SUBHANALLAH, BESAR HIKMAH QURBAN KE ATAS MUSLIM
SETIAP tanggal 10 Zulhijjah, umat Islam akan merayakan Hari Raya Aidil Adha atau lebih sinonimnya dengan Hari Raya Korban bagi masyarakat Malaysia. Menurut Kamus Al-Quran yang dikarang oleh Zulkifli Mohd Yusof, perkataan “Qurban” ini adalah Ism Mufrad dan Jamaknya adalah “Qarabin” yang bermakna “Dekat” dan mendekatkan diri kepada Allah SWT agar mendapat petunjukNya melalui penyembelihan binatang ternakan.
Penyembelihan Qurban dimulai apabila sejurus sahaja selepas Umat Islam selesai menunaikan solat Sunat Aidil Adha, maka umumnya selepas itu, umat Islam akan bergegas untuk melaksanakan ibadah Qurban di perkarangan rumah masing-masing mahupun di kawasan-kawasan masjid. Ibadah ini dilaksanakan dengan menyembelih haiwan ternakan seperti lembu, kambing, unta, kerbau dan sebagainya.
Terdapat pelbagai hikmah pensyariatan Qurban ke atas umat Islam. Antaranya ialah kerana ianya bertepatan dengan syariat yang dibawa oleh Nabi Allah Ibrahim AS terhadap anak tercintanya Nabi Ismail AS yang diuji akan pengorbanan, kesabaran dan ketaatan kepada Allah SWT saat diberikan wahyu untuk menyembelih anaknya. Perintah yang amat berat itu disambut atas dasar Taqwa yang dilakukan tanpa sedikit pun perasaan was-was. Atas dasar ketaatan itulah, maka Allah SWT akhirnya menggantikan Nabi Ismail AS dengan seekor kibas.
Selain itu, dapat memupuk sikap keperihatinan serta pemedulian bagi golongan kaya Muslim terhadap golongan yang kurang berkemampuan. Hal ini jelas dipamerkan apabila si kaya dapat membantu golongan yang memerlukan khususnya golongan fakir dan miskin dengan memberikan agihan daging-daging korban kepada mereka supaya mereka juga dapat merasai nikmat daging itu yang mana belum tentu mudah mereka dapati pada hari-hari kebiasaan.
Selanjutnya, melalui ibadah Qurban juga, ianya dapat menyemai benih sifat pemurah dan penyayang terhadap sesama saudara Muslim. Sudah jelas lagi bersuluh, ia dapat mengikis sifat tamak daripada cintakan harta dunia berbanding ingin membelanjakan harta yang dimiliki ke jalan Allah SWT. Ingatlah, harta kita bukan sepenuhnya hak milik mutlak kita sendiri malah di dalamnya ada hak-hak orang lain seperti golongan fakir dan miskin. Maka, bersedekahlah dan berinfaqlah. Maksudnya, “Harta tidak akan berkurang dengan sedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan Allah tambahkan kewibawaan baginya”, HR. Muslim, 2588.
Di samping itu juga, melalui kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS, ianya dapat mendidik diri untuk sentiasa bersikap sabar terhadap apa jua ujian yang diberikan Allah SWT terhadap hambaNya. Renungkanlah kisah perjuangan Nabi Ibrahim AS yang tidak sekali pun merungut akan arahan Allah SWT itu. Baginda AS dengar dan Baginda patuh serta terus melaksanakannya. Teladan pengorbanan anaknya, Nabi Ismail AS juga perlulah dipratikkan apabila Baginda AS dengan penuh ketaqwaan serta keimanan menyuruh ayahnya untuk bergegas melaksanakan penyembelihan ke atas dirinya seperti mana yang diperintahkan Allah SWT tanpa perlu merasa takut mahupun bimbang dengan apa yang bakal berlaku.
Kesimpulannya, qurban mempunyai pelbagai hikmah kepada kita sebagai umat Islam jika kita benar-benar menghayatinya. Maka, berqurbanlah bagi yang berkemampuan kerana sudah pastinya kita akan menjadi hamba yang lebih bersyukur kepadaNya. Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dikerjakan anak Adam ketika hari (raya) korban yang lebih dicintai oleh Allah SWT dari mengalirkan darah, sesungguhnya pada hari kiamat ia akan datang dengan tanduk-tanduknya, kuku-kukunya serta bulu-bulunya. Dan sesungguhnya darah itu akan sampai kepada Allah SWT sebelum jatuh ke tanah, maka perbaikilah jiwa kamu sekalian dengannya”, (Riwayat Ibnu Majah).
Akhir kata, semoga qurban yang dilaksanakan menjadi saksi dan menambahkan berat timbangan amalan soleh kita di hari Akhirat kelak.