HIJRAH YANG SEBENAR!
Perkataan hijrah sinonim dengan maksud perpindahan daripada satu tempat ke tempat yang lain. Manakala dalam kamus dewan edisi keempat, hijrah bermaksud perpindahan Nabi Muhammad SAW dari mekah ke Madinah.
Selain itu, ia juga bermaksud perhijrahan perbuatan ataupun perihal berhijrah. Ramai dalam kalangan kita masih tidak memahami definisi hijrah secara keseluruhannya malah membiarkan hijrah kekal dengan tafsiran yang terhad tanpa melihat dari sudut dimensi yang berbeza.
Jika kita menghayati dan memahami konsep hijrah itu secara tersurat mahupun tersirat pasti kita akan lebih menghargai masa bagi perubahan atau perhijrahan diri. Sebagai umat Islam, perubahan kepada sesuatu yang lebih baik bukanlah menunggu waktu tertentu malah sebaiknya adalah pada setiap masa.
Nabi Muhammad SAW sendiri dan para Sahabat bersusah payah mengalirkan keringat, berkorban harta dan jiwa, menahan segala tohmah dan ujian demi kebaikan umatnya namun kita yang berada dalam keadaan yang cukup selesa kini, tidak mampu berhijrah atas nama kebaikan? Apakah telinga kita tuli, atau mata kita yang buta mahupun anggota kita yang lumpuh serta cacat.
HIJRAH YANG SEBENAR IALAH HIJRAH MENINGGALKAN DOSA
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW memberikan definisi yang menarik tentang pengertian hijrah. Hijrah bukan sekadar perpindahan secara fizikal semata tetapi perubahan jiwa ke arah yang baik, menjauhkan diri dari perkara yang ditegah oleh Allah. Sabda Rasulullah SAW
وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ
Dan orang yang berhijrah itu adalah orang yang berhijrah (menjauhkan diri) daripada melakukan apa yang Allah larang.
(Riwayat al-Bukhari)
Jelas di sini bahawa definisi hijrah bukan sekadar pepindahan berbentuk fizikal tetapi adalah proses peralihan ke arah sesuatu yang lebih baik. Dalam erti kata yang lain, konsep hijrah merangkumi perubahan jiwa ke arah yang lebih baik.
Ketika menghuraikan hadis ini, Syeikh Mulla Ali al-Qari menjelaskan:
لِأَنَّ الْحِكْمَةَ مِنَ الْهِجْرَةِ التَّمَكُّنُ مِنَ الطَّاعَةِ بِلَا مَانِعٍ، وَالتَّبَرُّؤُ عَنْ صُحْبَةِ الْأَشْرَارِ الْمُؤَثِّرَةِ فِي اكْتِسَابِ الْخَطَايَا
“Ini adalah kerana, hikmah hijrah adalah memperkukuh ketaatan dan melepaskan diri manusia daripada sebarang pengaruh jahat yang memberikan kesan kepada jiwa manusia sehingga menyebabkan diri mereka terjerumus ke dalam kancah dosa.” (Mirqah al-Mafatih)
Oleh yang demikian, sempena Maal Hijrah tahun ini, mari bersama tanamkan azam untuk melaksanakan perubahan diri ke arah yang lebih baik. Bukan sekadar laungan dan nyanyian yang mengiringi sambutan peristiwa penting ini malah disertai dengan azam kebaikan.
Perubahan diri bukanlah pada waktu tertentu namun sebagai umat Islam ia perlu pada setiap masa secara berperingkat. Tahun baharu juga tidak menuntut kita melakukan ibadah-ibadah khusus tertentu namun lakukanlah ibadah berdasarkan petunjuk Nabi Muhammad SAW dan itulah yang terbaik.
Wallahua’lam.