PERKEMBANGAN TEKNOLOGI DALAM ISLAM
PERKEMBANGAN TEKNOLOGI DALAM ISLAM
Perkembangan teknologi semakin berkembang secara meluas dari semasa ke semasa. Ianya berkembang dan berevolusi secara berperingkat mengikut peredaran masa. Teknologi merupakan pembangunan dan penggunaan alat, mesin, bahan dan proses untuk menyelesaikan masalah manusia dan membantu manusia menjalani kehidupan seharian. Allah SWT memberikan hambaNya akal serta ilham yang hebat untuk membantu hambaNya mencipta sesuatu yang baharu.
Teknologi dunia islam sudah membangun dari awal kejadian manusia dan terus mengalami penyempurnaan sehingga ke hari ini. Kemajuan teknologi pada zaman sekarang sangat berkait rapat dengan teknologi masa lampau. Terdapat beberapa zaman teknologi dalam islam yang boleh dijadikan sebagai motivasi bagi peminat teknologi. Antaranya ialah perkembangan teknologi pada zaman para nabi, Penciptaan Jam Air Gajah Al-Jazari dan sebagainya
Perkembangan teknologi pada zaman para Nabi
Pembangunan teknologi diperluaskan oleh para ilmuan terutama ilmuan islam yang memperolehi sumber dan rujukan dari zaman Nabi Adam hingga Nabi Muhammad SAW. Nabi Adam AS merupakan manusia pertama yang merasai kehidupan di dunia ini setelah diperintahkan oleh Allah SWT untuk turun kebumi. Allah SWT telah mengajarkan Nabi Adam ilmu berkaitan kehidupan di dunia.
Menurut firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 31 yang bermaksud “Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat lalu berfirman: “Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang benar orang-orang yang benar!”. Menurut Ibn al-Athir, nabi Adam AS diajar oleh Allah SWT melalui Jibril AS cara-cara menanam pokok dan membuat besi (Ibn al-Athir, 1978:24). Pengetahuan yang dimiliki Adam AS ini menunjukkan penguasaan terawal manusia dalam sains dan teknologi.
Pada Zaman Nabi Nuh pula, Allah SWT telah memberi wahyu kepada Nabi Nuh AS untuk mencipta kapal bagi menyelamatkan umatnya yang beriman dari banjir besar. Nabi Nuh AS telah dikurniakan oleh Allah SWT ilmu pengetahuan membina kapal yang boleh memuatkan ribuan bahkan mungkin ratusan ribu pasang haiwan. Hal ini menunjukkan bahawa era teknologi dalam islam pada ketika itu sememangnya canggih dan menakjubkan.
Penciptaan Jam Air Gajah Al – Jazari
Ismail Al Jazari ataupun lebih dikenali sebagai Al Jazari merupakan orang pertama yang membina robot yang boleh diprogramkan pada Zaman Keemasan Islam ( Zaman Pertengahan). Pelbagai teknologi telah dibangunkan oleh Al Jazari. Antara yang terkenal ialah penciptaan Jam Air Gajah. Jam ini diberi gelaran itu kerana ianya dikuasakan pemberat dalam bentuk gajah. Ianya akan bergerak dan menghasilkan bunyi pada tiap setengah jam. Penciptaan jam ini menunjukkan bahawa ianya boleh menjadi sumber inspirasi kepada pencipta jam zaman sekarang.
Jam Air Gajah Al-Jazari
Kesimpulannya, sains dan khususnya teknologi sememangnya berkait rapat dengan bidang ilmu dalam Islam. Ianya telah memberikan kesan positif yang membawa manfaat kepada manusia dalam kehidupan mereka. Dengan bantuan teknologi, segala urusan seperti dunia pendidikan, politik & ekonomi menjadi mudah. Namun, manusia tidak boleh bergantung sepenuhnya terhadap sains dan teknologi sehinggakan menjadi malas dalam melakukan pekerjaan harian. Kita juga perlulah mensyukuri dan menghargai sumbangan tokoh-tokoh islam terdahulu yang bersusah-payah untuk memajukan Islam itu sendiri. Sejarah perkembangan teknologi ini jelas menunjukkan hasil kajian dari tokoh-tokoh Islam dahulu sehinggakan orang Barat sendiri menceduk ilmu dari Islam untuk diguna pakai atas nama mereka .
DIKARANG OLEH: AMIRUL ZAKWAN BIN KHALID