HARTA WASIAT WAJARKAH DIREBUT ?
Wasiat dari segi bahasa berasal daripada kata sifat ‘wassa’ yang bererti menghubungkan atau menyampaikan. Ia bermaksud menghubungkan atau menyampaikan kebaikan yang dilakukan oleh seseorang semasa hidupnya dengan ganjaran pahala selepas dia meninggal dunia. Manakala wasiat dari segi istilah pula ialah pemberian atau sumbangan oleh seseorang kepada orang atau pihak lain setelah dia meninggal dunia sama ada dengan menggunakan lafaz atau tidak. Manakala menurut Abdul Karim Zaydan, wasiat ialah memberi milik kepada seseorang secara sukarela yang dilaksanakan selepas kematian pewasiat sama ada benda atau manfaat. Ada juga fuqaha’ yang mentakrifkan wasiat sebagai suatu pemberian oleh seseorang kepada pihak yang lain sama ada benda, hutang atau manfaat untuk dimiliki oleh penerima wasiat akan pemberian tersebut selepas kematian pewasiat. Allah swt telah menjelaskan bahawa pembahagian harta hendaklah dilakukan setelah selesai urusan hutang si mati serta setelah dilaksanakan wasiat si mati. Antara pelunasan hutang dan juga pelaksanaan wasiat, pelunasan hutang mesti didahulukan ke atas wasiat.
Terdapat empat rukun yang perlu diketahui iaitu pewasiat, penerima wasiat, perkara yang diwasiatkan dan juga sighah (ucapan). Syarat pewasiat (musi) juga adalah seperti pewasiat hendaklah seorang yang mukallaf (baligh dan berakal), merdeka, dengan pilihan sendiri dan mestilah dari pemilik kepada harta yang diwasiatkan ataupun merupakan kepunyaan pemilik tersebut. Menurut Seksyen 6, Enakmen Wasiat Orang Islam Selangor 1999, Enakmen Wasiat Orang Islam Melaka 2005 dan Enakmen Wasiat Orang Islam Negeri Sembilan 2004 memperuntukkan bahawa seorang pewasiat hendaklah telah mencapai umur 18 tahun, sempurna akal, bertindak dengan sukarela dan tidak dipaksa serta tidak dilarang daripada menguruskan hartanya. Syarat penerima wasiat (musa lahu) pula ada enam. Pertamanya adalah penerima wasiat hendaklah diketahui (kecuali untuk perkara kebajikan), wujudnya pada masa kematian pewasiat, berkeahlian memiliki harta, penerima wasiat berkeahlian memiliki harta, penerima wasiat bukan waris mengikut pendapat jumhur ulama’ (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali). Selain itu, penerima wasiat juga boleh terdiri daripada golongan fakir miskin, ulama’, masjid, sekolah dan sebagainya yang berbentuk umum dan tidak dikhususkan dan wasiat tersebut bukanlah bertujuan maksiat. Harta yang diwasiatkan (musa bihi) mestilah harta yang diwasiatkan sama ada harta alih atau tak alih, harta yang manfaatnya bernilai di sisi syarak, harta itu juga mestilah boleh dipindah milik selepas kematian pewasiat, Di samping itu, harta yang diwasiatkan itu mestilah wujud dalam milikan pewasiat (jika tentukan) atau wujud semasa kematian pewasiat (jika tidak ditentukan). Lafaz sighah pula perlulah berlaku sama ada secara sarih atau kinayah dan sama ada melalui lisan, tulisan atau isyarat.
Rukun sighah ini merupakan rukun terpenting bagi membuat sesuatu wasiat. Wasiat ini dilakukan secara lisan yang membabitkan ijab (penawaran) dan juga qabul (penerimaan). Antara lafaz ijab yang jelas bagi wasiat ialah aku wasiatkan padanya dengan ini, barang ini menjadi milik kau selepas aku mati dan sebagainya. Kemudian, ijab juga boleh dilafazkan dalam bentuk kiasan berserta niat seperti rumahku ini adalah untuk zaid dan bermacam-macam lagi bentuk lafaz. Namun, dalam hal membuat wasiat dengan tulisan mesti juga disertakan dengan niat kerana tulisan tidak kurang darjatnya dari lafaz dan juga ibarat dalam menerangkan kehendak pemberi wasiat. Justeru itu, dalam hal ini, sememangnya sah jika seseorang pewasiat mewasiatkan hartanya dengan cara lisan atau dengan hanya menggunakan lafaz, namun dalam konteks zaman sekarang, perlunya kepada pembuktian, maka dokumentasi (sama ada dalam bentuk tulisan dan bukti-bukti lain) amatlah penting bagi membuktikan wasiat dan menentukan ia mesti dilaksanakan atau tidak berdasarkan kepada pembuktian yang ada.
Dalam konteks undang-undang, jika berlaku pertikaian terhadap wasiat, maka ia perlu dikemukakan di mahkamah, dan setiap dakwaan yang dikemukakan ke Mahkamah ini perlulah dibuktikan. Jika benar si mati telah memberi hartanya kepada seseorang, ia perlu dibuktikan samada melalui akuan sumpah dan saksi serta disokong oleh bukti-bukti yang lain sehingga boleh membuktikan bahawa ianya adalah wasiat. Sekiranya tiada bukti mahupun saksi yang boleh menyokong di antara ahli warisnya maka adalah sukar untuk membuktikan bahawa wasiat secara lisan telah berlaku dan ini bermakna warisnya mempunyai hak sepenuhnya terhadap harta si mati (harta tersebut hendaklah difaraidkan). Hikmah disyariatkan wasiat pula adalah seperti boleh mendekatkan diri kepada Allah dengan amalan kebajikan melalui harta yang ditinggalkan. Selain itu, wasiat dapat menambah pahala dan menampung kekurangan dalam ibadah yang dilakukan semasa hayat. Di samping itu, wasiat dapat melahirkan kesyukuran terhadap nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT, membantu menampung keperluan orang-orang fakir dan miskin yang tidak bernasib baik dan dapat mengeratkan silaturrahim dengan kaum kerabat yang tidak menerima harta pusaka bukan bertujuan untuk memecah belahkan keluarga dan saudara mara.