BERJALAN DENGAN GEMBIRA
PERJUANGAN setiap orang berbeza-beza. Begitu juga dengan matlamat dan tujuan, masing-masing mempunyai cara dan jalan tersendiri untuk menuju puncaknya, menuju destinasi yang dituju. Dalam perjalanan menuju matlamat itu, terlalu banyak perkara akan ditempuh. Kuat atau tidak? Berani atau takut? Sebesar mana tekadnya hati untuk terus berdiri dan berjalan meski jatuhnya bukan sekali?
SENYUMAN DISEBALIK PERJUANGAN
Teringat sebuah kata-kata,
“Focus on the journey, not the destination. Joy is found not in finishing an activity but in doing it” (Greg Anderson)
Sebab kenapa kita tetap terus berdiri dan berjalan menuju destinasi itu adalah kerana niat yang telah dipasakkan dalam hati. Niat yang kuat dan kukuh. Niat yang menjadi satu sebab dan alasan yang dimana perjalanan ini perlu dan tetap diteruskan.
Dengan niat yang kuat dan betul, ia akan menjadi penguat semangat dan sebab kukuh untuk meneruskan perjalanan yang telah dimulakan dan menghargai setiap satu ‘moment’ sepanjang perjalanan. Sampai ke destinasi merupakan satu kepuasan, namun bergembira dengan perjuangan dan perjalanan yang dilalui itu satu kebahagiaan. Fokuslah pada laluannya dengan niat menuju destinasi.
1 Julai 2023 genap setahun Ustazustazah Dot Com Sdn Bhd (UUC) bergerak sebagai sebuah syarikat berteraskan tiga bidang iaitu pengurusan projek, konsultasi dan latihan dan teknologi pendidikan. Berbekalkan pengalaman dahulu sewaktu UUC bergerak hanya sebagai sebuah jabatan CSR dibawah syarikat Qudwah Technology Sdn Bhd, kini, perjalanan diteruskan ke sebuah matlamat yang lebih besar.
Jalan yang dilalui mungkin lebih berliku dan mencabar, tetapi setiap satu langkah yang diambil mempunyai pengalaman dan nilai tersendiri. Nilai itulah yang memberi kegembiraan tersendiri sepanjang menuju matlamat. Pelbagai aktiviti dan program dilakukan, dari skala 50 pax sehingga ke 5000 pax. Dari hanya sebuah ceramah per bulan menjadi 2 – 3 ceramah per minggu.
Dikala pengunjung hanya hadir mengimarah dan memeriah setiap program dilakukan, UUC tetap terus bertungkus lumus menyediakan platform terbaik untuk pengunjung menimba ilmu, mendapat kebaikan dan keselesaan sepanjang program.
Pelbagai juga perubahan dan penambahbaikan dilakukan terus menerus sepanjang tahun demi mencari jalan yang terbaik. Mencari solusi terbaik buat kemaslahatan semua. Adakalanya perasaan kurang keyakinan itu hadir menggugatkan niat. Adakalanya emosi tercabar dek banyaknya kekangan dan ujian yang mendatang. Adakalanya terdapat kesalahan-kesalahan diluar jangka dan tidak disedari dilakukan.
Sekitar Program Riadah Sunnah: Memanah bersama Nadi Al-Quran N.Sembilan mendidik diri untuk yakin, fokus dan teruskan memanah.
Walaupun begitu, tetaplah teguh dan berdiri. Kukuhkanlah pendirian dan pasakkan niat semula. Pasang kekuda untuk terus berlari diatas jalan ini. Jalan perjuangan dakwah masa kini. Jalan perjuangan yang memberi manfaat dan kebaikan kepada ramai orang. Hargai setiap langkah dan saat, meski saat itu menjatuhkan, tetapi ibrah disebaliknya pasti besar dan bermakna.
Kedudukan kita pada saat ini adalah hasil daripada jalan yang dilalui. Tanaman yang dituai pada hari ini adalah kerana benih dan baja yang disemai pada masa sebelumnya. Bersabar dan tetap berjalan menuju kejayaan. Tiada kejayaan tanpa kegagalan. Tersenyumlah dan berjalan dengan gembira.
Wallahualam