BERITA GEMBIRA BUAT MEREKA!
Seperti yang pernah dinukilkan dalam penulisan terdahulu, Kg Bahagia, Sandakan, Sabah merupakan sebuah perkampungan atas air yang mempunyai ribuan penduduk. Kedudukan rumah mereka sangat rapat dan berkepadatan tinggi. Inisiatif diambil bagi mewujudkan pusat pengajian Al-Quran secara percuma bagi kanak-kanak di Kg Bahagia. Hal ini kerana ada dalam kalangan mereka yang tidak bersekolah atas faktor kewarganegaraan, ada juga tidak boleh ke sekolah kerana kesempitan kewangan. Memikirkan masa depan mereka, sebuah pusat pengajian Al-Quran yang diberi nama Nadi Al-Quran dibuka pada April 2022. Tenaga pengajarnya merupakan warga tempatan yang juga penduduk di Kg Bahagia.
Usaha demi usaha dilakukan bagi terus membuka ruang dan peluang buat anak-anak disana. Permulaan pusat ini hanya bermula dengan 20 orang pelajar. Meningkat kepada 25 orang dan pada Oktober 2022 menjadikan ia 2 kelas yang mempunyai jumlah keseluruhan pelajar 50 orang. (25 orang per kelas) Pengajaran dibantu oleh anak tenaga pengajar yang juga mempunyai ilmu pengetahuan dalam bidang Al-Quran. Walaupun begitu, masih ramai anak-anak menunggu untuk mengikuti kelas Nadi Al-Quran. Mereka ramai tetapi tempat sangat terhad. Ruangan Nadi Al-Quran bagi 50 orang itu bermula di rumah tenaga pengajar sahaja. Permintaan untuk belajar sangat tinggi.
Usaha ini perlu diteruskan dan tetap diteruskan. Satu per satu perancangan dibuat dalam mencuba memberikan yang terbaik buat anak-anak di sana. Berusaha sebaiknya untuk memberikan kebaikan kepada lebih ramai yang memerlukan.
Penghujung Februari 2023 merupakan permulaan perancangan besar bagi Kg Bahagia. Sebuah rumah dibeli, diubahsuai dan dibaiki untuk dijadikan sebagai pusat pengajian Nadi Al-Quran. Tempoh pembikinannya memakan masa hampir 2 bulan. Ruangan rumah yang dibina mampu menempatkan lebih kurang 100 orang pelajar dan ini menjadikan tambahan kelas baru di Nadi Al-Quran Kg Bahagia, Sandakan Sabah sebanyak 4 kelas iaitu 25 orang bagi setiap kelas.
Proses pembikinan Pusat Nadi Al-Quran di Kg Bahagia, Sandakan Sabah
Bulan Mei 2023, secara rasminya pusat Nadi Al-Quran yang baru dibina ini dibuka untuk pendaftaran. Secara keseluruhan, terdapat 6 buah kelas Nadi Al-Quran di Kg Bahagia, Sandakan Sabah. 4 buah kelas di pusat yang baru manakala 2 buah kelas lagi di ruangan yang lama iaitu di rumah tenaga pengajar. Ini membuatkan seramai lebih daripada 150 orang telah mendaftar di Nadi Al-Quran Kg Bahagia Sabah.
Semoga usaha ini berterusan dan misi dakwah ini dapat membantu lebih ramai lagi anak-anak untuk belajar Al-Quran. Terima kasih atas sokongan dan tajaan mereka yang bersama-sama menjayakan misi ini.