HUKUM MENYAMBUT MAULID NABI SAW
12 RABIUL-AWWAL, merupakan tarikh keramat kerana ianya merupakan tarikh bagi peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW walaupun sesetengah ulama’ berpendapat Rasulullah dilahirkan pada 9 Rabiual-Awwal, namun semuanya menzahirkan rasa syukur dengan kelahiran insan agung yang mulia ini yang menjadi penyambung risalah Ilahi kepada manusia sejagat.
Sejarah Sambutan Maulid al-Rasul
Dinyatakan dalam kitab Al-Bidayah wa al-Nihayah karangan al-Allamah Ibn Kathir antara lain beliau memuji Raja al-Muzaffar yang telah menyambut majlis Maulid al-Rasul secara besar-besaran dengan berkata: “Adalah Raja Muzaffar menganjurkan Maulid Syarif pada Rabi’ul Awal dan membuat perhimpunan secara besar-besaran.
Di samping itu, beliau adalah seorang yang berhati bersih, bersemangat, berani, mempunyai semangat keperwiraan, cerdik, alim, adil. Semoga Allah merahmatinya dan memuliakan kuburnya.” Dinukilkan di sini daripada beberapa kitab bagaimana para penyair di kalangan sahabat dan lainnya memuliakan Baginda SAW samada di hadapan Baginda atau melalui syair-syair mereka.
Antaranya, Al-Abbas bersyair: “Di kala dikau dilahirkan, bumi bersinar terang hingga jelas pasak bumi tidak mampu untuk menanggung cahayamu dan kami dapat terus melangkah lantaran kerana terangnya cahaya dan jalan yang terpimpin.” Lihat al-Mustadrak ala al-Sahihain.
Namun mungkin menjadi persoalan di kepala kita apakah sebenarnya hukum meraikan Maulid al-Rasul ini?
Persoalan ini menjadi khilaf dan perdebatan antara ulama’, ada yang membenarkannya dan ramai juga yang melarang. Jadi ingin saya nukilkan di sini 2 PENDAPAT berkaitan hukum menyambut Maulid al-Rasul SAW.
Pertama: Hukum sambutan Maulidur Rasul adalah bid’ah (penambahan). Ini dipelopori oleh sebahagian ulama. Antara hujah mereka adalah:
Perayaan ini tidak pernah dilaksanakan pada generasi yang paling mulia, generasi sahabat, tabiin, tabi’ tabi’in, dan juga tidak pada generasi setelahnya. Ia adalah satu bentuk pemujaan yang melampau kepada Nabi SAW.
Sabda Nabi SAW
لاَ تُطْرُونِي، كَمَا أَطْرَتْ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ، فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ، فَقُولُوا عَبْدُ اللَّهِ، وَرَسُولُهُ
Maksudnya: “Janganlah kalian berlebihan dalam memujiku seperti kaum Nasrani yang memuji anak lelaki Maryam. Aku hanyalah hamba-Nya, maka katakanlah (mengenaiku) “ Hamba Allah dan Rasul-Nya “
(Riwayat al-Bukhari)
Kedua: Hukumnya adalah DIBOLEHKAN.
Syeikh Abdul Rahman bin Ismail al-Maqdisi (salah seorang Syeikh Dar al-Hadis di Damsyik) berpendapat: Adalah DIBOLEHKAN sambutan Maulidur Rasul berdasarkan amalan oleh tokoh ulama zaman dahulu antaranya di Irbil (salah satu wilayah di Iraq).
Antara tokoh-tokoh yang berpegang kepada keharusannya dan termasuk dalam bid’ah hasanah ialah:
Imam Jalaluddin al-Suyuti
Imam Ibn Hajar al-Haithami
Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili
Syeikh Abdul Halim Mahmud
Syeikh Atiyyah Saqr
Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi
Para ulama yang mengharuskan Maulid al-Rasul menggunakan hadis di bawah:
Dari Abu Qatada, sesungguhnya Rasulullah SAW pernah ditanya tentang puasa Isnin? Maka Baginda menjawab:
فِيهِ وُلِدْتُ وَفِيهِ أُنْزِلَ عَلَيَّ
Maksudnya: “Padanya aku dilahirkan dan padanya diturunkan (al-Quran) ke atasku.”
(Riwayat Muslim)
Ini menunjukkan bahawa Rasulullah mensyukuri nikmat Allah atas kelahirannya pada hari Isnin dengan berpuasa. Maka, jika Baginda SAW berpuasa pada hari Isnin kerana bersyukur kepada Allah atas kelahirannya sendiri pada hari itu, maka begitu juga bagi umatnya untuk mensyukuri nikmat kelahiran Baginda SAW.
Berdasarkan dua pendapat ini saya berpandangan bahawa sambutan Maulid al-Rasul adalah harus dan termasuk dalam bid’ah hasanah (penambahan baru) tetapi hendaklah dengan meraikan beberapa syarat utama, antaranya:
Pengisian yang baik seperti tazkirah dan ceramah.Tiada percampuran lelaki dan perempuan serta menutup aurat. Sepertimana hadis Nabi SAW,
مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً، فَلَهُ أَجْرُهَا، وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ
Maksudnya: “Barang siapa yang melakukan (merintis) dalam Islam sesuatu perkara yang baik maka ia akan mendapatkan pahala daripada perbuatan baiknya tersebut, dan ia juga mendapatkan pahala dari orang yang mengikutinya selepasnya, tanpa dikurangkan pahala mereka sedikitpun”.
(Riwayat Muslim)
Tuntasnya, marilah sama-sama kita mentahqiqkan hasrat Sambutan Maulid al-Rasul SAW yang mana Rasulullah SAW menyatukan ummah daripada pelbagai kabilah, kaum, bangsa dan budaya agar semuanya kembali mengubudiyyah kepada Yang Maha Esa dengan penuh hikmah dan rahmah.
Tag:hadis, maulid nabi, ustazustazahcom