UMRAH SEBUAH PERJALANAN MANIFESTASI IMAN
KETIKA September 2022, saya dapat menunaikan ibadah umrah di bawah Hijrah Travel. Setelah selesai umrah kami di Mekah. Kami meneruskan perjalanan ke Madinah dan diteruskan dengan menziarahi tempat-tempat yang pernah Rasulullah dan para sahabat menunaikan solat sebelum menuju ke medan Badar, Telaga Rauha’, Makam Ubaidah bin al-Harith, pekarangan medan pertempuran perang Badar, makam para syuhada’ Badar dan Jabal Malaikah. Perjalanan kami ke medan Badar lebih kurang 120 kilometer dan mengambil masa hampir 2 jam dari kota Madinah.
1. ZIARAH KE TEMPAT RASULULLAH SAW PERNAH SINGGAH UNTUK MENUNAIKAN SOLAT SUBUH SEBELUM KE MEDAN BADAR (IRQ ZAHBIAH)
Di sini kami menelusuri sirah Rasulullah SAW yang pernah berhenti solat Subuh ketika Baginda dan para sahabat dalam perjalanan menuju ke medan Badar. Malahan ketika berlakunya peristiwa Fathul Mekah (Pembukaan Mekah) dan Haji Wida’ (Haji terakhir Baginda), Baginda sekali lagi singgah untuk berhenti di sini, tempat ini diberi nama Irq Zahbiah.
Seterusnya, Ustaz Abdullah Fahmi (ketua mutawif) kami memimpin bacaan doa untuk menambah keberkatan ziarah ini dengan memohon kepada Allah SWT agar bertambahnya rasa rindu dan cinta kepada junjungan baginda Rasulullah SAW.
2. TELAGA RAUHA’
Telaga Rauha’ adalah lokasi di mana Rasulullah SAW selalu singgah untuk berehat seketika lalu memberi minum tunggangan Baginda. Ia terletak di antara persimpangan dari Kota Madinah ke Mekah dan Badar. Baginda pernah singgah di sini ketika dalam perjalanan ke medan Badar, Hudaibiyah, Haji Wida’ dan Umrah Qada’.
Ketika sebelum Perang Badar, Nabi SAW bermesyuarat di sini dengan para sahabat untuk mengambil keputusan sama ada berpatah balik ke Madinah atau terus ke Badar.
3. TELAGA SYIFA’
Kami meneruskan perjalanan ke sebuah telaga yang dipanggil Telaga Syifa’ atau lebih dikenali dengan Bi’run Syifa’. Menurut sejarah telaga ini adalah tempat persinggahan Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda. Pada awalnya penduduk di sana melarang Baginda untuk meminumnya kerana air itu sangat pahit dan beracun dan bukan itu sahaja sekiranya sesiapa sahaja yang meminum minum air tersebut nescaya akan meninggal dunia.
Namun, setelah Baginda SAW meludah ke dalam telaga tersebut. Berkat daripada air ludahan Baginda, air itu bertukar menjadi penawar dan boleh dijadikan minuman. Kami meneguk sedikit air telaga untuk diminum sebelum berangkat ke lokasi seterusnya.
4. MAKAM UBAIDAH BIN AL-HARITH
Ubaidah bin al-Harith adalah sepupu Rasulullah SAW dan antara orang terawal yang masuk Islam. Beliau juga salah seorang panglima Islam yang syahid serta mewakili mubarazah iaitu pertarungan satu lawan satu dengan Utbah bin Rabiah di medan perang Badar.
Beliau meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke perang Badar dan dikebumikan di kawasan yang diberi nama as-Safra’. Moga dengan kisah syahid para sahabat menambahkan rasa rindu dan kasih kepada perjuangan para sahabat dalam perjuangan memenangkan Islam, SubhanAllah
5. MEDAN PERTEMPURAN BADAR AL-KUBRA
Ziarah diteruskan ke perkarangan Medan Perang Badar. Perang Badar al-Kubra berlaku pada hari Jumaat, 17 Ramadan tahun ke-2 Hijrah yang merupakan peperangan pertama dalam Islam. Nama Badar di ambil berdasarkan kepada nama tempat di sebuah lembah yang terletak di antara Madinah dengan Mekah.
Peperangan itu melibatkan tentera Islam seramai 313 orang dan 1, 000 orang tentera Musyrikin Mekah yang lengkap bersenjata. Bilangan ini menurut riwayat adalah sama dengan bilangan tentera Talut memerangi Jalut. Dalam peperangan ini, tentera Islam memenangi pertempuran dengan 70 orang tentera Musyrik
DOA NABI KETIKA PERANG BADAR
اللَّهُمَّ أَنْجِزْ لِي مَا وَعَدْتَنِي اللَّهُمَّ آتِنِي مَا وَعَدْتَنِي اللَّهُمَّ إِنْ تُهْلِكْ هَذِهِ الْعِصَابَةَ مِنْ أَهْلِ الإِسْلاَمِ لاَ تُعْبَدُ فِي الأَرْضِ
Maksud nya: “Ya Allah penuhilah janji-Mu kepadaku. Ya Allah Azza wa Jalla berikanlah apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah Azza wa Jalla , jika Engkau membinasakan pasukan Islam ini, maka tidak ada yang akan beribadah kepada-Mu di muka bumi ini”
(HR Muslim, hadis sahih)
6. MAKAM PARA SYUHADA’ BADAR
Kami meneruskan ziarah ke makam yang menempatkan kesemua para syuhada’ Badar. Disinilah makam kesemua 13 para syuhada’. Kami mendoakan kesemua para syuhada’ dengan doa yang diajarkan Rasulullah SAW,
Daripada Auf Bin Malik r.a., Nabi SAW bersabda:
للهُـمِّ اغْفِـرْ لَهُ وَارْحَمْـه ، وَعافِهِ وَاعْفُ عَنْـه ، وَأَكْـرِمْ نُزُلَـه ، وَوَسِّـعْ مُدْخَـلَه ، وَاغْسِلْـهُ بِالْمـاءِ وَالثَّـلْجِ وَالْبَـرَدْ ، وَنَقِّـهِ مِنَ الْخطـايا كَما نَـقّيْتَ الـثَّوْبَ الأَبْيَـضَ مِنَ الدَّنَـسْ ، وَأَبْـدِلْهُ داراً خَـيْراً مِنْ دارِه ، وَأَهْلاً خَـيْراً مِنْ أَهْلِـه ، وَزَوْجَـاً خَـيْراً مِنْ زَوْجِه ، وَأَدْخِـلْهُ الْجَـنَّة ، وَأَعِـذْهُ مِنْ عَذابِ القَـبْر وَعَذابِ النّـار
Maksudnya: “Ya Allah, Ampunilah dan rahmatilah dia, lepaskanlah dia daripada apa-apa yang tidak disukainya dan maafkanlah dia, muliakanlah keadaannya dan luaskan kuburnya. Mandikanlah dia dengan air, salji dan air yang dingin. Bersihkanlah dia daripada segala kesalahan sebagaimana dibersihkan baju yang putih daripada segala kekotoran. Gantikanlah rumahnya yang lebih baik daripada rumahnya, keluarga yang lebih baik daripada keluarganya dan pasangan yang lebih baik daripada pasangannya. Masukkanlah dia ke dalam syurga dan peliharalah dia daripada fitnah kubur dan azab neraka. Auf berkata: Aku berharap biarlah aku menjadi mayat itu kerana doa Rasulullah SAW ke atas mayat tersebut”
(HR Muslim, hadis sahih)
KELEBIHAN PARA SYUHADA’ BADAR
Daripada Rif’ah r.a, Nabi SAW bersabda:
جَاءَ جِبْرِيلُ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ “ مَا تَعُدُّونَ أَهْلَ بَدْرٍ فِيكُمْ قَالَ مِنْ أَفْضَلِ الْمُسْلِمِينَ ـ أَوْ كَلِمَةً نَحْوَهَا ـ قَالَ وَكَذَلِكَ مَنْ شَهِدَ بَدْرًا مِنَ الْمَلاَئِكَةِ
Maksudnya: “Jibrail datang menemui Nabi SAW dan bertanya: “Bagaimana pandangan kamu tentang ahli Badar di kalangan kamu? “Nabi menjawab: “Mereka adalah golongan terbaik di kalangan Muslimin.” Jibrail berkata: “Begitu juga pandangan Malaikat yang turut menyertai Perang Badar”.
(HR Bukhari,hadis sahih)
7. JABAL MALAIKAH
Jabal Malaikah atau Bukit Malaikat adalah satu tempat dimana turunnya bantuan Allah kepada para pejuang Badar. Jabal Malaikah terletak kira-kira 113 kilometer dari Kota Madinah bersebelahan dengan makam para syuhada’ Badar.
Pada malam sebelum mulanya peperangan Badar, Rasulullah SAW berdoa di suatu tempat yang diberi nama Arisy berdekatan kawasan Badar, berkat doa dan rintihan Baginda, Allah SWT menurunkan berupa 1,000 bala tentera dalam kalangan para Malaikat.
Seperti mana di rakamkan dalam firman Allah SWT:
إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَاسْتَجَابَ لَكُمْ أَنِّي مُمِدُّكُم بِأَلْفٍ مِّنَ الْمَلَائِكَةِ مُرْدِفِينَ, مَا جَعَلَهُ اللَّهُ إِلَّا بُشْرَىٰ وَلِتَطْمَئِنَّ بِهِ قُلُوبُكُمْ ۚ وَمَا النَّصْرُ إِلَّا مِنْ عِندِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya: “(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada tuhan kamu, lalu Dia perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya): “Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut. Dan Allah tidak menjadikan (bantuan malaikat) itu melainkan sebagai berita gembira dan supaya hati kamu tenang tenteram dengannya. Dan kemenangan itu pula hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
(Surah al-Anfal: 9-10)
Sungguh, rasa gembira apabila dapat kali pertama menunaikan umrah dan melihat sendiri kesan-kesan kebesaran Allah daripada perang Badar. Sebenarnya kami di dalam hati bersyukur dan kagum dengan kehebatan, pengorbanan dan kegigihan para ahli Badar yang sanggup berperang memenangkan Islam yang kita rasai nikmatnya sehingga ke hari ini.
Semoga Allah menjadikan kita mukmin yang bersyukur dengan segala nikmat pemberiannya dan mengambil pengajaran daripada peristiwa besar kemenangan Islam dalam perang Badar.
Allahumma amiin.
Tag:madinah, Umrah, ustazustazahcom