MEMBURU MALAM ISTIMEWA YANG DINANTI NANTIKAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW dan sahabat baginda SAW.
Ramadhan ini adalah bulan yang sangat ditunggu-tunggu oleh orang-orang mukmin untuk mengejar pahala yang akan digandakan. Ada satu malam yang sangat istimewa telah dijanjikan Allah di dalam Al-Quran firmanya:
إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ ﴿١﴾ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ ﴿٢﴾ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) pada Malam al-Qadar, Dan adakah engkau mengetahui akan kebesaran Malam al-Qadar itu?, Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan”. [al-Qadr, 1-3]
Namun begitu menjadi persoalan kepada kita semua bilakah terjadinya malam lailatulqadr?
MashaAllah, tarikh dan masa berlakunya malam lailatul qadr hanyalah rahsia Allah hikmah besarnya agar kita sentiasa menghidupkan malam-malam bulan yang mulia ini. Banyak hadis-hadis Nabi dan pandangan Ulama’ mengatakan bahawanya Nabi Muhammad melebihkan amalannya pada 10 Malam terakhir.
Antara hadith yang menunjukkan akan kesungguhan Baginda SAW adalah:
- Daripada Aisyah RA, beliau menceritakan:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ العَشْرُ الأوَاخِرُ مِنْ رَمَضَانَ أَيْقَظَ أَهْلَهُ وَشَدَّ المِئْزَرَ وَأَحْيَا اللَّيْلَ
Maksudnya: “Adapun Rasulullah SAW apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadhan, Baginda SAW membangunkan ahli rumahnya, mengikat kainnya (menjauhi isteri-isterinya) serta menghidupkan malam tersebut”. [Riwayat Ibn Hibban, no. Hadith 3436]
Antara riwayat lain yang menunjukkan akan kesungguhan Baginda SAW adalah:
- Daripada Aisyah RA, beliau menceritakan bahawa:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْتَهِدُ فِيْ العَشْرِ الأَوَاخِرِ ، مَا لَا يَجْتَهِدُ فِيْ غَيْرِهِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya pada malam sepuluh akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam yang lain”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 2009]
Adapun mereka yang menentukan malam al-Qadar terdapat banyak pendapat, antaranya:
- Pertama: Pendapat yang paling kuat mengikut para ulama bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam 27 Ramadhan. Hujah mereka amat banyak, antaranya:
- Mengikut Abu Ka’ab RA katanya: “Demi Allah sesungguhnya Ibn Mas’ud telah meyakinkan bahawa malam al-Qadar berada dalam bulan Ramadhan dan jatuh pada malam ke-27. Akan tetapi, beliau enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya”.
- Daripada riwayat Muawiyah RA yang bermaksud: “Bahawa Nabi SAW telah bersabda bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27”.
- Riwayat ini disokong oleh Ibn Abbas RA yang mengatakan bahawa surah al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu adalah dhamir (هِيَ) yang kembalinya kepada Lailatul Qadar.
- Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah hadith daripada Ibn Umar RA yang bermaksud: “Sesiapa yang mencari malam al-Qadar, hendaklah dia mencarinya pada malam yang ke-27, carilah kamu malam al-Qadar pada malam yang ke-27”.
- Kedua: Pada malam 23 Ramadhan. Inilah adalah pendapat Imam Syafie RA dan ini juga merupakan pendapat Imam Malik RA, Ibn Khuzaimah RA, Abu Awanah RA dan al-Thahawi RA berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Unais RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ لَيْلَةَ ثَلاَثَ وَعِشْرِيْنَ
Maksudnya: “Carilah kamu malam al-Qadar pada malam ke-23 Ramadhan”. [Lihat: Jami’ al-Saghir, no. Hadith 3250]
- Ketiga: Pada malam 21 Ramadhan. Ini juga merupakan pendapat yang dipilih oleh Imam Syafie RA dengan berdalilkan pada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Baihaqi. Hadith tersebut daripada Ibn Mas’ud RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
اُطْلُبُوْهَا لَيْلَةَ سَبْعَ عَشْرَةَ مِنْ رَمَضَانِ وَلَيْلَةَ إِحْدَى وَعِشْرِيْنَ وَلَيْلَةَ ثَلاَثِ وَعِشْرِيْنَ
Maksudnya: “Tuntutlah (Carilah) kamu pada malam ke-17, 21 dan 23 dalam bulan Ramadhan”. [Riwayat Abu Daud, no. Hadith 1176]
- Keempat: Pada malam 24 Ramadhan. Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA, bahawa Baginda SAW bersabda:
اِلْتَمِسُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي أَرْبَعٍ وَعِشْرِيْنَ
Maksudnya: “Carilah malam Lailatul Qadar pada malam 24 Ramadhan”. [Lihat: Jami’ al-Saghir, no. Hadith 1569]
- Kelima: Pada malam terakhir Ramadhan. Hal ini berdasarkan sebuah hadith daripada Muawiyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
اِلْتَمِسُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ آخِرِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانِ
Maksudnya: “Carilah kamu malam al-Qadar pada malam terakhir bulan Ramadhan”. [Lihat: Jami’ al-Saghir, no. Hadith 1571]
Berdasarkan hadis-hadis ini wajiblah kita semua mencari malam lailatulqadr dan berdoa kepada Allah agar kita direzekikan berjumpa dengan malam tersebut. Marilah sama-sama kita berusaha sedaya mungkin agar ditemukan dengan malam yang istimewa ini yang akan memakbulkan doa-doa dan hajat kita.