KEMERDEKAAN DARI SUDUT PANDANG ISLAM
TANGGAL 31 Ogos merupakan tarikh keramat bagi rakyat Malaysia yang sentiasa diraikan di pelbagai peringkat sama ada di peringkat negara, negeri, daerah atau jabatan-jabatan dan syarikat-syarikat.
Ini bagi menzahirkan rasa syukur, bahagia dan gembira dengan kemerdekaan yang telah dikecapi oleh negara ini sejak 1957. Peristiwa bersejarah ini sentiasa diulang-ulang saban tahun.
Begitu juga dengan aktiviti penerangan, ceramah, siaran TV, radio dan akhbar-akhbar akan menyebut sambutan hari kemerdekaan dan juga sejarah bagaimana rakyat di negara ini bermandikan darah, keringat dan air mata untuk menjadikannya benar-benar mendapat kemerdekaan sehingga kemanisan merdeka dihayati dengan sepenuhnya.
ERTI KEMERDEKAAN
Menurut Kamus Dewan Bahasa, merdeka bermaksud bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan dan sebagainya. Ia juga bermaksud lepas daripada tebusan atau tuntutan serta berdiri sendiri dan tidak bergantung pada yang lain.
Di dalam bahasa Arab, kemerdekaan disebut sebagai ‘استقلال’ iaitu bersendiri dalam memiliki kemuliaan, berdikari dan bangkit daripada penindasan atau melepaskan diri daripada sesuatu ikatan.
Namun dalam lipatan sirah Nabi Muhammad SAW juga berlaku sebuah peristiwa yang dianggap sebagai ibu kemerdekaan iaitu pembukaan Kota Mekah yang berlaku pada Ramadhan 8 Hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dengan toleransi yang amat tinggi, yang patut ditulis dengan tinta emas kerana mengembalikan hak insani dan karamah basyariyyah (kemuliaan manusia).
Peristiwa ini dinukilkan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Yusuf RA bahawa Ibn ‘Abbas RA berkata kepadanya:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم غَزَا غَزْوَةَ الْفَتْحِ فِي رَمَضَانَ
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW telah berperang dalam peperangan Pembukaan Kota Mekah (Fath Makkah) pada bulan Ramadhan.
Riwayat al-Bukhari: (4275)
Selepas Rasulullah SAW berjaya membuka kota Mekah, Baginda SAW meneruskan usaha untuk membersihkan dan memuliakan Kaabah daripada segala perbuatan kekufuran dan syirik kepada Allah SWT.
Rasulullah SAW menghancurkan berhala-berhala yang ada di sekeliling Kaabah. Jumlah berhala yang ada di sekitar Kaabah itu dianggarkan lebih kurang 360 buah. Nabi Muhammad SAW memukul setiap daripada berhala tersebut dengan tongkat yang berada di tangan Baginda SAW sambil membacakan ayat 81, Surah al-Isra’ dan ayat 49, Surah al-Saba’.
Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah RA, beliau berkata:
دَخَلَ النَّبِيُّ صلّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ مَكَّةَ يَوْمَ الْفَتْحِ وَحَوْلَ الْبَيْتِ سِتُّونَ وَثَلاَثُمِائَةِ نُصُبٍ، فَجَعَلَ يَطْعُنُهَا بِعُودٍ فِي يَدِهِ وَيَقُولُ : جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ، جَاءَ الْحَقُّ، وَمَا يُبْدِئُ الْبَاطِلُ وَمَا يُعِيدُ
Maksudnya: Nabi SAW memasuki kota Mekah pada hari pembukaan kota Mekah (Fath Makkah) dan di sekeliling Kaabah terdapat 360 buah berhala. Baginda kemudiannya menghancurkannya dengan tongkat yang berada di tangannya seraya mengucapkan firman Allah: Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); Telah datang kebenaran (Al-Quran yang memberi segala kebaikan), dan perkara yang salah tidak memberi sebarang kebaikan di dunia, usahkan hendak mengulanginya di akhirat.
Riwayat al-Bukhari: (4287)
Selepas selesai tawaf sambil menaiki tunggangan, Baginda SAW menyuruh Uthman Ibn Talhah untuk membuka pintu Kaabah lalu Baginda SAW masuk kedalamnya. Di dalam Kaabah tersebut, Baginda SAW melihat banyak lukisan-lukisan. Antaranya, Baginda SAW melihat gambar lukisan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS yang sedang membahagi-bahagikan anak panah untuk menilik nasib. Rasulullah SAW bersabda:
قَاتَلَهُم اللهُ وَ اللهِ إِن اسْتَقْسَمَا بِهَا قَطٌّ
Maksudnya: Semoga Allah SWT menghancurkan mereka. Demi Allah, mereka berdua (Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS) tidak pernah membahagi-bahagikan panah untuk menilik nasib!
Di dalam Kaabah juga, Baginda SAW melihat patung seekor burung merpati yang diperbuat daripada batang kurma. Baginda SAW menghancurkannya dengan tangannya dan mengarahkan supaya dimusnahkan semua gambar-gambar yang ada di dalam Kaabah tersebut.
Rasulullah SAW menghantarkan utusan Baginda SAW bagi menghancurkan berhala-berhala yang ada di kawasan berhampiran Kaabah. Ada seorang yang menyeru dengan lantang dan menyebutkan:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَ اليَوْمِ الاْخِرِ فَلَا يَدَعْ فِي بَيْتِهِ صَنَمًا إِلاَّ كَسَّرَهُ
Maksudnya: Barangsiapa yang beriman kepada Allah SWT dan Hari Akhirat, hendaklah dia tidak membiarkan satu berhala pun ada di rumahnya kecuali dia menghancurkannya.
Semua berhala tersebut dihancurkan oleh para Sahabat termasuk al-Latta, al-‘Uzza, Suwa’ serta Manat, iaitu berhala termasyhur yang disembah oleh kaum musyrikin Mekah.
Saidina Khalid Ibn al-Walid telah menghancurkan al-Latta. Saidina ‘Amru al-‘As pula pergi menghancurkan Suwa’ iaitu berhala yang disembah oleh kaum Huzail. Manakala, Saidina Saad Ibn Zaid al-Asyhali pergi untuk menghancurkan Manat.
IKTIBAR PEPERANGAN
Allah SWT Akan Tetap Memenangkan Kebenaran Dan Golongan Yang Beriman
Firman Allah SWT:
أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِن قَبْلِكُم ۖ مَّسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّىٰ يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَىٰ نَصْرُ اللَّـهِ ۗ أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّـهِ قَرِيبٌ
Maksudnya: Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).
(Surah al-Baqarah: 214)
Kesimpulannya, sebagai warganegara Malaysia marilah kita menghayati Hari Kemerdekaan ini dengan penuh bermakna, maka saya amat berharap agar kemerdekaan negara Malaysia yang kita semua cintakan ini dapat mentahqiqkan erti kemerdekaan yang sebenar. Saya juga berpendapat, merdeka yang sebenar adalah kemerdekaan dari belenggu penjajah dan juga merdeka dari serangan pemikiran penjajah (al-ghazw al-fikri) itu sendiri. Jadi bersamalah kita syukuri nikmat kemerdekaan ini serta pelihara sebaiknya.
Tag:merdeka, UstazUstazah.Com