KESEDERHANAAN DALAM LEBARAN
Mari puji memuji kepada Tuhan
Titis kasihnya melimpah seluruh alam
Mari puji memuji Tuhan yang Esa
Insafi nikmat diberi di hari raya
Di sini hari ini lebaran yang dinanti
Sanubari bernyanyi suci murni
Amalan dirahmati pekerti lahir batin
Sesuci sebersih lebaran ini
Anugerah Aidilfitri, Siti Nurhaliza
Seringkali didengari alunan merdu lagu-lagu lebaran nyanyian Dato’ Siti Nurhaliza pada setiap tahun di bulan Syawal. Seperti bait-bait seni kata lagu diatas dendangan penyanyi nombor satu negara, mempunyai mesej tersendiri yang seiring dengan seruan agama. Berdasarkan hadis riwayat Anas bahawa Rasulullah SAW bersabda:
زَيَّنُوْا أَعْيَادَكُمْ بِالتَّكْبِيرِ
Maksudnya: “Hiasilah hari raya kamu dengan bertakbir.”
(Riwayat al-Tabarani)
Melodi lagu yang sungguh indah namun barangkali kita leka dan lupa untuk menghayati dan memahami maksudnya. Bait lirik mengajak untuk kita memuji kepada Allah SWT selaras dengan hadis diatas. Bertakbirlah mengagungkan kebesaran dan keesaan-Nya dalam pada kita menyambut lebaran yang mulia ini. Dengan limpah rahmatnya, kita diberi rezeki dan peluang untuk meraikan hari bahagia, hari kemenangan buat semua umat Islam selepas sebulan berpuasa.
Bait lagu bagi perenggan seterusnya menyebut ‘amalan dirahmati pekerti lahir batin’ yang mendoakan semoga amalan yang kita lakukan sepanjang Ramadan lalu diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT dan seterusnya melahirkan jiwa yang suci dan bersih untuk menyambut Syawal. Lirik ‘sesuci sebersih lebaran ini’ jelas menceritakan keindahan, kesucian dan keberkatan Syawal yang menjelang. Syawal bukan sekadar hadir bagi memberi kebahagian bagi kaum muslimin dan muslimat tetapi ia juga hadir bagi mengeratkan silaturahim sesama manusia dengan saling berkunjungan dan menziarahi antara satu sama lain.
Berjumpa sanak saudara dan beramah mesra, meraikan hari bahagia pada 1 Syawal. Walaupun begitu, bersederhanalah dalam menyambut kedatangan lebaran supaya tidak berlaku pembaziran dan tidak berlebih-lebihan dalam membuat persiapan. Sambutlah dengan penuh kesyukuran dan kecukupan supaya niat yang suci tidak dicemari dengan penyakit hati. Jagalah hati, jagalah kesucian lebaran dan istiqamahlah dengan amalan-amalan yang dilakukan sepanjang Ramadan. Menjadikan Syawal lebih bermakna dengan rahmat, kerahmatan dan keberkatan Ramadan.
Jagalah hati, mata, lidah dan adab semasa mengunjungi ke rumah-rumah keluarga mahupun jiran tetangga. Semoga silaturahim yang dibina berkekalan sehingga ke akhirnya.