APA ITU ILMU QIRAAT?
Ilmu Qiraat adalah ilmu yang terpenting bagi mereka yang mempelajari, membahas kandungan al-Quran dan menghafaznya. Ia mula berkembang luas pada zaman Rasulullah SAW seiring dengan penurunan wahyu dan semakin pesat meluas di zaman Salafussoleh setelah al-Quran dikumpulkan menjadi mushaf terutamanya pada zaman Saidina Uthman R.A. Ilmu Qiraat pada mulanya diangggap asing dan kurang diminati kerana tidak dimasyhurkan di negara ini serta tiada tempat untuk diketengahkan. Walau bagaimanapun, ilmu Qiraat kini sudah mula berkembang di Malaysia selaras dengan inisiatif kerajaan yang banyak membuka pusat Tahfiz, pengajian al-Quran dan Qiraat.
Menurut takrif dari segi bahasa, kalimah al-Qira’at (القراءات) ialah kata jama’ bagi kalimah al-Qira’ah (القراءة), dan merupakan masdar atau kata terbitan bagi kalimah Qara-a (قرأ) yang bererti bacaan. Dari segi istilah menurut ad-Dimyathy, ilmu qiraat ialah ilmu bagaimana menyebut kalimah al-Quran dan kekhilafannya yang diambil atau disandarkan dari guru. Manakala menurut Imam Ibn al-Jazari, ilmu qiraat ialah ilmu yang membicarakan tentang kaedah praktikal kalimah-kalimah al-Quran dan perbezaannya dalam menyebut dengan menyandarkan (al-Qira’at) kepada pembawanya (imam-imam al-Qira’at).
Sebagaimana hadis daripada Rasulullah SAW yang membincangkan tentang kewujudan al-Qiraat:
أَخْبَرَنَا مَالِكٌ، عَنِ ابْنِ شِهَابٍ، عَنْ عُرْوَةَ بْنِ الزُّبَيْرِ، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَبْدٍ الْقَارِيِّ قَالَ: سَمِعْتُ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ: سَمِعْتُ هِشَامَ بْنَ حَكِيمِ بْنِ حِزَامٍ، يَقْرَأُ سُورَةَ الْفُرْقَانِ عَلَى غَيْرِ مَا أَقْرَأُهَا، وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَقْرَأَنِيهَا، فَكِدْتُ أَنْ أَعْجَلَ عَلَيْهِ، ثُمَّ أَمْهَلْتُهُ حَتَّى انْصَرَفَ، ثُمَّ لَبَّبْتُهُ بِرِدَائِهِ فَجِئْتُ بِهِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنِّي سَمِعْتُ هَذَا يَقْرَأُ سُورَةَ الْفُرْقَانِ عَلَى غَيْرِ مَا أَقْرَأْتَنِيهَا، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «اقْرَأْ». فَقَرَأَ الْقِرَاءَةَ الَّتِي سَمِعْتُهُ يَقْرَأُ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «هَكَذَا أُنْزِلَتْ». ثُمَّ قَالَ لِيَ: «اقْرَأْ». فَقَرَأْتُ فَقَالَ: «هَكَذَا أُنْزِلَتْ، إِنَّ هَذَا الْقُرْآنَ أُنْزِلَ عَلَى سَبْعَةِ أَحْرُفٍ، فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنْهُ». (رواه البخارى)
Maksudnya: Daripada Umar bin Al-Khattab berkata aku mendengar Hisyam bin Hakim membaca surah al-Furqan pada zaman Rasulullah SAW. Aku mendengar bacaannya tiba-tiba ia membaca di atas huruf yang banyak yang mana Rasulullah SAW tidak pernah membaca kepadaku. Hampir aku ingin menariknya di dalam solatnya itu lalu aku bersabar sehingga ia memberi salam, kemudian aku menarik bajunya sambil berkata, “Siapakah yang membacakan surah ini kepadamu?” Ia menjawab, Rasulullah SAW yang membacakan kepadaku yang lain daripada bacaanmu.” Lalu aku membawanya kepada Rasulullah SAW dan mengadu tentang bacaan tersebut di atas huruf yang Rasulullah SAW tidak membacanya kepadaku. Rasulullah SAW bersabda kepadaku, “Bawalah Hisyam ke sini”. Dan Rasulullah SAW menyuruhnya membaca sebagaimana yang aku mendengar bacaannya, lalu Rasulullah SAW bersabda: “Begitulah ia diturunkan”. Selepas itu Rasulullah SAW menyuruhku pula membacanya dan aku membacanya sebagaimana Rasulullah SAW membacanya kepadaku lalu Rasulullah SAW bersabda, “Begitulah ia diturunkan dan sesungguhnya al-Quran itu diturunkan di atas tujuh huruf maka bacalah apa yang mudah daripadanya. (Riwayat al-Bukhari)
Hadis di atas menunjukkan bahawa ilmu Qiraat adalah daripada Rasulullah SAW dan bagindalah yang mengajarkan bacaan tersebut kepada para sahabat R.A. Kita juga diharuskan membaca Qiraat yang mudah dan senang dihafaz bagi kita tetapi disyaratkan bacaan tersebut mestilah diambil daripada guru dan bukannya daripada buku seperti yang diamalkan oleh Saidina Umar R.A.
Selain itu, ilmu Qiraat turut membawa kesan pada bidang ilmu yang lain seperti ilmu tafsir, fiqh, bahasa arab dan lain-lain. Sebagai contoh pada kalimah ( وَأَرۡجُلَكُمۡ ) dalam surah al-Mai’dah ayat 6, kalimah ini mempunyai 2 bacaan:
1- Bacaan secara majrur (kasrah pada huruf lam). Bacaan ini membawa hukum memadai dengan menyapu air di atas khuf bagi yang memakainya ketika berwudu’. Bacaan ini dipelopori oleh imam Ibn Kathir, Abu Amru, Syu’bah dan Hamzah.
2- Bacaan secara mansub (fathah pada huruf lam). Bacaan ini membawa hukum wajib membasuh kaki jika tidak memakai khuf ketika berwudu’. Bacaan ini dipelopori oleh imam Nafi’, Ibn Amir, Hafs dan Kisaie.
Begitu juga pada kalimah ( مَٰلِكِ ) dalam surah al-Fatihah ayat 4, kalimah ini mempunyai 2 bacaan:
1- Ithbat alif (kekalkan huruf alif). Bacaan ini membawa maksud yang menguasai pemerintah pada Hari Pembalasan. Bacaan ini dipelopori oleh Imam A’sim dan Kisaie.
2- Hazaf alif (buang huruf alif). Bacaan ini membawa maksud Raja. Bacaan ini dipelopori oleh Imam Nafi’, Ibn Kathir, Abu Amru, Ibn Amir dan Hamzah.
Kedua-dua kalimah ini saling melengkapi antara satu sama lain dengan membawa maksud mengenai kekuasaan Allah SWT.
Di samping itu, antara faedah mempelajari ilmu Qiraat ialah:
- Menjaga kesucian dan keaslian al-Quran daripada penyelewengan dan perubahan.
- Dapat membezakan bacaan yang dibenarkan atau sebaliknya.
- Memelihara daripada kesilapan bacaan atau menyebut huruf-huruf di dalam al-Quran.
Kesimpulannya, ilmu Qiraat ialah ilmu yang membahaskan bagaimana cara untuk menyebut kalimah-kalimah al-Quran yang merangkumi hukum mad, qasr, tarqiq, tashil, taqlil, imalah dan sebagainya. Begitu juga dengan makhraj huruf serta mengenali wajah bacaan Qurra’ yang diteruskan kepada perawi.
Ditulis oleh: Muhammad Syamil Bin Zamri.