URI: PENEMAN BAYI YANG PERLU KITA PEDULI
Menurut kalam penulisan Dato’ Ismail Kamus di dalam bukunya, Indahnya Hidup Bersyariat, uri didefinisikan sebagai al-Mashimah di dalam bahasa arab. Uri juga dikenali sebagai plasenta yang keluar sesudah seseorang bayi dilahirkan.
Seperti yang kita sedia maklum, uri adalah satu organ yang bersambung dengan tali pusat yang berfungsi sebagai alat yang membekalkan makanan dan oksigen kepada bayi di dalam kandungan. Secara peribadi, tugas uri itu sendiri sangat murni dan tinggi jasanya kepada sang isteri dan zuriat yang sedang dikandungnya.
Masakan tidak, tanpa uri ini, mustahil si kecil zuriat tercinta mampu membesar di dalam perut sang isteri. Tanpa uri juga yang bertindak sebagai pelindung dan pembantu ini mana mungkin si bayi boleh berkembang tumbesarannya secara menyeluruh dari awal kandungan sehingga akhir kandungan. Seperti yang dinaqalkan oleh Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fatani dalam Matla` al-Badrayn (1/346) menyebut: “Wajib dikerat tali pusat kanak-kanak setelah dilahirkan dengan berlalu sedikit masanya.”
Uri Menurut Pandangan Islam.
Menurut pandangan Islam, uri adalah sesuatu yang suci dan ia bukannya najis. Malah, uri sama sekali tidak boleh dijual mahupun diperdagangkan kepada orang lain. Maka dengan sebab itu, uri perlu diurus dan ditanam dengan cara yang baik. Hal ini juga menunjukkan betapa Islam ini agama yang sangat syumul dalam menjaga sesuatu perkara kendatipun perkara itu sangat kecil seperti isu penanaman uri ini.
“Diriwayatkan daripada Aisyah R.A bahawa Nabi SAW telah menyuruh untuk menanam tujuh perkara daripada (anggota badan) manusia: rambut, kuku, darah, darah haid, gigi, uri dan kulup”, (Rujuk Ar-Raafie, At-Tadwin fi Akhbar Qazwin).
Sementara itu, hukum menanam uri bayi ini adalah sunat dan sangat dituntut bertujuan demi menjaga kebersihan dan kesucian uri itu sendiri. Uri perlulah dibersihkan dan ditanam supaya tidak digonggong atau dimakan oleh haiwan kerana bertujuan menghormati uri tersebut yang merupakan sebahagian daripada anggota tubuh badan manusia yang dicipta Allah SWT.
Menurut pengarang kitab Hasyiah as-Syirwani (2/676): “Dan disunatkan menanam apa yang terpisah daripada anggota manusia seperti rambut, kuku dan darah.” Hal ini juga dinyatakan oleh Al-Khatib al-Syarbini, pengarang kitab Mughni Muhtaj (1/349) menyatakan, “Adapun sesuatu yang terpisah daripada sesuatu yang hidup atau ragu tentang kematiannya seperti tangan pencuri yang dipotong, kuku, rambut, darah (alaqah), darah bekam dan seumpamanya maka sunat ditanam kerana memuliakan tuannya”.
Di samping itu, uri yang telah dipotong perlulah dibasuh dengan air yang bersih seterusnya ditanam ke dalam tanah dengan baik. Dari perspektif sudut yang berbeza pula, terdapat segelintir masyarakat melayu yang membasuh uri dengan menggunakan asam dan garam. Adakah perkara itu menyalahi agama Islam? Bahkan sama sekali tidak. Jika basuhan menggunakan asam itu bertujuan untuk menghilangkan bau uri tersebut sebelum ianya ditanam, maka ia adalah harus bagi mengelakkan uri tersebut dihidu oleh haiwan seperti kucing dan anjing.
Menjauhi Perkara-Perkara Khurafat Dan Tahyul.
Dalam masyarakat Melayu, acapkali kita melihat dan mendengar kaedah penanam uri yang menghairankan kerana sangat bercanggahan daripada garisan Syari’e yang telah ditetapkan agama Islam. Antara perkara khurafat yang seringkali dilakukan ketika penanaman uri ialah uri ditanam bersama pensel dan buku agar bayi tersebut menjadi bijak dan pandai di hari muka kelak.
Selain itu juga, sesetengah golongan masyarakat menyalakan unggun api berhampiran pada tempat uri tersebut ditanam kerana bimbang bayi itu akan kesejukan pada waktu malam dan menanam uri bersama duit syiling agar suatu hari nanti anak tersebut akan menjadi kaya. Nau’zubillah.
Di samping itu juga, meletakkan lilin atau pelita di kawasan uri yang ditanam adalah perbuatan yang tahyul yang sudah menjadi amalan tradisi masyarakat Melayu. Hal ini demikian kerana mereka berkeyakinan bayi tersebut tidak akan kembung perut pada sebelah malam atau ketika hujan jika melakukan perkara sedemikian. Dalam pada masa yang sama, golongan itu juga meletakkan paku dan benda tajam bersama uri yang ditanam bagi mengelakkan uri tersebut didekati makhluk halus.
Tuntasnya, sebagai Muslim yang beriman kepada Allah SWT dan RasulNya, kita perlulah menjauhi perkara-perkara tahyul dan khurafat kerana dikhuatiri terjerumus kepada syirik terhadap Allah SWT. Firman Allah SWT, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni karena mempersekutukan-Nya (syirik), dan Dia mengampuni apa (dosa) yang selain (syirik) itu bagi siapa yang Dia kehendaki. Barangsiapa mempersekutukan Allah, maka sungguh, dia telah berbuat dosa yang besar”, Surah An-Nisa’, 48.
Akhir kalam, lakukanlah sesuatu perkara berdasarkan ilmu dan kefahaman yang sebenar agar kita tidak tergolong dalam golongan yang menyekutukan Allah SWT dan semoga penjelasan ini dapat memberikan pencerahan dan kebaikan kepada masyarakat umumnya.