MEMERHATI KEKUASAAN ALLAH DALAM ASHABUL KAHFI
Kisah ini bermula apabila para pemuda yang beriman ini melarikan diri ke gua untuk menyelamatkan pegangan akidah dan tetap berkeyakinan tauhid walaupun pelbagai ancaman yang ditujukan oleh raja yang zalim. Bilangan pemuda Ashabul Kahfi yang sebenar tidak diketahui, namun mengikut Ibnu Abbas jumlah mereka seramai tujuh orang termasuk seekor anjing.
Kemudian kisah diteruskan dengan mereka ditidurkan oleh Allah SWT selama hampir 309 tahun lamanya dan setelah terbangun, salah seorang keluar dari gua menuju ke kota untuk mencari makanan. Apabila pemuda itu ingin membayar dengan wang peraknya, penjual merasa hairan melihat wang tersebut lalu dibawanya pemuda itu kepada pihak raja.
Raja yang soleh pada ketika itu menyoal siasat pemuda tersebut. Apabila mendengar keterangannya, si raja terkenang akan kisah sekumpulan pemuda yang lari meninggalkan kota dan meminta kepada pemuda itu agar dapat melihat gua tempat persembunyian mereka.
Namun apabila sampai di pintu gua, pemuda tadi meminta kepada raja supaya jangan ikut masuk ke dalam gua kerana biar dia terlebih dahulu memberitahu rakan-rakannya. Setelah sekian lama menunggu tetapi tidak ada yang keluar, akhirnya raja masuk ke dalam gua dan rupa-rupanya Allah SWT telah mencabut roh kesemua pemuda Ashabul al-Kahfi itu. Maka, raja yang soleh itu memerintahkan rakyatnya supaya membangunkan masjid di atas gua tersebut.
Di sini bermula seribu satu persoalannya. Apakah yang boleh kita belajar sebagai hambaNya untuk sentiasa bermuhasabah diri akan kisah yang menakjubkan ini? Firman Allah SWT, maksudnya, “Dan engkau akan melihat matahari ketika terbit, condong dari gua mereka sebelah kanan, dan apabila matahari itu terbenam, menjauhi mereka ke sebelah kiri sedang mereka berada dalam tempat yang luas di dalam (gua) itu”, Al-Kahfi: 17.
Dijelaskan oleh para ulama bahawa mereka berada di tempat yang luas di dalam gua tersebut, dimana tidak terjangkau oleh sinar matahari, kerana jika sinar matahari itu mengenai mereka, nescaya badan dan pakaian mereka akan terbakar. Dengan kuasaNya juga, kedudukan gua itu memelihara pencahayaan, pengudaraan dan kesegaran tubuh mereka.
Selain itu, Firman Allah SWT maksudnya, “Dan kamu mengira mereka itu bangun padahal mereka tidur”, Al-Kahfi: 18. Nukilan Syeikh ‘Abdur-Rahman menerangkan bahawa mata mereka tetap terbuka dan tidak tertutup sehingga orang yang melihat, menyangka mereka terjaga padahal sedang tidur. Hal ini demikian kerana supaya mata mereka terkena udara dan tidak rosak serta tiada bendasing yang terkumpul di dalam mata. Hal ini juga merupakan pemeliharaan Allah SWT terhadap tubuh-tubuh hambaNya yang soleh.
Di samping itu juga, kekuasaan Allah SWT dibuktikan melalui FirmanNya “Dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri”, Al-Kahfi: 18. Inilah bukti kekuasaanNya. Walaupun mereka tidur amat lama dan tanpa makan dan minum, tetapi jasad mereka tidak hancur atau rosak. Seandainya tubuh mereka tetap dan tidak dibalik-balikkan, pasti akan dimamah ulat tanah serta gesekan bumi akan merosakkan tubuh mereka.
Tuntasnya, kisah Ashabul al-Kahfi adalah antara perkara yang menakjubkan sebagai tanda pembuktiaan keagungan Allah SWT. Akan tetapi, perlu diingatkan banyak lagi perkara yang membuktikan kekuasaanNya yang lebih menakjubkan seperti kejadian langit dan bumi serta segala isinya. Akhir kata, sebagai umat Islam kita perlu meyakini bahawa janji Allah SWT adalah benar. Allah SWT pasti sentiasa melindungi, dan menolong hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh.