KEPIMPINAN DALAM ISLAM
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seseorang raja atau pemimpin itu, nescaya dijadikan baginya pembantu (menteri atau penasihat) yang benar dan ikhlas. Jika pemimpin itu lupa atau leka, nescaya diberikan peringatan, jika pemimpin itu mengingati, nescaya akan diberikan pertolongan kepadanya. Sebaliknya jika Allah menghendaki selain daripadanya (keburukan) kepada pemimpin itu, nescaya dijadikan baginya pembantu yang jahat. Jika pemimpin itu lupa dan lalai, nescaya tidak diberikan peringatan, dan jika dia mengingati, nescaya tidak akan diberikan pertolongan kepadanya.” (Riwayat Abu Dawud 2932)
Menurut perspektif Islam, kepimpinan merupakan sesuatu amanah yang wajib dilaksanakan dengan sebaik-baiknya, manakala pemimpin pula adalah orang yang bertanggungjawab dalam mengurus, mentadbir dan menjaga apa yang diamanahkan kepadanya. Antara yang perlu dijaga oleh seseorang pemimpin ialah menjaga dirinya daripada melakukan perbuatan mungkar dan menunaikan kewajipan syarak serta tugas-tugas yang dipikulkan kepadanya dengan baik dan adil.
Qudwah Hasanah
Kepimpinan bukan sahaja dikaitkan dengan tanggungjawab kepimpinan dalam bentuk kelompok, bahkan kepada diri sendiri seperti mengawal pancaindera supaya sentiasa penuh mentaati Allah, menjauhi larangan-Nya, baik dalam bentuk perkataan, perbuatan mahupun dari sudut aqidah dan keyakinan sehingga mengakibatkan penyelewengan. Matlamatnya pula adalah untuk mempertingkatkan kualiti diri bagi melahirkan kepimpinan melalui teladan atau menjadi ‘qudwah hasanah’ yang seterusnya akan menghasilkan tokoh-tokoh pemimpin yang menjadi ikutan ramai dan pimpinan kepada orang lain serta masyarakat dari kelompok yang sedikit kepada yang lebih besar.
Amanah
Justeru itu pemimpin mestilah berusaha mempertingkatkan kualiti diri dan kualiti kepimpinannya ke tahap yang lebih cemerlang. Kepimpinan dalam Islam bukanlah alat untuk memperoleh kekayaan, pangkat dan kesenangan hidup di dunia semata-mata, malah ianya merupakan amanah yang wajib ditunaikan demi kesejahteraan umat manusia seluruhnya. Kelalaian dan kegagalan pemimpin dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah tersebut sama ada pemimpin yang memimpin dalam keluarga dan rumah tangga, masyarakat atau negara akan mengakibatkan penyesalan dan kerugian di hari akhirat kelak.
Tanggungjawab dan konsep kepimpinan Islam
Tegasnya, tugas kepimpinan yang telah digariskan dalam Islam ialah mendaulatkan kalimah Allah di pelbagai tahap dan peringkat tanggungjawab masing-masing. Umpamanya seorang lelaki yang telah berkeluarga mempunyai tanggungjawab yang lebih banyak berbanding mereka yang belum ada tanggungan, kerana ianya harus menunaikan tanggungjawab kepada dirinya dan keluarganya. Begitu juga seorang suami yang diberi amanah yang lain sebagai pemimpin masyarakat akan lebih berat tanggungjawab terhadap keluarga dan negara.
Oleh itu, konsep kepimpinan yang berjaya menuntut supaya Islam yang merangkumi konsep iman dan amal salih dapat ditegakkan dalam diri setiap individu, keluarga dalam organisasinya, masyarakat dan negara sehingga kesepaduan antara kepentingan dunia dan akhirat dapat dicapai.
Secara tuntasnya, kita sebagai umat islma dan umat Nabi Muhammad SAW yang diberi amanah tanggungjawab oleh Allah sebagai khalifah untuk memakmurkan alam ini daripada segala kemungkaran dan kefasiqkan dengan tugas kepimpinan yang tertentu mengikut tahap dan peringkat yang berbeza-beza, iaitu sebagai individu, ahli keluarga, pemimpin masyarakat, pemimpin bangsa dan pemimpin negara adalah bertanggungjawab bagi meneruskan risalah dan perjuangan Baginda Rasulullah SallallahuAlaihi Wasallam, demi kebaikan dan kesejahteraan seluruh umat manusia.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tidak ada seorang hamba yang diberikan tanggungjawab untuk memelihara rakyat sedangkan dia tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik (perkataan nasihah di sini membawa maksud suci, jujur atau telus), melainkan mereka ini akan diharamkan daripada dapat mencium bauan syurga.” (Sahih al-Bukhari, no: 7150).