BERTAUBATLAH! DASYATNYA KIAMAT SEMAKIN MENGHAMPIRI
“Sesungguhnya hari Kiamat itu tetap akan datang (Aku sengaja sembunyikan masa datangnya) supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang dia usahakan”, Taha: 15.
Apakah antara tanda-tanda Kiamat itu semakin hampir kian berlaku?
Menurut penulis di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Irsyad Al-Fatwa siri yang ke-79: “Bentuk Dajjal Yang Sebenarnya” menukilkan bahwa Dajjal bercirikan:
- Seorang lelaki yang berbadan besar, dan berambut kerinting.
- Seorang lelaki yang pendek, hujung telapak kakinya berdekatan, sedangkan tumitnya berjauhan.
- Mata sebelah kanannya, seakan-akan satu biji anggur yang terapung.
- Tertulis di antara kedua mata Dajjal itu perkataan Kafir, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang boleh menulis, membaca mahupun tidak.
Diriwayatkan juga Dajjal akan pergi ke seluruh muka bumi melainkan Kota Makkah dan Madinah dengan menyebarkan fitnah-fitnah lalu ramai manusia akan terpedaya dan menjadi pengikutnya.
Selanjutnya, penurunan Imam Mahdi yang akan menteteramkan dunia. “Dunia tidak akan berlalu pergi sehinggalah bangsa Arab akan dikuasai oleh seorang lelaki dari kalangan ahli baitku yang namanya bersamaan dengan namaku”, Riwayat al-Tirmizi, 2230.
Beliau ialah Muhammad bin Abdillah al-Alawi al-Hasani dari zuriat al-Hasan bin Ali bin Abi Thalib RA. Beliau akan menegakkan keadilan serta menghalang kezaliman. Ustaz Umar Mukhtar Mohd Noor berkata di dalam Siri Bayan Linnas, “Imam Mahdi Menurut Pandangan Ahlus Sunnah” tanda untuk mengenali Al-Mahdi ialah:
- Di bahagian bahu Al-Mahdi, terdapat tanda yang sama pada bahu Nabi SAW.
- Banyaknya keberkatan dari bumi akan keluar sewaktu pemerintahannya seperti jika ditanam satu batang kayu di atas tanah yang kering lalu ia akan tumbuh hijau dan berdaun.
- Dahinya luas dan hidungnya mancung.
- Wajahnya bercahaya.
- Akhlak beliau menyerupai akhlak Rasulullah SAW.
Selain itu, diturunkan pula Nabi Isa A.S selepasnya penurunan Imam Al-Mahdi kemuka bumi ini agar dapat membunuh Dajjal dan ketika mereka bertemu di sebuah pintu yang dinamakan pintu Lud, Nabi Isa AS terus membunuhnya dengan menggunakan pedang.
Seterusnya pula, akan keluarlah Ya’juj dan Ma’juj yang ditakuti. Perkataan Ya’juj dan Ma’juj sendiri menggambarkan api yang menggelegak dan membara. Seolah-olahnya gerakan mereka tiada siapa yang mampu menahannya.
Sifat Ya’juj Ma’juj
- Bangsa yang kuat, tubuh yang gagah.
- Mempunyai muka yang lebar, mata yang kecil.
- Bilangan mereka sangat ramai, dan umur yang paling panjang.
- Mereka adalah manusia dan bukanlah jin.
- Pengakhiran Ya’juj Ma’juj
Allah SWT mengirimkan sejenis ulat yang muncul di leher Ya’juj dan Ma’juj dan membinasakan mereka seluruhnya menjadi bangkai yang busuk. Kemudian Allah SWT mengirimkan burung-burung untuk membawa bangkai-bangkai mereka dan dilemparkan ke tempat yang dikehendaki serta menurunkan hujan membasahi bumi sehingga menjadi licin.
Kemudian, akan muncullah pula asap dukhan yang mana Allah SWT berfirman di dalam Surah ad-Dhukan ayat 10, “Maka tunggulah hari ketika langit membawa kabut yang nyata, yang meliputi manusia. Inilah azab yang pedih”.
Tidak dilupakan juga kemunculan binatang dasyat Al-Dabbah yang dituliskan di dalam Bayan Linnas Siri Ke-186: Dabbatul Ard: Hakikat Dan Kemunculannya, akan keluarnya binatang Al- Dabbah yang sangat aneh dan tidak terbayang akan fizikalnya melalui akal fikiran. “Dan keluarnya binatang (Dabbah) kepada manusia pada waktu Dhuha (pagi)”, Riwayat Muslim, 5238.
- Ciri-Ciri Al-Dabbah
- Haiwan yang aneh. Tidak seperti haiwan yang biasanya.
- Berbulu dan berkaki empat.
- Tidak berekor dan bertanduk.
- Tinggi dan besar.
- Boleh berkata-kata dan memahami bahasa manusia.
- Bukan haiwan yang membiak. Tetapi satu haiwan sahaja.
Akhir sekali, tiupan sangkakala sebanyak 2 kali akan berlaku. Menandakan itulah hari penghabisan segala amal manusia. Hari yang bakal benar-benar terjadinya membuktikan Islam itu benar, Al-Quran itu benar. Kejadian tiupan sangkakala ini berlaku sebanyak dua peringkat:
- Pertama, tiupan sangkakala yang akan mematikan seluruh makhluk.
- Kedua, tiupan untuk membangkitkan semula kesemua manusia.
Kesimpulannya, Muslim yang beriman akan benar-benar mempercayai bahawa akan berlakunya tanda-tanda hari Kiamat seperti yang telah termaktub di dalam al-Quran dan Hadith. Semoga dengan kisah-kisah ini akan menambah keimanan dan ketaqwaan kita kepadaNya.