BETUL KE ADA PEMBAZIRAN DALAM WUDUK ?
Ketika sedang mengajar kelas Nadi Al- Quran salah seorang pelajar datang dan tanyakan satu soalan yang menarik berkaitan pembaziran ketika berwuduk.”Ustaz saya sering melihat ramai orang yang membuka paip air untuk berwuduk di masjid dengan kuantiti air yang banyak sehingga menyebabkan pembaziran air. Apa hukumnya dari sudut Islam?”
Sememangnya banyak isu sebegini berlaku di kalangan masyarakat kita lebih-lebih lagi apabila menunaikan solat di tempat-tempat awam seperti masjid, lapangan terbang dan stesen rehat RnR. Hal sebegini perlulah dijauhkan seperti mana Nabi SAW mencegah dan melarang sahabat dari membazir ketika berwuduk.Ini kerana membazir ialah sebahagian daripada hasutan dan godaan syaitan.
Firman Allah SWT:
إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
(Surah al-Isra’: 27)
Malah ada sepotong hadis Abdullah ibn ‘Amr ibn al-‘Ash meriwayatkan:-
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ بِسَعْدٍ وَهُوَ يَتَوَضَّأُ فَقَالَ: مَا هَذَا السَّرَفُ يَا سَعْدُ؟ قَالَ: أَفِي الْوُضُوءِ سَرَفٌ؟ قَالَ: نَعَمْ، وَإِنْ كُنْتَ عَلَى نَهْرٍ جَارٍ
Maksudnya: Nabi SAW lalu di tepi Sa’ad ketika dia sedang berwuduk, Lalu Nabi bertanya, “Kenapa kamu membazir air ni, wahai Sa’ad?” Sa’ad bertanya, ‘Berwuduk pun ada pembaziran?’ Nabi SAW menjawab, “Ya walaupun engkau berwuduk di dalam sungai yang mengalir!”
[Riwayat Ahmad & Ibn Majah]
DEFINISI MEMBAZIR MENURUT KACA MATA ISLAM.
Imam Abd Qahir Al-Jurjani menyebut di dalam kitabnya al-Ta‘rifat tentang perbezaan israf (berlebihan) dan membazir. Lafaz israf merujuk kepada penggunaan sesuatu secara berlebihan daripada kadar keperluan manakala membazir pula merujuk kepada penggunaan ke atas sesuatu yang tidak perlu.
HUKUM MEMBAZIR AIR KETIKA WUDUK
Ulama’ bersepakat seperti disebut dalam kitab al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa berlebih-lebihan dalam penggunaan air ketika berwuduk hukumnya adalah MAKRUH namun perbuatan tersebut tidaklah membatalkan wuduk.
Menurut kitab Fiqh Al-Manhaji pula menggunakan air ketika berwuduk dengan kuantiti yang banyak, hukumnya DIMAKRUHKAN dan dikira berlebihan-lebihan. Dan maksud berlebihan tersebut ialah melampaui had kesederhanaan yang biasa.
Firman Allah SWT:
وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
Maksudnya: “Dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”
(Surah al- A’raf: 31)
Dari Abdullah Bin Mughaffal Nabi SAW bersabda:
إِنَّهُ سَيَكُونُ فِى هَذِهِ الأُمَّةِ قَوْمٌ يَعْتَدُونَ فِى الطَّهُورِ وَالدُّعَاءِ
Maksudnya: “Akan ada dalam kalangan umatku golongan yang melampau ketika bersuci dan berdoa.”
(Riwayat Nasaie)
PANDANGAN ULAMA’ BERKAITAN PENGGUNAAN AIR BERLEBIHAN KETIKA WUDUK
- Syeikh Mulla Ali Al-Qari seorang pakar hadis menyebut di dalam kitab beliau Mirqat al-Mafatih berkaitan hadis Nabi SAW menegur seorang sahabat ketika berwuduk:
“ Israf (berlebihan) dalam wuduk ialah satu perbuatan seperti menambah dari tiga kali basuhan, ataupun israf pada kadar iaitu menambah lebih dari kadar yang diperlukan dalam penggunaan air. Namun tidak ada kebaikan pada israf (berlebihan), dan tidak ada israf pada kebaikan. Sahabat Nabi iaitu Abdullah bin Amru menyangka bahawa tidak ada israf pada hal ketaatan dan ibadah. Lalu baginda bersabda: “Ya ada israf padanya. Sekalipun kamu berada di sungai yang mengalir”. Ini kerana pada perbuatan tersebut terdapatnya israf pada waktu dan pensia-siaan terhadap umur serta melampau had syar’ie (dalam wuduk). Menurut hadis ini perbuatan berlebihan menggunakan air ketika berwuduk itu dilarang oleh Nabi SAW, walaupun di tempat kuantiti air yang banyak contohnya laut “.
- Syeikh Syamsul Haq Al-Azim Abadi dalam kitab ‘Aunul Ma’bud, beliau menyebutkan bahawa,
فَالِْاعْتِدَاءُ فِي الطُهُورِ بِالزِيَادَةِ عَلَى الثَلَاثِ، وَإِسْرَافُ المَاءِ، وَبِالمُبَالَغَةِ فِي الغُسْلِ إِلَى حَدِّ الوَسْوَاسَ
Maksudnya: “Berlebihan dalam berwuduk ini, apabila (basuhan) ditambah melebihi tiga kali, menggunakan terlalu banyak air, atau berlebihan membasuh sehingga menjadi was-was.”
- Syeikh ‘Atiyyah Saqr, bekas ketua Lajnah Fatwa al-Azhar juga berkata:
مِنَ المَعْلُومِ أَنَّهُ مِنَ السُنّةِ فِي الوُضُوءِ وَالغُسْلِ أَن يَكُونَ ثَلاَثَ مَرَاتِ؛
وَمَا زَادٍ عَنِ المَرَاتِ الثَلَاثَةُ التَّي عَمَّتُ العَضْوِ كُلُّهُ أَو البَدَنِ كُلُّهُ كَانَ إِسْرَافًا مَنْهِيًا عَنْهُ فِي النُصُوصِ العَامَةُ المَعْرُوفَةِ، ذَلِكَ إِلَى جَانِبِ نُصُوصِ خَاصَةً بِذَلِكَ
Maksudnya: Maklum diketahui bahawa amalan sunnah dalam berwuduk dan (membasuh ketika) mandi ialah diulang sebanyak 3 kali, pengulangan melebihi 3 kali sampai ke semua anggota atau keseluruhan badan dianggap sebagai pembaziran yang dilarang sebagai disebutkan di dalam nas (al-Quran dan hadits) secara umum dan khusus.
- Imam al-Nawawi juga menyebut:
وَقَدْ أَجْمَعَ الْعُلَمَاءُ عَلَى كَرَاهَةِ الزِّيَادَةِ عَلَى الثَّلَاثِ وَالْمُرَادُ بِالثَّلَاثِ الْمُسْتَوْعِبَةِ لِلْعُضْوِ وَأَمَّا إِذَا لَمْ تَسْتَوْعِبِ الْعُضْوَ إِلَّا بِغَرْفَتَيْنِ فَهِيَ غَسْلَةٌ وَاحِدَةٌ
Maksudnya :“Para ulama telah bersepakat (Ijma’) bahawa hukumnya adalah makruh (membasuh anggota wuduk) melebihi tiga kali. Dan yang dimaksudkan dengan tiga kali basuhan tersebut ialah aliran air yang mengenai seluruh anggota. Adapun, jika tidak dapat mengalirkan air (membasuh) ke seluruh anggota melainkan dengan dua kali siraman. Maka, dua kali siraman itu, baru dikira satu kali basuhan.”
(al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/109)
Nabi SAW mencegah perbuatan membazir ini kerana membazir ialah salah satu perbuatan syaitan. Malahan sikap membazir ini bukan lah satu budaya Islam serta tak mencerminkan akhlak sebagai seorang Muslim yang sentiasa bersederhana di dalam setiap aspek. Ini kerana Nabi SAW sendiri adalah seorang yang sangat cermat dan sederhana, baginda hanya berwuduk dengan menggunakan secupak air.
Dari Anas R.A, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَغْسِلُ، أَوْ كَانَ يَغْتَسِلُ، بِالصَّاعِ إِلَى خَمْسَةِ أَمْدَادٍ، وَيَتَوَضَّأُ بِالمُدِّ
Maksudnya: “Nabi SAW mandi menggunakan satu gantang air (bersamaan empat hingga lima cupak air), dan Baginda berwuduk dengan menggunakan satu cupak air”.
(Riwayat Bukhari)
Di sini ialah tatacara berjimat ketika berwuduk yang boleh diikuti sebagai pedoman:
1. Jangan membazir ketika berwuduk dan mandi.
2. Paling kurang 1 kali (yang wajib sahaja), maksimum 3 kali.
3. Buka paip air kadar sederhana.
4. Jangan terlalu lama. Elakkan was-was.
5. Segera tutup paip jjika tidak menggunakannya atau setelah selesai.
Wallahua’lam.
Tag:solat, ustazustazahcom, wudhu