INI PUN SUNNAH: TAHARAH
Diakhir zaman ini, menghidupkan sunnah baginda sallallahu alaihi wasallam itu merupakan sesuatu yang sangat sukar. Bahkan jika dilihat pada akhir-akhir ini, umat Islam banyak disajikan dengan keindahan hidup didunia menyebabkan ramai dalam kalangan umat Islam pada hari ini menanamkan konsep pemikiran cukup sekadar buat perkara yang wajib atas alasan kekangan masa dan sebagainya. Kekurangan ilmu berkenaan sunnah juga memainkan peranan yang sangat besar yang menyebabkan mengapa sunnah baginda sallallahu alaihi wasallam diabaikan. Amat rugi buat mereka yang tidak menghidupkan sunnah kerana dalam sebuah hadis Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda yang bermaksud:
“Siapa yang menghidupkan salah satu sunnahku, lalu dikerjakan orang ramai, maka dia peroleh ganjaran mereka yang mengamalkannya, dengan tanpa mengurangi ganjaran mereka sedikit pun” (Hadis riwayat Ibnu Majjah)
Sunnah baginda sallallahu merangkumi segala aspek dalam kehidupan seharian kita sebagai seorang muslim. Bahkan banyak perbuatan yang kita lakukan sebenarnya ialah sunnah baginda sallallahu alaihi wasallam namun, disebabkan kurangnya ilmu, kita tidak berniat menghidupkan sunnah baginda. Jika dilihat daripada sudut bersuci ataupun taharah itu sendiri, banyak sunnah-sunnah yang kita lupa atau kita tidak tahu bahawa ianya adalah sunnah. Antara sunnah dalam bab taharah yang sering kita lupa ialah memasukkan air ke hidung sewaktu berwuduk. Hal ini jelas dalam sebuah hadis daripada Laqith bin sabrah katanya, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda yang bermaksud: “Ratakanlah wuduk kamu da sela-selalah jari jemari kamu dan berusahalah memasukkan air ke dalam hidung kecuali jika kamu berpuasa” (Hadis riawayat at-Tirmizi)
Antara sunnah-sunnah lain dalam bersuci yang sering kita lupakan atau mungkin kita tidak tahu berkenaan dengannya ialah berwuduk sebelum mandi junub sepertimana dalam sebuah hadis daripada Aisyah r.a katanya yang bermaksud: “Apabila mandi junub, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam membasuh kedua tangannya kemudian berwuduk sebagaimana wuduk untuk solat, kemudian baginda mandi” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Menurut Ibnu Daqqil dalam Ihkamul Ahkam Syarhu Umdatul ahkam 1/92 melalui hadis ini jelas mendahulukan anggota wuduk sebelum mandi junub adalah sunnah.
Antara sunnah yang mungkin tidak pernah kita dengari berkenaan bersuci ialah bersiwak ketika masuk ke rumah. Dalam sebuah hadis daripada Miqdam bin Syuraikh dari ayahnya, katanya yang bermaksud: “Aku bertanya kepada Aisyah, apa yang mula-mula sekali Rasulullah sallallahu alaihi wasallam apabila memasuki rumahnya? Aisyah menjawab, “Baginda bersiwak” (Hadis riwayat Muslim). Sebahagian ulama mengatakan baginda berbuat demikian kerana ingin hilangkan bau-bau mulut setelah bercakap-cakap dengan ramai orang sebelum memasuki rumahnya.
Kesimpulannya, menghidupkan sunnah baginda sallallahu alaihi wasallam amatlah dituntut kerana ianya menjanjikan ganjaran pahala yang besar bagi mereka yang melaksanakannya. Perbanyakkanlah menghidupkan sunnah baginda sallallahu alaihi wasallam kerana kelak kita akan menagih syafaat baginda di akhirat.