SEHARI DI PETROSAINS & PBAKL’23
JAULAH Nadi Al-Quran merupakan satu program tahunan bagi Nadi Al-Quran Kg Sri Melenggang. Tahun 2022, jaulah atau lawatan ini diadakan di Zoo Negara. Seramai 20 pelajar dibawa bersama dalam sesi lawatan yang dianjurkan pada September 2022. Berbeza dengan tahun 2023, pendekatan dan pendedahan yang berbeza diberikan kepada para pelajar yang kini bilangan mereka yang mengikuti lawatan adalah 29 orang.
Sesi lawatan kali ini diadakan pada penghujung cuti sekolah bulan Mei 2023 iaitu pada 4 Jun 2023 (Ahad). Pengalaman kali ini berbeza dengan tahun lepas dimana mereka dibawa ke dua buah lokasi yang berbeza aktiviti iaitu Petrosains dan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di World Trade Cente (WTC) yang dahulunya dikenali sebagai Putra World Trade Center (PWTC).
Perjalanan dari Rembau bermula seawal jam 7.20 pagi. Jam 8.30 pagi perjalanan berhenti seketika di R&R Seremban untuk bersarapan. Pergerakan diteruskan ke Petrosains dan tiba disana pada jam 9.45 pagi. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dari perjalanan pergi dan pendaftaran masuk ke Petrosains. Seramai 10 kakitangan menjadi pengiring bagi sesi lawatan kali ini, memudahkan lagi pemantauan dan pengurusan para pelajar. Petrosains merupakan sebuah lokasi lawatan yang tepat bagi memberi pendedahan tentang ilmu sains sama ada graviti, angkasawan, planet, jisim, F1 dan pelbagai lagi tarikan yang menarik. Pameran yang sangat interaktif dan menarik ini membuatkan para pelajar tidak bosan dan sentiasa ingin mencuba aktiviti-aktiviti yang disediakan. 2 jam merupakan tempoh masa yang sesuai bagi para pelajar menjelajah ke semua lokasi pameran. Tips untuk yang membawa kumpulan melebihi 20 orang, tempahan tiket perlu dilakukan selewatnya 2 minggu sebelum tarikh lawatan dan akan mendapat potongan harga yang istimewa bagi tiket dewasa dan kanak-kanak.
Sesi taklimat ringkas oleh kru Petrosains sebelum masuk.
Pada sebelah petangnya, lawatan diteruskan ke PBAKL 2023. Reruai pertama yang dikunjung ialah reruai YADIM (Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia). Kunjungan Nadi Al-Quran ke reruai ini adalah bagi memenuhi jemputan untuk program yang diadakan. Aktiviti yang diadakan ialah Jom Dikir Zikir oleh Ustaz Zul Afkar Al-Husna. Aktiviti ini memberi pendedahan elemen kebudayaan Timur iaitu dikir barat. Aktiviti memberi pengalaman kepada para pelajar tentang nilai kebudayaan yang kian luput dek zaman.
Selepas hampir 1 jam bersama pihak YADIM, Nadi Al-Quran meneruskan sesi lawatan ke sekitar PBAKL 2023 dan membawa para pelajar mengunjungi reruai yang bersesuaian. Memandangkan 4 Jun 2023 merupakan hari terakhir bagi PBAKL 2023, jadi keadaan di WTC amat sesak akibat dibanjiri dengan lautan manusia dari pelbagai latarbelakang dan lapisan umur. Disebabkan itu, pihak UUC mengambil inisiatif untuk memastikan para pelajar Nadi Al-Quran memakai topi berwarna kuning bagi memudahkan pengurusan dan pemantauan pelajar.
Alhamdulillah, perjalanan dipermudahkan. Pelajar Nadi Al-Quran selamat tiba di Rembau pada jam 9.00 malam. Semoga pengalaman ini memberi impak positif dalam diri mereka dan mampu membuka minda serta memberi perspektif berbeza buat mereka.