HIJRAH KE HABSYAH
HIJRAH PERTAMA UMAT ISLAM
Dalam tempoh dakwah Baginda -صلى الله عليه وسلم- di Mekah, umat Islam menghadapi pelbagai tekanan dan penyiksaan daripada pihak kuffar Mekah setelah dakwah disampaikan secara terang-terangan. Baginda -صلى الله عليه وسلم- telah mengemukakan pandangan supaya umat Islam berhijrah ke Habsyah, iaitu Ethiopia, kerana raja yang memerintah Habsyah ketika itu merupakan seorang yang tidak kejam. Umat Islam disarankan untuk tinggal sementara waktu sehingga Tuhan membuka jalan dan kelapangan di masa hadapan.[1]
Hijrah ke Habsyah ini adalah hijrah pertama umat Islam yang berlaku pada Bulan Rejab tahun ke-5 kenabian.[2] Ianya bertujuan menjauhi fitnah yang akan menjejaskan agama Islam.
Pandangan Rasulullah agar umat Islam berhijrah ke Habsyah itu diterima baik oleh orang-orang Islam dan diantara mereka yang turut serta dalam hijrah ini ialah Saiyidina Uthman bin ‘Affan dan isterinya Ruqayyah binti Rasulullah, Abu Huzaifah dan isterinya, al-Zubair bin al-‘Awwam, Mus’ab bin ‘Umair, ‘Abdul Rahman bin Auf, dan Uthman bin Maz’un.
KAUM QURAISYH BERTEMU RAJA HABSYAH
Apabila pihak Quraisyh mengetahui perkara ini, mereka terus mengirimkan perutusan menghadap Raja Najasyi, iaitu Raja Habsyah agar menyerahkan kembali orang-orang Islam ke Mekah. Utusan Quraisyh yang datang turut membawa hadiah-hadiah dan ganjaran yang banyak untuk menawan hati Raja Habsyah tersebut. Meskipun begitu, Najasyi enggan menyerahkan sesiapapun melainkan sesudah bersoal jawab tentang agama Islam yang mereka anuti itu.
KEBIJAKSANAAN JAAFAR –رضي الله عنه– MENJELASKAN TENTANG ISLAM.
Najasyi telah meminta orang Islam supaya menerangkan tentang diri mereka dan agama yang mereka anuti. Saiyidina Ja’afar bin Abi Talib lalu kemudiannya bangun dan berucap sebagaimana yang dinukilkan daripada kitab Fiqh al-Sirah :
“Ke hadapan maharaja, sebenarnya kami ini di masa-masa dahulu iaitu di zaman jahiliyyah menyembah berhala, memakan bangkai, melakukan kejahatan, berperang, berkelahi, yang kuat menganiaya yang lemah sehinggalah Allah mengutus seorang Rasul daripada kalangan kami juga. Beliau itu memang terkenal dengan kejujuran, amanah, suci pekerti dan utusan Allah itu menyeru kami supaya bercakap benar, bersifat dengan sifat yang terpuji, jujur, ikhlas dan beramanah, menyeru kami menyembah Tuhan yang Maha Esa dan meninggalkan penyembahan berhala, berbaik-baik dengan jiran tetangga, meninggalkan kejahatan dan peperangan yang berlarutan serta segala sesuatu yang terkeji, seruannya tadi kami terima dengan baik. Segala yang dibawanya kami percaya sepenuhnya tetapi kaum kami termasuk dua orang utusan ini menyiksa dan menekan kami supaya kami balik semula kepada agama yang lama iaitu menyembah berhala. Setelah kami berasa sesak dan benar-benar di dalam penyiksaan yang tidak dapat kami menanggungnya maka kami keluar dan ke negara tuanlah yang kami pilih. Semoga dapat kami berlindung di sini jauh dari penyiksaan dan kezaliman.”
Setelah berlaku soal jawab diantara mereka, Najasyi akhirnya menyerahkan kembali kesemua hadiah yang dipersembahkan kepadanya, dan utusan Quraisyh pulang ke Mekah dengan kegagalan memujuk Raja Habsyah. Najasyi sebaliknya bertambah mesra dengan orang-orang Islam serta lebih berazam untuk melindungi mereka.
PENGAJARAN
Sebagai kesimpulannya, sistem hijrah disyara’kan dan diadakan dalam Islam dimana Rasulullah -صلى الله عليه وسلم- telah menyuruh sahabatnya berhijrah setelah mereka menerima penghinaan dan penyiksaan yang amat sangat daripada puak Quraisyh. Hijrah ini bertujuan untuk menjauhi fitnah yang akan menjejaskan agama Islam.[3]
Selain itu, umat Islam perlu menyedari bahawa negara menjadi tapak untuk menegakkan agama dan harta kekayaan hidup pula sebagai senjata untuk mempertahankan kedaulatan dan kesucian agama.
[1][1][1] Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti. 2016. Fiqh al-Sirah. Terj:Mohd Darus Sanawi ‘Ali. Selangor : Dewan Pustaka Fajar (DPF). 157.
[2] Abu Ibrahim Muhammad Ilyas Abd al-Rahman al-Faluzah. 1423H. al-Mausuah fi Sohih al-Sirah al-Nabawiyyah. Mekah : Matobi’ al-Sofa. 320.
[3] Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti. 2016. Fiqh al-Sirah. Terj:Mohd Darus Sanawi ‘Ali. Selangor : Dewan Pustaka Fajar (DPF). 161