ADAKAH CATATAN AMAL SESEORANG HAMBA HANYA DIBENTANGKAN PADA BULAN SYAABAN SAHAJA?
Di antara peristiwa penting yang berlaku pada bulan Syaaban adalah diangkat catatan amal seorang hamba kepada Rabbul A’lamin. Kerana itulah baginda nabi Muhammad SAW memperbanyak amal-amal kebaikan, terlebih lagi dalam berpuasa. Harapan baginda, agar saat amalnya sedang dilaporkan dan dihadapkan kepada kekasihnya sang pencipta, dirinya ketika itu dalam keadaan berpuasa.
Sepertimana yang telah diriwayatkan oleh Imam An-Nasa’i dan Imam Ahmad dari Usamah ibn Zaid. Dalam riwayatnya, Usamah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasul, aku tidak melihatmu berpuasa pada suatu bulan sepertimana engkau berpuasa pada bulan Syaaban.” Baginda nabi Muhammad SAW menjawab:
فَذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ، بَيْنَ شَهْرِ رَجَبٍ وَشَهْرِ رَمَضَانَ، تُرْفَعُ فِيهِ أَعْمَالُ النَّاسِ، فَأُحِبُّ أَنْ لَا يُرْفَعَ عَمَلِي إِلَّا وَأَنَا صَائِمٌ
Maksudnya: “Ini adalah merupakan bulan yang dilalaikan manusia iaitu bulan di antara bulan Rejab dan bulan Ramadan. Aku tidak ingin amalanku diangkat, melainkan ketika itu aku sedang dalam keadaan berpuasa.” (Hadis Riwayat An-Nasa’i dan Ahmad).
Namun, berdasarkan riwayat sahih yang lainnya, waktu dibentangkan dan diangkatkan amalan seorang hamba bukannya hanya pada bulan Syaaban sahaja. Selain pada bulan Syaaban, amalan seorang hamba juga dibentangkan setiap minggu, setiap pagi dan petang, dan setiap pertengahan hari. Namun perbentangan amalan bagi setiap hamba pada bulan Syaaban skalanya adalah lebih luas dan lebih besar. Maka di sini tidak ada perselisihan atau pertentangan bagi dalil-dalil berkaitan perkara ini. Kerana, dalam setiap dalil dan perbentangan amalan ini tersimpan hikmah di dalamnya.
Antara dalil-dalil yang menyebutkan bahawa amalan seorang hamba dibentangkan pada setiap minggu adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan Abu Dawud dari Abu Hurairah. Dalam riwayat tersebut, Rasulullah SAW bersabda:
تُعْرَضُ الْأَعْمَالُ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالْخَمِيسِ فَيُغْفَرُ لِمَنْ لَا يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا، إِلَّا رَجُلًا بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ يَقُولُ: دَعُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا
Maksudnya: “Akan dibentangkan segala amalan-amalan itu kepada (Allah SWT) pada hari Isnin dan Khamis. Maka akan diampunkan dosa orang-orang yang tidak menyekutukan-Nya dengan apa pun, melainkan seorang lelaki yang antara dirinya dengan saudaranya terdapat permusuhan. Biarkanlah dua lelaki itu sampai kedua-duanya ber-islah(berdamai).”
Dalam sebuah riwayat yang diriwayatkan oleh Imam Muslim ada menyebutkan bahawa: “Pintu-pintu surga akan dibuka pada hari Isnin dan Khamis. Maka akan diampunkan Allah SWT pada setiap hambanya yang tidak menyekutukan Allah SWT dengan apa pun, kecuali lelaki-lelaki yang diantara dirinya dengan saudaranya ada kebencian(permusuhan).” Sementara itu, diriwayatkan dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, “Pada hari Isnin dan Khamis, segala amalan-amalan akan diperlihatkan (kepada Allah SWT). Aku ingin amalanku diperlihatkan ketika mana saat itu aku sedang berpuasa,” (HR Imam At-Tirmizi).
Selanjutnya, amalan seseorang hamba juga akan dilaporkan pada setiap pagi dan petang. Demikian yang diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahih-nya dari Abu Musa. Baginda Rasulullah SAW:
إِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ لَا يَنَامُ، وَلَا يَنْبَغِي لَهُ أَنْ يَنَامَ، يَخْفِضُ الْقِسْطَ وَيَرْفَعُهُ، يُرْفَعُ إِلَيْهِ عَمَلُ اللَّيْلِ قَبْلَ عَمَلِ النَّهَارِ، وَعَمَلُ النَّهَارِ قَبْلَ عَمَلِ اللَّيْلِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak tidur dan Dia tidak layak tidur. Dia merendahkan dan meninggikan akan timbangan amalan seseorang hamba. Amalan ketika waktu malam akan diangkat kepada-Nya sebelum amalan waktu siang. Amalan pada waktu siang akan diangkat kepada-Nya sebelum amalan pada waktu malam.” Hadis di atas dikuatkan lagi oleh hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Khuzaimah dalam Sahih-nya. Dalam riwayat tersebut, Rasulullah SAW bersabda:
تجتمع مَلائِكَةُ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ فِي صَلاةِ الْفَجْرِ وَصَلاةِ العصر، فيجتمعون في صلاة الفجر فيصعد مَلائِكَةُ اللَّيْلِ وَمَكَثَتْ مَلائِكَةُ النَّهَارِ، وَيَجْتَمِعُونَ بِصَلاةِ الْعَصْرِ وَتَصْعَدُ مَلائِكَةُ النَّهَارِ، فَيَسْأَلُهُمْ رَبُّهُمْ: كَيْفَ تَرَكْتُمْ عِبَادِي؟ فَيَقُولُونَ: أَتَيْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ وَتَرَكْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ، فَاغْفِرْ لَهُمْ يَوْمَ الدِّينِ
Maksudnya, “Para malaikat malam dan malaikat siang berkumpul pada saat solat subuh dan solat asar. Mereka semua berkumpul sewaktu solat subuh. Kemudian, naiklah malaikat malam, sedangkan malaikat siang bertahan. Mereka semua berkumpul lagi sewaktu solat asar. Kemudian malaikat siang naik. Lantas Allah SWT bertanya kepada mereka, “Bagaimana kalian melihat hamba-hamba-Ku?” Mereka menjawab, “Kami mendatangi mereka ketika mereka sedang melaksanakan ibadah solat. Dan ketika mana kami meninggalkan mereka, mereka juga dalam keadaan melaksanakan ibadah solat. Maka ampunilah mereka pada hari kiamat.”
Akhir sekali, amalan seorang hamba juga diangkat dan dibentangkan pada waktu tengah hari. Dalilnya adalah berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah ibn As-Sa’ib. Ia menyebutkan bahawa Rasulullah SAW sentiasa menunaikan solat sunat empat rakaat sebelum zohor (iaitu setelah tergelincir matahari). Kemudian, baginda nabi Muhammad SAW bersabda:
إِنَّهَا سَاعَةٌ تُفْتَحُ فِيهَا أَبْوَابُ السَّمَاءِ، وَأُحِبُّ أَنْ يَصْعَدَ لِي فِيهَا عَمَلٌ صَالِحٌ
Maksudnya, “Inilah waktu dimana pintu-pintu langit sedang dibuka, dan aku ingin pada waktu tersebut yang dinaikkan untukku ialah amal soleh,” (HR Ibnu Abi Syaibah). Maka kesemua dalil-dalil yang kami jelaskan disini, menunjukkan kepada kita bahawa amalan seseorang hamba tidaklah hanya dilaporkan dan dibentangkan khusus pada bulan Syaaban sahaja. Kerana tidak ada pertentangan dalil di dalamnya. Perlu bagi kita untuk mengetahui bahawa setiap dalil itu membawa hikmah yang mendorong kita selaku hamba untuk lebih giat melakukan segala amal-amal kebaikan setiap masa. Antara hikmah yang lain, dengan dalil inilah dapat kita mengetahui bahawa ketelitiannya Allah SWT terhadap amal-amal hamba-Nya. (Rujukan kitab Madza fi Syaaban, karangan abuya Sayyid Muhammad ibn ‘Alawi Al-Maliki Rahimahullah, halaman: 11-16).