4 KISAH MENARIK DI BULAN MUHARRAM
‘Satu Muharram Detik Permulaan,
Perkiraan Tahun Islam Hijrah,
Perpindahan Nabi dan Umat Islam,
Dari Kota Makkah ke Kota Madinah’.
Pasti kita sangat sinonim dengan ‘Lagu Maal Hijrah’ yang acap kali berkumandang di corong-corong radio apabila tibanya Bulan Muharram. Sejak dari kecil, kita sering kali disuruh untuk menyanyikannya di waktu persekolahan. Akan tetapi, adakah kita mengambil tahu dan menghayati akan bulan Muharram ini? Kenapa dan mengapakah bulan ini begitu penting di dalam kalendar Islam? Adakah ada peristiwa penting yang berlaku dalam Muharram? Jom kita ambil tahu.
Muharram bermaksud ‘diharamkan atau dilarang’. Iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. “Dalam setahun itu ada dua belas bulan dan di antaranya adalah empat bulan haram. Tiga bulan yang berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram serta bulan Rejab yang berada di antara Jamadil Akhir dan juga Syaaban”, Riwayat al-Bukhari (184).
Peristiwa Penting Bulan Muharram
- FADHILAT BESAR PADA 10 MUHARRAM
“Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW mengejar satu hari yang fadhilatnya lebih berbanding hari-hari yang lain melainkan hari ini iaitu hari ‘Asyura”, Riwayat al-Bukhari (2006).
2. GALAKAN BERPUASA KERANA DIAMPUNKAN DOSA SETAHUN YANG LALU
“Berpuasa pada hari ‘Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya”, Riwayat Ibn Majah (1738).
3. PERINTAH BERPUASA 2 HARI AGAR MENYELISIHI YAHUDI.
Walaupun kita digalakkan untuk berpuasa pada 10 Muharram, akan tetapi kita diperintahkan untuk berpuasa pada hari sebelumnya ataupun hari selepasnya. Ini adalah bertujuan untuk menyelisihi golongan Yahudi yang hanya berpuasa pada 10 Muharram secara tunggal.
- “Berpuasalah kalian pada hari ‘Asyura dan berbezalah dengan golongan Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya”, Riwayat Ahmad (2154).
- “Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan nescaya aku akan berpuasa pada hari yang ke 9 (Muharram)”, Riwayat Muslim (1134)
Nas-nas di atas jelas menunjukkan perintah Rasulullah SAW kepada kita agar berpuasa sehari sebelum atau sehari selepas Puasa Asyura agar tidak menyamai puasa orang Yahudi.
4. KISAH NABI NUH & BUBUR ASYURA
Apabila kapal Nabi Nuh AS berlabuh di Bukit Juudiy setelah dihujani dengan banjir yang amat dasyat pada hari ‘Asyura, maka Nabi Nuh AS berkata kepada umatnya yang mengikutinya di atas kapal.
“Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih-lebih”. Maka, dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila’ iaitu kacang ful dan satu genggam kacang Adas, Ba’ruz dan hinthoh dan tepung sehingga menjadi tujuh bagai biji-bijian yang dimasak. Maka berkatalah Nabi Nuh A.S: “Masaklah sekaliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang”, Nihayah al-Zain karangan Syeikh Nawawi al-Bantani.
Namun demikian, perlu dititikberatkan, kisah-kisah seperti ini banyaknya ditokok tambah dengan kisah-kisah Isra’iliyyat dan amat perlu kepada kajian yang lebih mendalam agar kesahihannya dapat dibuktikan dan dikongsikan bersama. Terdapat juga sarjana-sarjana Islam yang menilai kisah ini sebagai kisah-kisah yang palsu.
Namun, bagi perkara akan bubur Asyura ini, penulis bukanlah bermaksud menghalang orang untuk memasak bubur tersebut bahkan memasak apa sekalipun adalah harus selagi mana ianya halal dan baik. Tambahan pula memberi makan kepada orang lain dengan niat untuk bersedekah amatlah digalakkan di dalam Agama Islam.
Tuntasnya, semoga kita direzekikan untuk berpuasa pada Hari Asyura dan mengikut petunjuk serta sunnah Rasulullah SAW semampu yang boleh serta mengaplikasikannya di dalam kehidupan seharian kita semua.