SYURGA TERTINGGI BAGI MUKMIN SEJATI
CIRI ORANG BERIMAN BERDASARKAN AWAL SURAH AL-MUKMINUN.
CIRI-ciri orang mukmin banyak dinyatakan dalam al-Quran dan juga hadis Nabi -صلى الله عليه وسلم-. Dalam Surah al-Mukminun, Allah -سبحانه وتعالى- menyatakan bahawa orang-orang mukmin memiliki ciri tertentu. Ciri mukmin yang memiliki sifat dan kriteria yang disebutkan dalam surah tersebut menurut Tafsir al-Munir ialah :
1. Memiliki kriteria keimanan
2. Mereka takut, tenang, fokus dan khusyuk hati dalam solat.
3. Meninggalkan secara total segala sesuatu yang haram, makruh atau sesuatu perkara mubah yang tidak mengandungi suatu manfaat bagi manusia.
4. Menunaikan zakat.
5. Menjaga dan memelihara kemaluan daripada perkara haram.
6. Memelihara amanah.
7. Tekun dan rajin menegakkan solat dan menunaikannya pada waktunya, dan menyempurnakan segala rukun dan syarat-syaratnya.
CIRI ORANG BERIMAN ADALAH MEREKA MEMILIKI KRITERIA KEIMANAN DAN MENJAGA SOLAT
Siri penulisan sebelum ini telah menerangkan tentang 5 ciri orang beriman diatas. Artikel kali ini akan mengulas serba sedikit berkenaan ciri seorang mukmin sejati, iaitu mereka memiliki kriteria keimanan dan menjaga solat.
Kriteria keimanan adalah diertikan sebagai mereka membenarkan dan mempercayai Allah -سبحانه وتعالى- , para Rasul Nya, dan hari akhir. Mereka tidak mendustakan Allah dan Rasul serta hari akhir.
Orang yang menjaga solat tergolong dalam ciri-ciri yang dimiliki oleh mukmin sejati. Kewajipan solat telah difardukan oleh Allah -سبحانه وتعالى- pada malam mikraj Nabi -صلى الله عليه وسلم- .
Ibnu Mas’ud -رضي الله عنه- meriwayatkan, ia berkata;
سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ قَالَ الصَّلَاةُ عَلَى وَقْتِهَا قُلْتُ ثُمَّ أَيِّ قَالَ ثُمَّ بِرُ الْوَالِدَيْنِ قُلْتُ ثُمَّ أَيُّ قَالَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
Maksudnya : “Aku bertanya kepada Rasulullah saw., Ya Rasulullah, amal apakah yang paling disukai oleh Allah SWT?’ Beliau menjawab, ‘Shalat tepat pada waktunya. Aku bertanya, ‘Lalu apa?’ Beliau menjawab, ‘Berbakti kepada kedua orang tua. Aku bertanya lagi, ‘Kemudian apa?’ Beliau menjawab, ‘Jihad di jalan Allah SWT.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
KEUTAMAAN SOLAT
Dalam ciri-ciri sifat mukmin sejati yang dinyatakan Allah -سبحانه وتعالى- dalam surah al-Mukminun ini, Allah Ta’ala mengawalinya dengan penyebutan solat, dan menutupnya juga dengan solat. Hal ini menunjukkan tentang betapa besarnya keutamaan solat.
Rasulullah -صلى الله عليه وسلم- pernah bersabda ;
اسْتَقِيمُوا وَلَنْ تُحْصُوا وَاعْلَمُوا أَنَّ خَيْرَ أَعْمَالِكُمْ الصَّلَاةُ وَلَنْ يُحَافِظَ عَلَى الصَّلَاةِ إِلَّا مُؤْمِنٌ
Maksudnya : “Istiqamahlah kalian dan kalian sekali-kali tidak akan dapat menghitungnya. Ketahuilah sesungguhnya sebaik-baik amal kalian adalah solat, dan tidak ada yang menjaga wuduk kecuali orang Mukmin.” (HR Ibnu Majah : 279)
Maksudnya,teguhilah sikap istiqamah dengan cara sentiasa memenuhi hak-hak, memelihara batasan-batasan agama, menerima qada’ dengan penuh kerelaan, dan kalian sekali-kali tidak akan mampu menghitung pahala istiqamah.
SYURGA TERTINGGI BAGI MUKMIN SEJATI
Orang-orang yang mencapai darjat kesempurnaan seperti dinyatakan dalam Surah al-Mukminun ini, yang memenuhi sifat dan kriteria-kriteria terpuji tersebut, adalah orang-orang yang layak dan berhak tinggal di syurga Firdaus selama-lamanya.[1]
[1] Wahbah az-Zuhaili. 2005. At-Tafsir al-Munir fil ‘Aqidah wasy Syari’ah wal manhaj. Terj: Abdul Hayyie al-Kattani dkk. Tafsir al-Munir Jilid 9 : Aqidah, Syari’ah, dan Manhaj. Jakarta : Gema Insani. 9/303.