PELABURAN HIBAH, SIAPA LAYAK TERIMA??
Frasa hibah bermaksud hadiah atau pemberian untuk memuliakan seseorang dan merupakan suatu amalan yang sunat dan digalakkan dalam Islam terutama kepada kaum keluarga terdekat. Hibah pada istilah syarak ialah suatu akad yang mengandungi pemberian milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada sesiapa sahaja sama ada ahli waris ataupun tidak pada masa hidupnya tanpa balasan. Secara lebih khusus lagi, hibah ialah suatu akad pemberian milik nilai harta daripada satu pihak kepada pihak yang lain tanpa balasan semasa hidup secara sukarela, bukan mengharapkan pahala di akhirat dan memuliakan seseorang dengan menggunakan lafaz ijab dan kabul atau seumpamanya. Merujuk ayat al-Quran Surah Al-Baqarah 177 berbunyi “ …dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta dan (memerdekakan) hamba sahaya.”
Islam tidak menetapkan kadar atau had tertentu bagi harta yang hendak dihibahkan. Ini kerana harta yang hendak dihibahkan itu merupakan milik pemberi hibah, maka terpulanglah kepada pemberi hibah membuat pertimbangan terhadap kadar harta yang ingin dihibahkan. Walaupun begitu, Islam menggalakkan hibah diberikan secara adil, lebih-lebih lagi jika diberikan kepada anak-anak. Jumhur ulamak (Hanafi, Maliki dan Syafie) berpendapat bahawa sunat menyamakan pemberian di antara anak-anak dan pemberian yang lebih kepada salah seorang daripada mereka adalah makruh hukumnya, walaupun pemberian itu sah. Bagi Abu Yusuf, melebihkan pemberian kepada sebahagian daripada anak-anak adalah diharuskan jika ibu bapa tidak berniat menimbulkan bahaya kepada anak-anak yang lain. Menurut pendapat Hanafi, Syafie, Maliki dan Abu Yusuf, cara pemberian harta yang adil kepada anak-anak semasa hayat ialah dengan cara menyamakan pemberian tersebut tanpa membezakan di antara anak lelaki dan anak perempuan. Sebaliknya, golongan Hanafi dan Muhammad bin Hassan al- Shaybani berpendapat bahawa keadilan yang dihendaki dalam pemberian adalah mengikut kadar mereka dalam pembahagian harta pusaka, iaitu bahagian anak lelaki menyamai dua bahagian anak perempuan.
Dalam melaksanakan sighah (ijab dan qabul), perkara yang penting untuk dilihat adalah sama ada elemen terimaan atau al-qabd berlaku atau tidak. Al-qabd (penerimaan barang) bermaksud mendapat sesuatu, menguasainya dan boleh melakukan tasarruf (urusan) terhadap barang atau harta tersebut. Mengikut mazhab Hanbali dan Maliki, penerimaan barang tidak disyaratkan dalam sesuatu hibah, malah memadai dengan akad semata-mata. Ini bererti apabila berlaku kematian salah seorang atau salah satu pihak sama ada pemberi hibah atau penerima hibah sebelum penyerahan barang, maka hibah itu tidak terbatal. Permohonan dan pelaksanaan hibah pula boleh dimohon melalui borang permohonan borang hibah mengikut undang-undang Malaysia.
Mengikut Abu Hanifah dan Syafie, penerimaan barang merupakan salah satu dari syarat sah hibah. Oleh itu, apabila berlaku kematian salah satu dari dua pihak sebelum penyerahan barang, maka hibah itu terbatal. Dalam mazhab Syafie, al-qabd merupakan syarat luzum, ertinya akad hibah tidak sempurna dan tidak berkuat kuasa dengan ijab dan qabul semata-mata, kecuali selepas al-qabd. Sekiranya al-qabd tidak berlaku maka akad hibah merupakan akad yang tidak mengikat. Oleh itu, pemberi hibah berhak menarik balik hibah tersebut selama mana harta berkenaan berada dalam pemilikannya. Menurut pendapat mazhab Syafie, Hanbali dan sebahagian fuqaha’ mazhab Maliki penarikan balik hibah boleh berlaku dengan semata-mata ijab dan qabul. Tetapi apabila disertakan dengan peyerahan dan penerimaan barang (al-qabd) maka hibah berkenaan tidak boleh ditarik balik kecuali hibah yang dibuat oleh bapa (termasuk juga ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya selama mana harta itu tidak ada kaitan dengan orang lain.
Hibah adalah penting kerana ia membolehkan pemilik aset atau pemilik hartanah mengagihkan kekayaannya kepada sesiapa sahaja sama ada ahli keluarga dan bukan ahli keluarga, tanpa mengira agama mereka. Ini berbeza dengan faraid di mana hak dan bahagian waris-waris si mati adalah berdasarkan ketentuan dalam Undang-undang Syariah. Hibah sebenarnya dapat melahirkan kesyukuran terhadap nikmat yang dikurniakan oleh Allah, membantu menampung keperluan waris atau orang-orang fakir dan miskin yang tidak bernasib baik dan mengeratkan ikatan silaturrahim sesama ahli waris.
Tag:jomshare, sedekah, ustazustazahcom