DIMULAKAN DENGAN BASMALAH
Bismillahirrahmanirrahim.
BASMALAH, APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN BASMALAH?
Persoalan ini mungkin terlintas di fikiran para pembaca. Ini kerana penggunaan perkataan ini amatlah asing di kalangan umat islam di Malaysia. Akan tetapi, tahukah anda bahawa anda sebenarnya telah mengamalkan basmalah dalam kehidupan seharian anda?
Basmalah dari sudut Bahasa dan istilah adalah kalimah “Bismillahirrahmanirrahim”, ia juga disebut sebagai “basmal” atau “basmalah”. Menurut kamus dewan, definisi bagi perkataan bismillah adalah: Dengan nama Allah. Manakala, kalimah “Bismillahirrahmanirrahim”, apabila diterjemahkan, bermaksud: Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Memandangkan Basmalah merujuk kepada kalimah “Bismillah”, adakah betul andaian saya bahawa ia telah diamalkan di dalam kehidupan seharian anda? Di dalam solat dan doa anda?
KEUTAMAAN BASMALAH
Tahukah anda bahawa ayat pertama daripada Al-Quran Al-Karim yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW juga menyebut tentang penggunaan Basmalah?
Allah SWT berfirman:
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Surah Al-‘Alaq 96:1.
Selain itu, ayat pertama bagi surah pertama di dalam al-quran, Surah Al-Fatihah, adalah kalimah “Bismillahirrahmanirrahim”. Keutamaan surah ini InsyaaAllah akan dijelaskan di dalam artikel yang akan datang.
Allah SWT berfirman:
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Surah Al-Fatihah 1:1.
Basmalah juga terdapat di permulaan setiap surah di dalam Al-Quran kecuali Surah At-Taubah. Sekiranya anda tidak percaya, dipersilakan untuk membuka mashaf Al-Quran anda dan memeriksa setiap awal surah di dalam Al-Quran.
KENAPA NAK MULA DENGAN BASMALAH?
Soalan ini telah dijawab oleh Nabi Muhammad SAW melalui sabdanya: Setiap perkara yang tidak dimulai dengan “Bismillahirrahmanirrahim”, maka amalan tersebut akan terputus. Riwayat Ibnu Majah (1894).
Ini bermakna, meninggalkan basmalah di awal perbuatan boleh menyebabkan hilangnya rahmat dan keberkatan ke atas perbuatan itu.
BILA NAK GUNA BASMALAH?
Basmalah patut digunakan sebelum memulakan sesuatu perkara yang baik dan bermanfaat, yang tidak bercanggah dengan syariat. Contohnya, saya memulakan penulisan artikel ini dengan kalimah bismillah dengan harapan penulisan saya ini diberkati dan dapat memberi manfaat kepada diri saya sendiri dan juga kepada anda, para pembaca. Manakala, para pembaca yang memulakan pembacaan artikel ini dengan basmalah juga, diharap agar pembacaannya diberkati, mendapat manfaat dan menghidupkan amalan “memulakan dengan basmalah” dalam kehidupan seharian.
Amalan membaca “Bismillah” ini tidak seharusnya digunakan untuk melakukan perbuatan yang sia-sia, makruh ataupun yang haram. Namun begitu, saya menggalakkan para pembaca untuk memulakan setiap sesuatu dengan basmalah agar ia dapat memberkati perkara baik, dan menghalang anda dari melakukan perkara buruk. Akan tetapi, sekiranya ia tidak dapat menghalang anda daripada melakukan perbuatan sia-sia, makruh, atau haram tersebut, maka tinggalkan membaca “Bismillah” melainkan di dalam hal-hal yang baik sahaja.
Justeru, amalkanlah membaca bismillah di awal setiap perbuatan kita, seperti sebelum makan, sebelum tidur, di awal doa kita, dan sebagainya. Semoga segala amalan kita mendapat keberkatan, yang mana amalan-amalan tersebut menjadi amalan yang bermanfaat di dunia, bahkan membawa kepada keredaan Allah SWT dan pengakhiran yang baik di akhirat.