ala- . Permohonan seseorang hamba kepada Tuhannya perlulah diikuti dengan adab-adabnya, antaranya ialah :
1.Mengikhlaskan hati kepada Allah -subhanahuwaTa’ala-
Ikhlas dalam berdoa adalah antara syarat utama penerimaan doa. Ikhlas adalah ruh kepada ibadah dan merupakan syarat diterima sesuatu amalan. Allah -subhanahuwaTa’ala-memerintahkan kita agar mengikhlaskan ibadah kita kepada Nya sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ghafir ayat ke-14 :
﴿فَادْعُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ١٤﴾ [غافر: 14]
Maksudnya : «Oleh itu maka sembahlah kamu akan Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya (dan menjauhi bawaan syirik), sekalipun orang-orang kafir tidak menyukai (amalan kamu yang demikian)»
2.Memuji-muji Allah dan berselawat keatas Nabi -sallallahu’alaihiwasallam- sebelum berdoa.
Sebagaimana sabda Nabi -sallallahu’alaihiwasallam- yang diriwayatkan oleh Fadhalah bin ‘Ubaid r.a., katanya:
سمعَ النبيُّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ رجلًا يَدْعُو في صلاتِهِ فلمْ يُصَلِّ على النبيِّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ فقال النبِيُّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ عَجِلَ هذا ثُمَّ دعاهُ فقال لهُ أوْ لغيرِهِ إذا صلَّى أحدُكُمْ فَلْيَبْدَأْ بِتَحْمِيدِ اللهِ والثَّناءِ عليهِ ثُمَّ لَيُصَلِّ على النبيِّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ ثُمَّ لَيَدْعُ بَعْدُ بِما شاءَ
Maksudnya : “Rasulullah -sallallahu’alaihiwasallam- pernah mendengar seorang yang berdoa dalam solatnya, tetapi ia tidak mengucapkan puji-pujian kepada Allah Ta’ala dan tidak pula membaca selawat kepada Nabi -sallallahu’alaihiwasallam- , lalu Rasulullah -sallallahu’alaihiwasallam- bersabda: “Tergesa-gesa sekali orang ini,” kemudian orang itu dipanggilnya. Nabi s.a.w. lalu bersabda pada orang itu atau pada orang lain juga: “Jikalau seorang diantara engkau semua hendak berdoa, maka hendaklah memulai dengan mengucapkan puji-pujian kepada Tuhannya yang Maha Suci serta puji-pujian padaNya, selanjutnya membaca selawat kepada Nabi s.a.w., seterusnya bolehlah ia berdoa dengan apa yang dikehendaki olehnya.” (HR Tirmizi : 3477)
Contoh terdekat yang boleh kita lihat dan perhatikan adalah sebagaimana yang terdapat dalam surah al-Fatihah, Allah -subhanahuwaTa’ala-mendahulukan puji-pujian atas diriNya daripada ayat pertama hinggalah ke ayat yang ke lima. Kemudian pada ayat yang keenam, ia diikuti dengan permintaan atau doa yang pertama iaitu:
اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ
Maksudnya: Berilah kami hidayah kepada jalan yang lurus. (Surah al-Fatihah: 6)
3. menaruh sepenuh kepercayaan bahawa Allah akan memperkenankannya.
Seseorang hamba hendaklah meminta kepada Allah -subhanahuwaTa’ala-dalam keadaan dirinya bersangka baik dengan-Nya agar permintaan itu dimustajabkan, dan seseorang itu juga perlulah berdoa dalam keadaan penuh harap agar doa dimustajabkan dan perlu menghadirkan perasaan takut daripada doanya tertolak. Sepertimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah -radiyallahu’anhu- bahawa Rasulullah -sallallahu’alaihiwasallam- bersabda:
ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ
Maksudnya: Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin bahawa ianya akan dimustajabkan. Dan ketahuilah kamu bahawa Allah tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa. (HR al-Tirmizi : 3479)
Kesimpulannya, marilah kita memperbanyak doa serta memohon kepada Allah dengan menjaga adab-adabnya, serta sentiasalah mengingati Allah -subhanahuwaTa’ala- sama ada ketika kita senang mahupun susah. Sabda Nabi -sallallahu’alaihiwasallam- :
مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَسْتَجِيبَ اللَّهُ لَهُ عِنْدَ الشَّدَائِدِ وَالْكُرَبِ، فَلْيُكْثِرِ الدُّعَاءَ فِي الرَّخَاءِ
Maksudnya: “Siapa yang suka Allah terima doanya ketika kesukaran dan kepayahan, maka hendaklah dia membanyakkan doa pada masa kemewahan dan kesenangan.” (HR al-Tirmizi : 3382)