HAK MUSLIM KEATAS MUSLIM YANG LAIN
UKHUWWAH KERANA ALLAH
Sabda Rasulullah -sallallahu’alaihiwasallam- :
المسلمُ أخو المسلمِ
Maksudnya : “Seorang mukmin adalah saudara kepada mukmin yang lain.” (HR Muslim : 2580)
Ukhuwwah kerana Allah adalah satu kurniaan daripada Allah -subhanahuwaTa’ala-. Ianya merupakan satu sifat yang ada bagi hamba-hamba Nya yang beriman, serta diikat dengan ketaqwaan kepada Allah. Orang yang berukhuwwah kerana Allah, wajah-wajah mereka mempunyai cahaya pada hari akhirat. Sabda Nabi -sallallahua’laihiwasallam- melalui riwayat Saiyidina Umar al-Khattab – radiyallahu’anhu- :
إنَّ مِن عبادِ اللهِ لَأُناسًا ما هم بأنبياءَ ولا شُهداءَ، يغبِطُهم الأنبياءُ والشُّهداءُ يومَ القيامةِ بمكانِهم مِن اللهِ تعالى، قالوا: يا رسولَ اللهِ، تُخبِرُنا مَن هم؟ قال: هم قومٌ تحابُّوا برُوحِ اللهِ على غيرِ أرحامٍ بَيْنَهم، ولا أموالٍ يتعاطَوْنَها، فواللهِ إنَّ وجوهَهم لَنُورٌ، وإنَّهم على نُورٍ، لا يخافونَ إذا خاف النَّاسُ، ولا يحزَنونَ إذا حزِن النَّاسُ، وقرَأ هذه الآيةَ: {أَلَا إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللَّهِ لَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ} [يونس: 62].
Maksudnya : “Sesungguhnya dalam kalangan hamba-hamba Allah, adanya golongan yang mereka bukan para nabi atau para syahid. Namun, para nabi dan para syahid cemburu kepada mereka pada hari kiamat disebabkan kedudukan mereka di sisi Allah.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Beritahulah kami siapakah mereka?” Jawab Nabi: “Mereka itu golongan yang cinta-mencintai dengan roh Allah, tanpa ada hubungan kekeluargaan dan bukan kerana harta yang diidamkan. Demi Allah, sesungguhnya wajah-wajah mereka adalah cahaya, mereka berada di atas cahaya. Mereka tidak takut pada saat manusia ketakutan, mereka tidak berdukacita ketika manusia berdukacita.” Lalu Baginda membaca ayat al-Quran, maksudnya : “Ketahuilah sesungguhnya wali-wali Allah tiada ketakutan untuk mereka dan tidak pula mereka berdukacita.” (HR Abu Daud)
HAK MUSLIM KE ATAS MUSLIM YANG LAIN
Setiap muslim perlu memelihara hubungan sesama muslim yang lain. Islam menganjurkan dan meletakkan anjuran yang boleh dilakukan oleh seseorang muslim terhadap saudara muslim yang lain bagi mengikat persaudaraan dan mengukuhkan kehidupan sosial masyarakat muslim. Terdapat hadis yang menyebutkan :
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ سِتٌّ» قِيلَ: مَا هُنَّ يَا رَسُولَ اللهِ؟، قَالَ: «إِذَا لَقِيتَهُ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ، وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ، وَإِذَا اسْتَنْصَحَكَ فَانْصَحْ لَهُ، وَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللهَ فَسَمِّتْهُ، وَإِذَا مَرِضَ فَعُدْهُ وَإِذَا مَاتَ فَاتَّبِعْهُ» (رواه مسلم : 2162)
Daripada Abi Hurairah, bahawa Rasulullah -sallallahu’alaihiwasallam- bersabda : ”Hak seorang Muslim terhadap sesama Muslim itu ada enam. Baginda ditanya : Apakah dia wahai Rasulullah?, Baginda bersabda : iaitu apabila engkau berjumpa dengannya ucapkanlah salam, apabila dia mengundangmu maka penuhilah, apabila dia meminta nasihat kepadamu nasihatilah, apabila dia bersin dan mengucapkan ‘Alhamdulillah’ maka doakanlah dengan ucapan ‘Yarhamukallah’ (semoga Allah memberikan rahmat kepadamu), apabila dia sakit ziarahilah, dan apabila dia meninggal dunia iringilah (jenazahnya).”
Hak disini bermaksud hak dalam ukhuwwah Islam. Ianya adalah hak yang dikongsi diantara orang-orang Islam dalam bermuamalah sesama mereka. Hikmah daripada suruhan memenuhi hak seseorang muslim oleh muslim yang lain ini adalah agar semakin bertambah rasa kasih sayang dalam diri seorang muslim terhadap saudaranya. Dengan memenuhi hak saudara muslim, ianya juga dapat menghilangkan rasa dendam dan kebencian dalam hati seorang muslim terhadap saudaranya, selain sebagai cara mengukuhkan lagi ikatan persaudaraan dalam masyarakat muslim.
– UCAPKANLAH SALAM
Asal kalimah salam adalah bermaksud kesejahteraan. Allah swt mensyariatkan salam kepada hamba-hamba Nya supaya mereka saling berkasih sayang dan tidak merasa benci terhadap sesama Muslim, selain menumbuhkan kemesraan serta menambahkan rasa mahabbah serta kesatuan. Menurut kitab al-Kaukab al-Wahhaj, فَسَلِّمْ عَلَيْهِ (ucapkanlah salam) iaitu sebagai memuliakan dan penghormatan.[1] Ungkapan salam ada disebutkan didalam al-Quran, dan antaranya ialah menunjukkan :
Salam adalah penghormatan daripada para malaikat sepertimana firman Allah -subhanahuwaTa’ala- dalam Surah al-Ra’d ayat ke 24 :
﴿… وَالْمَلَائِكَةُ يَدْخُلُونَ عَلَيْهِمْ مِنْ كُلِّ بَابٍ٢٣ سَلَامٌ عَلَيْكُمْ بِمَا صَبَرْتُمْ فَنِعْمَ عُقْبَى الدَّارِ٢٤﴾ [الرعد: 23-24]
Maksudnya : «… sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu;(23) (Memberi hormat dengan berkata): “Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu(24)»
Ianya juga adalah ungkapan salam daripada Allah -subhanahuwaTa’ala- kepada para nabiNya. Firman Allah -subhanahuwaTa’ala- :
﴿سَلَامٌ عَلَى نُوحٍ فِي الْعَالَمِينَ٧٩﴾ [الصافات: 79]
Maksudnya : «”Salam sejahtera kepada Nabi Nuh dalam kalangan penduduk seluruh alam ! “(79)»
Selain itu, salam merupakan kata-kata penghormatan diantara ahli syurga dengan ahli syurga yang lain. Firman Allah -subhanahuwaTa’ala- :
﴿دَعْوَاهُمْ فِيهَا سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَتَحِيَّتُهُمْ فِيهَا سَلَامٌ …﴾ [يونس: 10]
Maksudnya: «… Dan ucapan penghormatan mereka padanya ialah: Selamat sejahtera! …»
– APABILA DIA MENGUNDANGMU MAKA PENUHILAH
Memenuhi undangan adalah wajib jika ianya adalah kenduri perkahwinan, selagimana majlis tersebut tidak diisi dengan perkara-perkara yang haram mahupun makruh. Seseorang yang dijemput menghadiri sesuatu undangan saudaranya hendaklah memenuhi undangan tersebut dengan menghadirinya meskipun dia tidak makan didalamnya.[2]
– APABILA DIA MEMINTA NASIHAT KEPADAMU, NASIHATILAH
Seseorang yang diminta nasihat daripada saudaranya tentang sesuatu urusan, maka hendaklah memberi nasihat kepada orang yang memintanya dengan nasihat yang benar, bukannya membodek mahupun menipunya, serta hendaklah berusaha memberikan nasihat seperti yang diminta.
– APABILA DIA BERSIN DAN MENGUCAPKAN ‘ALHAMDULILLAH’ MAKA DOAKANLAH DENGAN UCAPAN ‘YARHAMUKALLAH’.
Seseorang Muslim yang bersin lalu mengucapkan tahmid (alhamdulillah), maka hendaklah mendoakannya dengan ucapan ‘yarhamukallah’. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh saiyidina Abu Hurairah daripada Rasulullah -sallallahu’alaihiwasallam :
إِذَا عَطَسَ أَحَدُكُمْ فَلْيَقُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ. وَلْيَقُلْ لَهُ أَخُوهُ أَوْ صَاحِبُهُ يَرْحَمُكَ اللَّهُ. فَإِذَا قَالَ لَهُ يَرْحَمُكَ اللَّهُ. فَلْيَقُلْ يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ
Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu bersin, maka hendaklah ia menyebut Alhamdulillah. Dan menjawab bagi saudara atau sahabatnya yarhamukallah. Maka apabila seseorang menyebut kepadanya (orang yang bersin) Yarhamukallah maka hendaklah menyebut Yahdikumullah wa Yuslihu baalakum. (HR al-Bukhari :6224)
– APABILA DIA SAKIT ZIARAHILAH
Menurut Imam Nawawi -rahimahullah-, para ulama bersepakat menyatakan bahawa menziarahi orang yang sakit adalah merupakan perkara yang sunat, sama ada orang yang diziarahi itu adalah orang yang dikenali mahupun tidak.[3] Ziarah menziarahi sebenarnya bukan sahaja digalakkan ketika sakit sahaja, bahkan merangkumi semua keadaan sama ada semasa sihat mahupun berdukacita.
Antara kelebihan menziarahi orang yang sakit ialah sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah -radiyallahu’anhu- , Rasulullah -sallallahu’alaihiwasallam- bersabda:
مَنْ عَادَ مَرِيضًا ، نَادَى مُنَادٍ مِنَ السَّمَاءِ : طِبْتَ ، وَطَابَ مَمْشَاكَ ، وَتَبَوَّأْتَ مِنَ الْجَنَّةِ مَنْزِلاً
Maksudnya: “Sesiapa yang menziarahi orang sakit, maka ada penyeru yang menyeru dari langit: Kamu adalah orang baik, dan langkahmu juga baik dan engkau berhak mendapat satu tempat di syurga[4].” (HR al-Tirmizi : 2008)
Berdasarkan laporan yang dipetik daripada portal i-Medik, hampir kesemua pesakit terkesan secara psikososial terhadap sakit yang dialami, mahupun terhadap kesusahan rawatan yang dijalani. Sokongan secara psikososial yang diberikan kepada seseorang pesakit terbukti dapat mengurangkan tekanan dan kesan gejala yang dialami oleh seseorang individu pesakit.[5]
Seseorang muslim digalakkan menziarahi pesakit dan mendoakan kesembuhan bagi orang yang diziarahinya. Selain itu, orang yang menziarahi pesakit juga perlu menjaga adab menziarahi pesakit seperti tidak duduk terlalu lama ketika berziarah, menzahirkan simpati kepada pesakit, berdoa untuknya serta memberikan kata-kata yang baik.
– APABILA DIA MENINGGAL DUNIA IRINGILAH (JENAZAHNYA)
Iringi jenazah iaitu mengikuti jenazahnya, sehinggalah menyolatinya atau sehingga jenazahnya dikuburkan.
Kesimpulannya, sebagai seorang muslim, marilah kita perbaiki hubungan sesama muslim yang lain dan menguatkan lagi perpaduan dalam masyarakat, agar Islam dapat berkembang dengan nilai-nilai akhlak dan mahabbah dalam diri setiap muslim.
[1] Muhammad al-Amin bin Abdullah bin Yusuf bin Hasan. t.th. Al-kaukab al-Wahhaj wa al-Raud al-Bahhaj fi Syarh Sohih Muslim bin al-Hajjaj. T.tp : t.pt. 22/101
[2] Muhammad al-Amin bin Abdullah bin Yusuf bin Hasan. t.th. Al-kaukab al-Wahhaj wa al-Raud al-Bahhaj fi Syarh Sohih Muslim bin al-Hajjaj. T.tp : t.pt. 22/101
[3] Muhammad al-Amin bin Abdullah bin Yusuf bin Hasan. t.th. Al-kaukab al-Wahhaj wa al-Raud al-Bahhaj fi Syarh Sohih Muslim bin al-Hajjaj. T.tp : t.pt. 22/100. Ibnu Hajar. T.th. Fathul Bari. T.tp : t.pt. 10/113.
[4] Terj : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. 2019. AL-KAFI #1073. https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3069-al-kafi-1073-hukum-menziarahi-kawan-non-muslim-yang-sakit
[5] Rohaniza binti Naihi. Mohammed Rasheedan bin Ellin. T.th. Sokongan Emosi Kepada Pesakit: Tiada Masa atau Tiada Kemahiran, atau…?. https://www.imedik.org/sokongan-emosi-kepada-pesakit-tiada-masa-atau-tiada-kemahiran-atau/ diakses pada 19 Oktober 2022.