MAKNA DISEBALIK HARI RAYA
Ramadan sudah hampir menutup tirainya. Setelah sebulan penuh umat Islam menunaikan puasa Ramadan serta memenuhkan hari-hari dengan beribadah seperti solat tarawih, puasa ramadan, tilawah al-quran, bertahajud, zakat, sedekah dan lain-lain ibadah sebulan ini. Setelah perjalanan akhir sudah hampir tiba, maka lebih indah jika 10 malam terakhir ini dipenuhkan dengan tingkatan ibadah semaksimum mungkin. Ada diantara kita yang memburu malam lailatulqadar ada yang mengejar tahajud sepanjang malam dan ada pula yang mengejar mengkhatamkan kitab suci al-Quran. Sesungguhnya pula Aidilfitri adalah hari istimewa. Dalam hari perayaan Aidilfitri terkandung pelbagai peristiwa yang amat bermakna dari sudut spiritual, sosial, budaya, diri sendiri dan harapan. Dari segi spiritual Aidilfitri adalah tradisi keagamaan. Tradisi ini berasal daripada keyakinan keagamaan yang bukan hasil imiginasi manusia, tetapi ajaran yang memang didasarkan pada perintah Allah swt. Hari Raya Aidilfitri adalah perayaan yang penting yang diraikan oleh umat Islam. Pada pagi hari raya mereka memakai pakaian baru dan bersolat di masjid. Mereka mengucapkan syukur, bertakbir dan selepas itu mereka akan ziarah menziarahi meminta ampun daripada orang tua, ahli keluarga dan rakan-rakan.
Dari segi sosial, Aidilfitri menjadi fenomena masyarakat atau umat Islam secara keseluruhannya yang tidak sekadar dilakukan oleh satu dua orang sahaja, tetapi oleh kerana semua yang memeluk keyakinan keagamaan Islam. Semua umat Islam di mana pun ia berada, pasti menyambut hari raya. Aidilfitri juga mengekspresikan budaya seperti kebiasaan balik kampung dan hidangan kuih tradisi sesuai dengan latar belakang budaya masing-masing. Di desa, ada yang memeriahkan lebaran dengan tradisi makan ketupat, tradisi menyalakan pelita atau tradisi ziarah dan tradisi lain.
Manusia walau sehebat mana inteleknya, tetap memerlukan panduan dan bimbingan Allah dalam menelusuri dan menjalani kehidupan di dunia ini. Jadi Aidilfitri atau lebaran adalah satu daripada cara bagaimana Tuhan berkomunikasi dengan manusia melalui rangkaian ajaranNya. Makna terakhir Aidilfitri adalah makna diri sendiri. Meskipun terakhir, makna ini adalah makna paling penting dalam segala rangkaian makna di atas. Tiada maknanya seseorang yang merayakan Aidilfitri sesama manusia dan sesama makhluk lain yang hidup di muka bumi ini jika ia tidak Aidilfitri dengan dirinya sendiri.
Justeru, Aidilfitri adalah permulaan hari baharu, di mana masyarakat mengalami perubahan atau transformasi dalam dirinya. Aidilfitri bukan hari dengan kenderaan baharu, tetapi hari di mana individu dengan kesedaran baharu akan datang mengisi ruang-ruang kemasyarakatan. Manusia sempuna tidak pernah terwujud, tetapi manusia yang sedar akan keterbatasannya dan belajar daripada kekeliruan tujuan hidup dan dosa-dosa lalu yang pernah dibuat. Harapannya, daripada tangan manusia baharu ini akan lahir negara baharu, negara yang makmur dan diredhai Allah.