JOM KEJAR PAHALA 10 MUHARRAM!!
Berakhirnya, bulan Zulhijjah dan tibanya 1 Muharram mengingatkan umat Islam tentang satu peristiwa penting iaitu hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda dari Makkah ke Madinah. Bermula tarikh itu, berlakulah perkembangan dan penyebaran dakwah Islamiyyah dengan lebih sistematik dan teratur setelah Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda menghadapi segala ancaman dan cabaran dengan penuh ketaqwaan dan keimanan kepada Allah SWT. Malah, Allah SWT telah menjadikan bulan Muharram sebagai salah satu dari bulan-bulan haram seperti mana dalam firman-Nya yang bermaksud:
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ
Maksudnya: Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah S.W.T adalah sebanyak dua belas bulan sebagaimana yang terdapat di dalam kitabullah (Lauh al-Mahfuz) pada hari diciptakan langit-langit dan juga bumi. Di antaranya (bulan-bulan tersebut) adalah empat bulan haram. Demikian itulah agama yang lurus maka janganlah kalian menzalimi diri kalian di dalam bulan-bulan tersebut.
Surah al-Taubah (36)
Apabila munculnya tanggal 1 Muharram Tahun Hijrah ini juga menandakan setahun telah berlalu, dan setahun jugalah menginjak usia kita. Persoalannya, apakah yang telah kita lakukan sepanjang tahun? Adakah kita berusaha menjadi seorang Muslim yang lebih baik? Apakah yang kita lakukan pada hari-hari yang telah berlalu? Adakah kita menyedari semakin usia kita meningkat, semakin hampir kita dengan kematian? Adakah kita sedar hari bertukar bulan dan bulan bertukar menjadi tahun kita semakin hampir dengan hari terakhir kehidupan kita di dunia? Adakah kita bersedia untuk menghadapi hari terakhir kita di bumi?
Galakan Berpuasa Dalam Bulan Muharram
Di antara amalan soleh yang sangat digalakkan untuk umat Islam lakukan pada bulan Muharram adalah dengan memperbanyakkan berpuasa sunat. Ini dapat dilihat berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَإِنَّ أَفْضَلَ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْمَفْرُوضَةِ صَلاَةٌ مِنَ اللَّيْلِ
Maksudnya: Sebaik-baik puasa setelah bulan Ramadhan adalah berpuasa pada bulan Allah al-Muharram dan sesungguhnya solat yang paling afdhal setelah solat fardhu adalah solat malam (Qiyamullail).
Riwayat Abu Daud (2429)
Demikian juga terdapat sebuah hadis yang menceritakan berkenaan seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang bulan apakah yang Rasulullah perintahkan untuk dirinya berpuasa setelah bulan Ramadhan ? Maka jawab baginda S.A.W:
إِنْ كُنْتَ صَائِمًا بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ فَصُمِ الْمُحَرَّمَ فَإِنَّهُ شَهْرُ اللَّهِ
Maksudnya: Sekiranya kamu hendak berpuasa setelah bulan Ramadhan maka berpuasalah kamu pada bulan al-Muharram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah.
Riwayat al-Tirmizi (74)
Jadi MARI KITA KEJAR PAHALA DAN KELEBIHAN 10 MUHARRAM ini seperti mana di dalam satu riwayat daripada Abu Qatadah R.A. bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:
صِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ
Maksudnya: Berpuasa pada hari ‘Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya.
Riwayat Ibn Majah (1738)
Tambahan dari riwayat yang lain, daripada Ibn Abbas R.anhuma, berkata apabila ditanya berkaitan puasa pada hari Asyura’:
مَا عَلِمْتُ أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَامَ يَوْمًا يَطْلُبُ فَضْلَهُ عَلَى الْأَيَّامِ إِلَّا هَذَا الْيَوْمَ وَلَا شَهْرًا إِلَّا هَذَا الشَّهْرَ
Maksudnya: “Aku tidak ketahui bahawa Rasulullah SAW berpuasa pada satu hari dan mencari-cari kelebihan yang ada padanya daripada hari-hari yang lain melainkan pada hari ini (hari Asyura’) dan tidak juga pada satu bulan melainkan pada bulan ini (Ramadhan).”
[Riwayat Muslim (1132)
]Di sini saya ingin kongsikan lafaz niat puasa asyura untuk panduan semua:-
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ سُنَّةِ ِعَا شُورَاء لِلهِ تَعَالَى
Bacaan Rumi : Nawaitu shauma ghadin ‘an ada’i sunnati asyura lillahi ta‘ala.
Maksud : “Sahaja Aku Puasa Sunat Hari Asyura Esok Hari Kerana Allah Ta’ala
Akhirnya, semoga Allah SWT memberikan kita kekuatan untuk berpuasa di dalam bulan yang mulia ini serta menerima setiap amal soleh yang dilakukan. Amin.