BOLEHKAH MENYAMBUT HARI RAYA SELAMA SEBULAN SYAWAL?
Hari raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Menyambut hari raya dengan melakukan ziarah menziarahi pada sepanjang Syawal merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam. Menziarahi dan memuliakan tetamu adalah suatu yang dianjurkan oleh nabi SAW. Namun orang Ramai dinasihatkan supaya tidak melupakan puasa sunat 6 Syawal di samping sibuk melakukan ziarah-menziarahi sepanjang bulan Syawal serta tidak membazir atau melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak sepanjang aktiviti atau majlis ziarah.
Dalam kitab Tahzib al-Lughah disebutkan bahawa hari raya dinamakan dengan aid (عيد) kerana hari raya datang dengan kegembiraan pada setiap tahun. Setelah sebulan berpuasa bersabar menahan lapar dan dahaga maka pada hari raya umat Islam dianjurkan untuk bergembira. Dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa ketika mana Nabi SAW sampai ke Madinah Nabi mendapati penduduk Madinah memiliki 2 hari yang mereka bergembira padanya lalu Nabi SAW bertanya: “Apakah dua hari ini?” lalu jawab mereka: “Ia adalah hari untuk kami bergembira”, nabi SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الْأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mengantikan dua hari tersebut dengan yang lebih baik iaitu hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.” (Riwayat Abu daud)
Manakala dalam riwayat yang lain Abu Bakar RA masuk ke dalam rumah Nabi SAW dan ketika itu terdapat 2 orang hamba perempuan dari kalangan Ansar sedang menyanyikan lagu berkenaan peristiwa Bu’as. Lalu Abu Bakar RA berkata: “Adakah seruling Syaitan ada di dalam rumah Rasulullah?” lalu Rasulullah SAW bersabda:
يَا أَبَا بَكْرٍ، إِنَّ لِكُلِّ قَوْمٍ عِيدًا، وَهَذَا عِيدُنَا
Maksudnya: “Wahai Abu Bakar! Sesungguhnya bagi setiap kaum itu memiliki hari raya dan hari ini merupakan hari raya kita.” (Riwayat al-Bukhari)
Ibn Hajar al-Asqalani ketika menjelaskan berkenaan hadis ini berkata: “Antara faedah yang boleh diambil dari hadis ini ialah disyariatkan memperluaskan memberi keluarga sesuatu yang boleh menggembirakan ahli keluarga pada hari raya di samping merehatkan badan dari kepenatan ibadat. Menzahirkan kegembiraan pada hari raya adalah termasuk dalam syiar agama.”
Pada hari raya umat Islam juga digalakkan untuk saling menziarahi dan menyambung silaturahim. Ziarah menziarahi pada hari raya dapat difahami daripada amalan ziarah yang dilakukan oleh Abu Bakar RA ke rumah baginda Nabi SAW. Suasana di Malaysia orang ramai akan meneruskan aktiviti menziarahi saudara mara dan rakan taulan sehinggalah akhir Syawal dengan mengadakan rumah terbuka dan sebagainya. Terdapat banyak hadis yang menyebut berkenaan anjuran Islam untuk menyambung hubungan siaturahim, ukhuwah dan memuliakan tetamu. Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda:
مَن أحَبَّ أنْ يُبْسَطَ له في رِزْقِهِ، ويُنْسَأَ له في أثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
Maksudnya: “Siapa yang suka untuk diluaskan rezkinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia menyambung silaturahim.” (Riwayat al-Bukhari)
Manakala berkenaan kelebihan memuliakan tetamu pula Nabi SAW bersabda:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا، أَوْ لِيَصْمُتْ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلاَ يُؤْذِ جَارَهُ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ
Maksudnya: “Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka berkatalah benar atau diam, siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat janganlah menyakiti jiran, siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka muliakanlah tetamu.” (Riwayat al-Bukhari)
Tidak dinafikan bahawa hari raya yang disyariatkan hanyalah pada 1 Syawal. Walau bagaimanapun ia tidak menafikan kebaikan untuk saling menziarahi dan menyambung silaturahim sama ada pada bulan Syawal mahupun pada bulan-bulan yang lain. Adat kebiasaan di Malaysia pada bulan Syawal orang ramai akan melakukan ziarah menziarahi dan ini merupakan adat kebiasaan yang baik. Mana-mana adat yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak maka hukum asalnya adalah harus.
Dalam kaedah fiqh disebutkan:
الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإباحَة حَتَّى يَدُل الدَّلِيل عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: “Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).”
Tiada suatupun ibadat khusus yang direka dalam sambutan hari raya selama sebulan yang diadakan. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya. Bahkan tiada sesiapa pun yang mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaaf-maafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya. Kesimpulannya, ia sekadar suatu tradisi yang diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.
Justeru kami amat menggalakkan jika masyarakat mengambil peluang ini untuk mengadakan jamuan makan terutamanya kepada faqir miskin, ini bagi menyahut seruan al-Qur’an sebagaimana firman Allah SWT:
وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا ﴿٨﴾ إِنَّمَا نُطْعِمُكُمْ لِوَجْهِ اللَّـهِ لَا نُرِيدُ مِنكُمْ جَزَاءً وَلَا شُكُورًا ﴿٩﴾ إِنَّا نَخَافُ مِن رَّبِّنَا يَوْمًا عَبُوسًا قَمْطَرِيرًا ﴿١٠
Maksudnya: “Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan, (8) (Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih, (9) “Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Ia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: masam berkerut-kerut”. (10)
Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Menyambut hari raya dengan melakukan ziarah menziarahi pada sepanjang Syawal merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam. Menziarahi dan memuliakan tetamu adalah suatu yang dianjurkan oleh nabi SAW. Namun orang Ramai dinasihatkan supaya tidak melupakan puasa sunat 6 Syawal disamping sibuk melakukan ziarah-menziarahi sepanjang bulan Syawal serta tidak membazir atau melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak sepanjang aktiviti atau majlis ziarah.