DOA KEPADA ORANG SAKIT, PASTI MALAIKAT AMINKAN
“Apabila kamu menghadiri (menziarahi) orang sakit, maka katakanlah perkara-perkara yang baik. Ini kerana, malaikat akan mengaminkan setiap yang kamu ucapkan”, Riwayat Muslim, 919.
Sudah tidak menjadi alasan lagi bagi masyarakat sekarang untuk mengirimkan sebarang bentuk doa kepada saudara-mara dan sahabat handai dengan adanya kemudahan teknologi seperti telefon bimbit. Justeru, wajarlah kita untuk mengirimkan pesanan-pesanan melalui mesej mahupun membuat panggilan kepada si pesakit.
Allah SWT menjanjikan ganjaran yang amat besar bagi mereka yang menziarahi orang yang sakit iaitu mereka didoakan kebaikan oleh para Malaikat. Masya-Allah!
Saidina Ali berkata, “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seseorang muslim itu apabila beliau menziarahi sahabatnya pada waktu awal pagi kecuali 70000 para malaikat akan mendoakan kebaikan kepadanya sehinggalah petang dan jika beliau menziarahi saudaranya pada waktu petang maka 70000 para malaikat akan mendoakan kebaikan kepadanya sehinggalah keesokan pagi, dan dia akan memperoleh buah-buahan yang dipetik dari syurga.” (HR Tirmizi: 891)
Umum juga mengetahui menziarahi orang sakit adalah sunat dan digalakkan oleh Syariat Islam. Ziarah-menziarahi digalakkan bukan sekadar masa sakit sahaja bahkan semasa sihat mahupun sewaktu berdukacita. Hal ini pasti membuatkan orang yang sakit akan gembira menerima kedatangan tetamu yang ingin melihatnya dan sekaligus memberikan pesakit kekuatan untuk cepat sembuh dan kembali sihat semula.
Menurut Dato’ Ismail Kamus & Mohd Azrul Azlen Abd Hamid, di dalam bukunya, Indahnya Hidup Bersyariat, menukilkan bahawa pentingnya mengetahui adab-adab ketika sedang berziarah.
- Jangan duduk terlalu lama di sisinya kerana duduk terlalu lama itu membawa jemu kepada si pesakit mahupun akan menganggu waktunya.
- Zahirkan simpati kepadanya seolah-olah kita juga merasa sakit sebagaimana si pesakit merasakannya.
- Nasihatkan agar bersabar kerana dengan sakit itu pasti diganjari pahala yang banyak dan merupakan dugaan dan ujianNya.
- Jangan makan makanan yang dihadiahkan orang lain kepada si pesakit kerana ia bukanlah adab yang sopan yang wajar dilakukan.
Selain itu, perlu diingatkan akan tujuan menziarahi orang sakit ini hanyalah semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT kerana ia pasti akan mengingatkan si penziarah akan kematian dan masa sihatnya itu bila-bila masa sahaja boleh ditarik serta diuji akan kesakitan oleh Allah SWT.
Seterusnya, marilah kita sentiasa mendoakan kesembuhan pesakit. Doakan untuknya seperti mendoakan, “Ya Tuhanku, sihatkanlah sahabatku ini”, atau dikatakan “Semoga Allah SWT menyembuhkan saudara dengan segera”. Boleh juga berdoa dengan doa yang berbunyi:
أَذْهِبِ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ وَاشْفِ أَنْتَ الشَّافِي لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءٌ لَا يُغَادِرُ سَقَمًا
“Hilangkanlah kesakitan wahai Tuhan manusia, sembuhkanlah kerana Engkau Maha Penyembuh, tiada kesembuhan kecuali kesembuhan engkau, sembuh yang tidak membawa kepada sebarang sakit”, Riwayat Al-Bukhari & Muslim.
Tuntasnya, ziarah-menziarahi merupakan amalan mulia dan menunjukkan kasih sayang antara sesama kita. Nilai sesebuah masyarakat terletak pada akhlaknya. Jika tiada akhlak yang mulia maka hancurlah sesebuah tamadun masyarakat. Justeru, marilah sama-sama kita berusaha menjadi seorang hamba Allah SWT yang sentiasa melakukan yang terbaik dan saling menjaga hubungan sesama manusia dan terutamanya kepada Sang Pencipta, Allah SWT.