MASAK BUBUR MINGGUAN
Program Ramadan Terbaik 1444h mengandungi pelbagai program yang memberi manfaat kepada masyarakat. Jaringan kerjasama antara Ustazustazah.com, Qudwah Group dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAINS) Rembau juga diteruskan dalam program kali ini. Sokongan dan tajaan yang diberikan banyak memberi ruang dan peluang dalam memberi kebaikan kepada masyarakat setempat.
Masak Bubur Mingguan merupakan salah satu aktiviti mingguan yang dijalankan sepanjang Ramadan 1444h. Seperti tahun sebelumnya, setiap minggu staf dan orang kampung terlibat dalam proses pembikinan bubur dan menu pada setiap minggu adalah bubur lambuk. Kelainan yang dilakukan pada Ramadan kali ini adalah program Masak Bubur Mingguan menyajikan menu-menu yang berbeza setiap minggu. Sebanyak tiga menu yang ditetapkan sepanjang Ramadan. Pada minggu pertama Ramadan, menu bubur ialah bubur lambuk dengan beras sebanyak 10kg dan sasarannya adalah 300 bekas. Bubur lambuk sangat signifikan semasa bulan Ramadan dan hampir kesemua masjid, surau dan agensi akan mengadakan rewang memasak bubur lambuk.
Menu pada minggu kedua pula ialau bubur caca. Bubur caca merupakan satu juadah yang lebih mudah dari bubur lambuk kerana tidak melibatkan proses persiapan bahan-bahan mentah yang lama seperti memotong sayur, bawang dan sebagainya. Walaubagaimanapun, bagi memberi suatu pengalaman dan perasaan yang baru dan lain dalam diri mereka yang terlibat dalam pembikinan bubur caca, isi atau cendil yang digunakan diuli sendiri dengan pelbagai bentuk dan warna bagi menambah tarikan terhadap persembahan bubur tersebut. Pembikinan cendil memakan masa hampir 3 jam. Cendil dibuat dengan kuantiti tepung pulut sebanyak 10kg. Dimasukkan sebanyak 3kg ubi kayu bagi merasai lemak manis ubinya. Sebanyak 300 bekas dapat dihasilkan dan diagihkan kepada orang ramai.
Pada minggu seterusnya, menu bubur yang dipilih ialah bubur pulut hitam. Berbekalkan 10kg pulut hitam, 6kg gula pasir, 10 pek gula merah, daun pandan dan 20kg santan segar, sebanyak 500 bekas dapat dibungkus dan diserahkan kepada masyarakat. Bubur pulut hitam merupakan menu yang paling ringkas dan mudah untuk dimasak. Perlu untuk lebihkan santan untuk menambah kesedapan makanan. Menu yang terakhir ini dimasak bersama dengan bantuan dan sokongan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) Rembau. Seramai 8 orang dari JHEAINS Rembau turut hadir membantu bagi menyediakan 500 bekas. Proses bermula dari menampal pelekat ke bekas makanan sehingga membungkus semua. Disebabkan bubur kali ini sasarannya untuk memperoleh 500 bekas, sebanyak dua periuk telah digunakan bagi mempercepatkan proses.
Terima kasih diucapakan kepada JHEAINS Rembau atas bantuan, sokongan dan tajaan yang diberikan begitu juga semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program Masak Bubur Mingguan sempena Ramadan Terbaik 1444h.