REZEKI TAK SALAH ALAMAT
“Sungguh, Tuhanmu melapangkan rezeki bagi siapa yang Dia kehendaki dan membatasi (bagi siapa yang Dia kehendaki); sungguh Dia Maha Mengetahui Maha Melihat hamba-hamba-Nya.”
(Surah Al-Isra’, Ayat 30)
Berikut merupakan antara kalimah Allah yang menjelaskan berkenaan rezeki. Sebagai hamba diatas muka bumi ini, seharusnya kita hendaklah sentiasa berusaha ke arah kebaikan dan melakukan kebaikan serta mencegah kemungkaran meski usaha itu sekecil zarah. Rezeki itu adalah urusan-Nya. Dia yang lebih berhak ke atas setiap sesuatu diatas bumi ini. Itu janji Allah. Yakinlah akan janji-janji-Nya kerana Dia sangat dekat dengan kita. Allah pasti makbulkan doa-doa kita dan rezeki itu datang dari pelbagai bentuk tanpa kita sangka.
“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya. Dan, Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan, barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya). Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.”
(Surah At-Talaq, Ayat 2 – 3)
Begitu juga dengan kisah pemenang pakej umrah sempena Karnival Gegar Ummah 2023 anjuran Ustazustazah.com di Rembau beberapa bulan yang lalu. Setelah beberapa kali perbincangan, 3 Mei 2023 menjadi tarikh bersejarah bagi Puan Rusnah atau mesra disapa sebagai Uwan Rusnah. Meski telah menginjak usia 80-an, Uwan Rusnah tetap bersemangat dan memanjatkan setinggi kesyukuran atas rezeki dan peluang yang diberikan. Rezeki tidak salah alamat. Dalam ribuan pengunjung yang hadir ke karnival tersebut, nombor cabutan bertuah uwan yang terpilih. Telah ditetapkan oleh Allah akan ketentuan ini.
Uwan Rusnah akan menunaikan umrah bersama seorang ustazah dari Ustazustazah.com dan juga ditemani oleh cucunya. Semoga perjalanan 10 hari ini sentiasa dilindungi dan uwan diberi kesihatan sepanjang keberadaan disana. Penerbangan menaiki Saudi Arabia akan berangkat pada 3 Mei 2023 jam 1335. Setiba di KLIA, Uwan Rusnah ditemani oleh anak-anak dan cucu-cucunya. Setia disisi nenek mereka sebelum keberangkatan. Walaupun pemergian Uwan Rusnah ke Mekah merupakan satu perkhabaran gembira, tempoh 10 hari dengan jarak yang jauh tetap membuatkan kita sebagai ahli keluarga menitiskan air mata tatkala ingin meninggalkan. Suasana menjadi hiba sebelum memasuki ruangan pelepasan.
Anggaran ketibaan mereka di Jeddah lebih kurang jam 3.00 pagi waktu Malaysia. 5 hari pertama akan dimanfaatkan di Madinah dengan sesi lawatan ke beberapa tempat bersejarah dan semestinya menziarahi Makam Baginda Nabi Muhammad SAW dan memasuki Raudhah. Seterusnya perjalanan akan diteruskan ke Mekah selama 5 hari lagi.
Semoga mereka mendapat umrah yang mabrur dan setiap amal ibadah serta kebaikan yang mereka lakukan diterima oleh Allah SWT. Semoga anda yang membaca ini juga diberikan rezeki untuk menjejakkan kaki ke tanah suci dan dipermudahkan segala urusan. -insha Allah amin-