DISEBALIK AIR TERMENUNG
Setiap dugaan manusia itu berbeza-beza. Setiap insan mempunyai pelbagai kisah dan cerita. Setiap daripada kita terdapat coretan-coretan jiwa yang pelbagai warna. Disebalik semua ini, wujud seribu satu petanda. Acap kali didengari istilah air termenung apabila tiba musim tengkujuh. Airnya kelihatan tenang, tiada arus, tidak deras dan pegun disuatu kawasan dengan kadar yang lama sementara menunggu surut. Sedangkan dada-dada setiap insan yang diuji ini tidak tenang, galau, gundah gulana, tidak putus-putus berzikir, memanjatkan doa dan memohon kekuatan untuk menempuh ujian ini. “Kuatkan aku Ya Allah, bantu hambaMu ini Ya Allah”, bisikan-bisikan jiwa yang dilanda bencana.
Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), definisi bencana ialah suatu kejadian yang menyebabkan gangguan kepada aktiviti masyarakat dan urusan Negara melibatkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda, kerugian ekonomi dan kemusnahan alam sekitar yang melangkaui kemampuan masyarakat untuk mengatasinya dan memerlukan tindakan penggemblengan sumber yang ekstensif. Malaysia terdedah dengan beberapa bencana yang pernah melanda iaitu banjir, ribut, tanah runtuh, kebakaran dan gempa bumi (Laporan Tahunan NADMA, 2018). Bencana-bencana sebegini memberi impak yang sangat besar kepada mangsa. Impak nyata yang menimpa mangsa adalah kerosakan dan kemusnahan harta benda dan ada juga yang melibatkan kemalangan jiwa yang meragut orang yang tersayang. Walaubagaimanapun, kesan tidak nyata yang mempengaruhi dan memberi kesan sepanjang hidup adalah impak psikologi dan mengganggu kesihatan mental.
Sumbangan yang diberikan terlalu banyak dari segenap pelosok negeri, walaupun begitu, sokongan emosi, sumber tenaga manusia, sesi kaunseling dan sokongan moral perlu diberi kepada mangsa bagi memberi dorongan buat mereka meneruskan kehidupan dan bukannya hidup dalam tekanan. Pelbagai kajian dan agensi telah mengeluarkan kaedah-kaedah dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menempuh situasi bencana. Sebagai rakyat yang prihatin, perlulah cakna akan perkembangan-perkembangan semasa dan penting buat kawasan setempat dan keluarga. Persiapan mental juga perlu dijaga. Bencana ini merupakan suatu ujian. Ujian yang diberi Allah buat mereka yang mampu menanggungnya. Sekalipun dengan sekelip mata segala nikmat yang ada dihanyutkan, perlu untuk kita lihat dan perhati apa yang masih ada depan mata untuk dihargai dan disyukuri. Bersangka baik pada Allah.
Semoga diberi kekuatan dan ketabahan buat mereka yang menanggung dan melalui ujian ini. Besar ujianMu Ya Rabb Ya Khaliq. Hanya dariNya memohon segalanya. Semoga ada sinar bahagia dan ketenangan disebalik air yang termenung.