Dimulakan Dengan Basmalah
Bismillahirrahmanirrahim.
BASMALAH, APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN BASMALAH?
Persoalan ini mungkin terlintas di fikiran para pembaca. Ini kerana penggunaan perkataan ini
amatlah asing di kalangan umat islam di Malaysia. Akan tetapi, tahukah anda bahawa anda
sebenarnya telah mengamalkan basmalah dalam kehidupan seharian anda?
Basmalah dari sudut Bahasa dan istilah adalah kalimah “Bismillahirrahmanirrahim”, ia juga
disebut sebagai “basmal” atau “basmalah”. Menurut kamus dewan, definisi bagi perkataan
bismillah adalah: Dengan nama Allah. Manakala, kalimah “Bismillahirrahmanirrahim”, apabila
diterjemahkan, bermaksud: Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha
Mengasihani.
Memandangkan Basmalah merujuk kepada kalimah “Bismillah”, adakah betul andaian saya
bahawa ia telah diamalkan di dalam kehidupan seharian anda? Di dalam solat dan doa anda?
KEUTAMAAN BASMALAH
Tahukah anda bahawa ayat pertama daripada Al-Quran Al-Karim yang diwahyukan kepada
Nabi Muhammad SAW juga menyebut tentang penggunaan Basmalah?
Allah SWT berfirman:
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian
makhluk). Surah Al-‘Alaq 96:1.
Selain itu, ayat pertama bagi surah pertama di dalam al-quran, Surah Al-Fatihah, adalah
kalimah “Bismillahirrahmanirrahim”. Keutamaan surah ini InsyaaAllah akan dijelaskan di
dalam artikel yang akan datang.
Allah SWT berfirman:
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Surah Al-Fatihah 1:1.
Basmalah juga terdapat di permulaan setiap surah di dalam Al-Quran kecuali Surah At-
Taubah. Sekiranya anda tidak percaya, dipersilakan untuk membuka mashaf Al-Quran anda dan memeriksa setiap awal surah di dalam Al-Quran.
KENAPA NAK MULA DENGAN BASMALAH?
Soalan ini telah dijawab oleh Nabi Muhammad SAW melalui sabdanya: Setiap perkara yang
tidak dimulai dengan “Bismillahirrahmanirrahim”, maka amalan tersebut akan terputus.
Riwayat Ibnu Majah (1894).
Ini bermakna, meninggalkan basmalah di awal perbuatan boleh menyebabkan hilangnya
rahmat dan keberkatan ke atas perbuatan itu.
BILA NAK GUNA BASMALAH?
Basmalah patut digunakan sebelum memulakan sesuatu perkara yang baik dan bermanfaat,
yang tidak bercanggah dengan syariat. Contohnya, saya memulakan penulisan artikel ini
dengan kalimah bismillah dengan harapan penulisan saya ini diberkati dan dapat memberi
manfaat kepada diri saya sendiri dan juga kepada anda, para pembaca. Manakala, para
pembaca yang memulakan pembacaan artikel ini dengan basmalah juga, diharap agar
pembacaannya diberkati, mendapat manfaat dan menghidupkan amalan “memulakan
dengan basmalah” dalam kehidupan seharian.
Amalan membaca “Bismillah” ini tidak seharusnya digunakan untuk melakukan perbuatan
yang sia-sia, makruh ataupun yang haram. Namun begitu, saya menggalakkan para pembaca
untuk memulakan setiap sesuatu dengan basmalah agar ia dapat memberkati perkara baik,
dan menghalang anda dari melakukan perkara buruk. Akan tetapi, sekiranya ia tidak dapat
menghalang anda daripada melakukan perbuatan sia-sia, makruh, atau haram tersebut, maka
tinggalkan membaca “Bismillah” melainkan di dalam hal-hal yang baik sahaja.
Justeru, amalkanlah membaca bismillah di awal setiap perbuatan kita, seperti sebelum
makan, sebelum tidur, di awal doa kita, dan sebagainya. Semoga segala amalan kita mendapat
keberkatan, yang mana amalan-amalan tersebut menjadi amalan yang bermanfaat di dunia,
bahkan membawa kepada keredaan Allah SWT dan pengakhiran yang baik di akhirat.