JAMADIL AWAL: TIGA PANGLIMA PERANG HEBAT DIBUNUH
Pada bulan Jamadilawal tahun 8 Hijrah, suatu peperangan Islam yang besar dan sangat dahsyat telah berlaku dalam sejarah. Ianya adalah peperangan Mu’tah yang mengumpulkan seramai 3000 anggota tentera Islam untuk menentang tentera Rom. Ianya merupakan peperangan yang dahsyat kerana belum pernah dikumpulkan tentera seramai ini untuk bertempur.
Di manakah Mu’tah ini berlaku? Mu’tah adalah sebuah kampung di wilayah Balqa, Syam yang mana jarak antara Mu’tah dengan Baitulmuqqadis hanyalah sekadar dua marhalah sahaja.
Punca kepada peperangan Mu’tah ini adalah kerana sahabat Baginda SAW, al-Harith bin Umair al-Azdiy diutuskan untuk menyampaikan surat Rasulullah SAW kepada pemerintah Busra. Namun beliau dihalang oleh seorang gabenor di wilayah Balqa. Gabenor itu telah menangkap al-Harith dan dengan sadisnya leher al-Harith telah dipancung olehnya.
Apabila Rasulullah SAW mengetahui akan peristiwa ini, Baginda SAW sangat marah dan mengarahkan untuk dikumpulkan 3000 orang anggota tentera untuk menghadapi gabenor itu. Zaid Bin Harithah pula dilantik Rasulullah SAW untuk mengetuai peperangan Mu’tah ini. Antara pesanan Baginda SAW jika Zaid dibunuh, maka hendaklah diganti oleh Jaafar bin Abu Talib, dan jika Jaafar juga terkorban hendaklah digantikan dengan Abdullah bin Rawwahah.
“Perangilah di jalan Allah dengan nama Allah akan orang yang mengkufuri Allah. Jangan kamu berkhianat, jangan kamu berubah, jangan kamu membunuh anak-anak dan wanita, jangan membunuh orang tua yang sudah lanjut usia dan orang yang bersunyian di dalam tempat gerejanya, jangan memotong pokok kurma atau pokok kayu dan jangan meruntuhkan binaan.”
Ini merupakan antara pesanan-pesanan Baginda SAW agar sentiasa mementingkan kebaikan walaupun sedang berperang sebelum menghantar mereka untuk pergi berjihad di jalan Allah SWT.
Kedua-dua pasukan iaitu tentera Islam dan tentera Rom telah bertemu di Mu’tah. Alangkah terkejutnya tentera Islam apabila melihat hampir dua ratus ribu orang yang menyertai pasukan tentera Rom. Namun, ini sama sekali tidak menggoyahkan semangat tentera Islam kerana mereka yakin akan apa yang bakal diperolehi. Samada menang atau mati syahid di jalan Allah SWT.
Zaid Bin Harithah mula bertempur sambil memegang bendera putih dengan gagah dan beraninya memperjuangkan agama Islam menentang tentera Rom itu. Beliau terus berperang sehingga gugur kerana tusukan bertalu-talu daripada lembing-lembing musuh tentera Islam.
Setelah Zaid gugur, Jaafar pula mara maju ke hadapan berjuang dengan hebatnya tanpa ada tolak bandingannya. Jaafar RA terus mengambil bendera pasukan dan berlawan sepenuh hati sehingga terputus tangan kanannya. Lalu dipegang pula bendera pasukannya menggunakan tangan kiri namun tangan itu terputus jua.
Tidak patah semangat, Jaafar RA meneruskan peperangan dengan memegang bendera pasukannya menggunakan kedua-dua lengannya yang sudah terputus tangannya. Namun, akhirnya Jaafar RA syahid jua akibat dicantas dengan kuatnya oleh pihak musuh sehingga terbelah dua tubuhnya. Subhanallah!
Ditulis dalam Maktabah Al-Bakri, #2542: Siapakah Panglima Perang Mu’tah? Yang dinukilkan oleh Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri bahawa Jaafar RA akan diberikan sayap di dalam syurga kelak agar boleh terbang ke mana sahaja di dalam syurgaNya nanti. Oleh sebab inilah, beliau dikenali dengan gelaran Jaafar al-Tayyar (penerbang) atau Jaafar Dhu al- Jinahayn yakni (empunya dua sayap).
Setelah Jaafar gugur, mara pula Abdullah bin Rawwahah sambil menunggang kudanya untuk mengetuai tentera Islam dalam peperangan Mu’tah. Namun syahid jua bagi Abdullah Bin Rawwahah apabila sudah berjuang bermati-matian.
Ketika inilah tampil pula suatu sosok yang bijaksana yang pada mulanya hanya menjadi tentera dalam peperangan Mu’tah namun diangkat menjadi ketua setelah kesemua ketua panglima gugur syahid di medan perang. Beliau ialah Khalid bin al-Walid yang mengetuai dan meneruskan perjuangan tentera Islam.
Khalid bin al-Walid dan tentera Islam mampu bertarung melawan tentera Rom sepanjang hari pertama peperangan. Pada hari kedua, ketika inilah, Khalid bin al-Walid menunjukkan kebijaksanaannya dengan menyusun atur semula posisi barisan tentera Islam.
Disusunnya semula kedudukan tentera Islam dengan mengubah posisi tentera di barisan hadapan dan diletakkan di bahagian belakang, tentera sayap kanan pula diletakkan di sebelah sayap kiri dan begitu juga sebaliknya.
“Pasukan ini telah mendapat bantuan!”. Inilah kata-kata tentera Rom apabila mereka terpinga-pinga melihat pasukan tentera Islam dan timbullah gerun dalam diri mereka masing-masing untuk meneruskan pertempuran ini.
Akhirnya, tentera Khalid berjaya berundur sedikit demi sedikit tanpa mengubah sedikitpun akan posisi kedudukan peperangan. Tentera Rom tidak mengejar bahkan mereka takut untuk mengejar kerana menyangka ianya sekadar suatu strategi dan perangkap daripada tentera Islam untuk menjerumuskan lagi lantas membunuh mereka. Perang Mu’tah ini berakhir apabila tentera Islam berjaya berundur dengan selamat sehingga sampai ke Kota Madinah.