BULAN REJAB: ADAKAH BENAR HADIS KHUSUS TENTANG ISTIMEWA REJAB?
“Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zul al-Kaedah, Zul al-Hijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban”, Riwayat al-Bukhari, 4054.
- MAKNA REJAB
Rejab bermaksud membesarkan atau mengagungkan. Rejab merupakan bulan ke tujuh daripada Tahun Hijri dan merupakan antara bulan Haram yang diharamkan peperangan atau pembunuhan padanya (Mukhtar al-Shihah, 118)
- KELEBIHAN REJAB
Di antara kelebihan yang terdapat di dalam bulan Haram ini adalah bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain”, Tafsir Ibn Kathir, 130.
“Bulan Rejab adalah bulan untuk bercucuk tanam, bulan Sya’ban pula adalah bulan untuk menyiram tanaman dan bulan Ramadhan pula adalah bulan untuk memungut hasil”, Lathaif al-Ma’arif, 121/1.
- ADAKAH ADA KELEBIHAN AMALAN IBADAH BULAN REJAB SECARA KHUSUS?
- Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Tidak ada disebut di dalam hadith yang sahih (yang boleh dibuat hujjah) akan kelebihan bulan Rejab, berpuasa daripadanya disebabkan sesuatu perkara yang tertentu dan solat yang khusus”. [Tabyin al-‘Ajab, 9]
- Imam Ibn al-Qayyim mengatakan: “Setiap hadith yang menyebut berkaitan puasa di bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu di dalam bulan tersebut adalah satu pendustaan yang direka”. [al-Manar al-Munif, 96].
- “Tidak ada disebut berkaitan amalan pada bulan Rejab secara khusus di dalam sunnah yang sahih, juga yang hasan dan juga yang dhaif (dhaif ringan). Bahkan, kesemua yang diriwayatkan berkaitannya secara khusus adalah palsu lagi dusta dan teramat dhaif”. [al-Sail al-Jarrar, 297]
- “Tidak ada yang sahih pada kelebihan berpuasa di bulan Rejab yang khusus daripada Nabi SAW dan juga tidak ada yang khusus daripada sahabat Baginda SAW”. [Faidh al-Qadhir, 210/4]
- HUKUM MERIWAYATKAN HADITH PALSU
Para ulama menyatakan HARAM bagi kita meriwayatkan hadith palsu apabila diketahui akan keadaannya (palsu) melainkan bagi menjelaskan akan kepalsuannya. Hukum ini terbina berdasarkan kepada hadith-hadith yang menceritakan berkaitan larangan keras Rasulullah SAW terhadap pendustaan atas nama Baginda SAW.
- Maksudnya: “Barangsiapa yang berdusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” [Riwayat al-Bukhari, 107)]
- “Barangsiapa yang berkata di atas namaku yang mana aku tidak pernah mengucapkannya maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” [Riwayat al-Bukhari, 109)]
- “Sesiapa yang menyampaikan daripadaku sesuatu hadith yang pada sangkaannya adalah dusta maka dia adalah termasuk dalam kalangan pendusta”, Muqaddimah Sahih Muslim.
- TANGGUNGJAWAB DAN PERANAN KITA
Sebagai seorang mukmin yang cinta kepada Rasulullah SAW seharusnya bagi kita menjaga nama dan diri Rasulullah SAW daripada dicemari dengan pendustaan dan pemalsuan golongan yang tidak bertanggungjawab.
“Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia kasih kepadaku lebih daripada dia kasih kepada ibubapanya, anaknya dan manusia keseluruhannya.” [Riwayat al-Bukhari, 15.]
Selain itu, wajib ke atas kita sebagai seorang Muslim sebelum membaca, menulis, mengajar, menyampaikan atau menyebarkan sesebuah hadith Nabi SAW, ia perlulah dikenalpasti terlebih dahulu akan sumber dan status (hukum) hadith tersebut. Ini kerana, bimbang dengan tidak menyatakan sumber dan hukum hadith tersebut, akan menyebabkan kita termasuk ke dalam ancaman Nabi SAW.
Perlu diingat, hadith palsu merupakan PERINGKAT HADITH DHAIF YANG PALING BURUK sebagaimana yang telah disebutkan oleh Imam Ibn Salah:
“Ketahuilah olehmu bahawa sesungguhnya hadith palsu adalah termasuk di dalam hadith-hadith dhaif yang paling buruk”, al-Muqaddimah, 98.
Nukilan Dato’ Seri Dr.Zulkifli Mohamad Al-Bakri: “Hadith Rejab, Zulhijjah, Muharram dan sebagainya yang menceritakan kelebihan kemasukan awal bulan Islam adalah palsu. PENYEBARAN INI PERLU DIHENTIKAN. Hukum meriwayatkannya adalah HARAM melainkan untuk menyatakan kepalsuannya dan akibatnya akan dicampak ke api neraka akhirat kelak”.
- KESIMPULAN
Bulan Rejab tidak mempunyai apa-apa kelebihan yang khusus daripada hadith-hadith yang sahih seperti amal ibadat tertentu. Walaupun begitu, ini tidak menghalang seseorang itu untuk melaksanakan amalan seperti berpuasa, solat sunat, bersedeqah dan lain-lain lagi dengan syarat tidak beri’tiqad (mempercayai) bahawa amalan ini mempunyai kelebihan-kelebihan yang khusus atau tertentu.
Marilah kita bersama-sama mempertingkatkan amalan baik dan semoga Allah SWT sentiasa memberi kita taufiq dan hidayah-Nya dalam setiap amalan yang dilakukan agar ia tidak bercanggah dengan al-Quran dan juga sunnah Rasulullah SAW. Semoga Allah SWT juga memelihara lidah-lidah kita daripada berdusta di atas nama Nabi Muhammad SAW. InsyaAllah amin.