TAUFAN AL-AQSA & PALESTIN YANG TERJAJAH
PALESTIN DIJAJAH
Bermula tahun 1948, Israel telah mengistiharkan penubuhan sebuah negara Israel didalam tanah Palestin. Sekiranya ditinjau dari sudut sejarah, Palestin sebelumnya merupakan sebuah tanah merdeka yang berada di bawah naungan Khilafah Uthmaniyyah.
Namun, Palestin kemudiannya jatuh ke tangan British pada tahun 1917 setelah kerajaan Uthmaniyyah dikalahkan oleh British dalam peperangan yang dipimpin oleh General Allenby.[1]
Pada 24 Julai 1922, mandat British ke atas Palestin diisytiharkan oleh League of Nations (Liga Bangsa-bangsa) yang kini dikenali sebagai United Nations (Bangsa-bangsa Bersatu). Persatuan Liga Bangsa-bangsa turut menyentuh berkenaan dengan ‘hak asasi dan agama kepada penduduk bukan-Yahudi di Palestin’.
Penjelasan dokumen ini adalah signifikan dan nyata menunjukkan bahawa orang Palestin tidak diiktiraf sebagai rakyat tetapi adalah komuniti bukan Yahudi yang tidak mempunyai hak politik dalam negara sendiri.[2]
SEBELUM DIJAJAH & PERANCANGAN GERAKAN ZIONIS
Pencerobohan terhadap tanah Palestin sebenarnya telah dirancang lebih awal. Bibit-bibit awal peperangan yang berlaku dapat dikesan daripada rencana politik yang dirancang dalam Kongres Zionis Pertama di Basel, Switzerland pada 1897 iaitu untuk mendirikan tanah air Yahudi di Palestin. Pada tahun yang sama juga, Pertubuhan Zionis Dunia ditubuhkan secara rasminya.
Menurut al-Faruqi, Zionisme ditakrifkan sebagai : “A movement launched by Theodore Herzl following his dissilusionment by the Dreyfus Affair. It was designed to transform Palestine and its adjacent territories into a Jewish state”.
Ianya bererti Zionisme adalah suatu: Pergerakan yang dilancarkan oleh Theodore Herzl berikutan kekecewaannya oleh Dreyfus Affair. Ia direka untuk mengubah Palestin dan wilayah bersebelahannya menjadi negara Yahudi.
Gerakan yang dilancarkan oleh Theodhore Herzl untuk menguasai Palestin ini berteraskan politik Machiavelli[3] dengan taktik ganas untuk mengubah peta negeri Palestin menjadi penempatan Yahudi. Dasar-dasar Zionisme dibina dengan membelakangi pertimbangan moral dan akhlak dalam tindakan mereka.
PERANG DUNIA PERTAMA
Untuk merealisasikan cita-cita Zionis ini, Thedore Herzl menuntut tanah Palestin melalui rundingan jual beli dengan Khilafah Uthmaniah. Sultan dengan tegas telah menolak tawaran tersebut, yang kemudiannya menyebabkan Zionis bertindak balas mencetuskan huru hara yang membawa kepada Perang Dunia Pertama.[4]
Peperangan yang berlaku telah mengakibatkan beberapa wilayah naungan Uthmaniyah jatuh ke tangan Perancis dan British. Perjanjian Balfour yang ditandatangani pada tahun 1917 turut meletakkan Palestin di bawah jajahan British dan sekaligus memberi mandat kepada Yahudi untuk memasuki Tebing Barat.
TRAGEDI DEIR YASSIN
Penubuhan negara haram Israel mencetuskan konflik berdarah sehingga kini. Pelbagai usaha dijalankan oleh zionis bagi menghalau penduduk Palestin daripada tanah air mereka. Jenayah-jenayah kemanusiaan dilaksanakan tanpa belas kasihan dengan berselindung disebalik hujah agama Yahudi dan kitab Injil.
Sehingga kini, umat Islam terus dizalimi dan menderita sepanjang penubuhan negara haram Israel dan pendudukan mereka di Palestin. Antara peristiwa menyayat hati yang boleh kita kaji lebih mendalam mengenai pembunuhan dan pengusiran penduduk daripada tanah mereka adalah seperti tragedi penyembelihan Deir Yassin yang berlaku pada April 1948, peristiwa hitam Nakbah pada Mei 1948, pembunuhan beramai-ramai di kem pelarian Sabra dan Syatilla, pengeboman dalam Operasi Cast Lead yang menggunakan senjata kimia bom phosphorus terhadap Gaza pada 2008, 2009, serangan pada zaman mutakhir sehingga 2023 dan banyak lagi.
Realitinya, bumi Palestin tidak pernah sunyi daripada pembantaian dan penindasan puak Zionis. Ianya bumi para syuhada’, yang mempertahankan aqidah dan tanah air daripada dirosakkan dan diceroboh musuh Islam.
TAUFAN AL-AQSA
Taufan al-Aqsa yang dilancarkan baru-baru ini merupakan tindak balas terhadap keganasan yang semakin meningkat terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat.[5] Akan sentiasa ada segolongan daripada umat ini yang akan menegakkan kebenaran atas muka bumi, dan benarlah sebagaimana sabda Rasulullah -صلى الله عليه وسلم- :
لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلَى الْحَقِّ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ، حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللهِ وَهُمْ كَذَلِكَ[6]
Maksudnya : “Akan sentiasa ada daripada umatku sekelompok orang yang berperang di atas kebenaran, tidaklah membahayakan mereka orang yang mengabaikan mereka (orang yang menentang mereka), hingga perintah Allah tiba sementara mereka tetap seperti itu”.[7]
Hasbunallahu wa nikmal wakil.
Ayuh umat Islam, kita dokong perjuangan saudara-saudara di Palestin, ibarat cubit peha kiri, peha kanan turut merasa sakitnya.
[1] Mohd Roslan Mohd Nor. Jurnal : Konflik Israel – Palestin Dari Aspek Sejarah Moden Dan
Langkah Pembebasan Dari Cengkaman Zionis. 76. https://eprints.um.edu.my/2004/1/05_Bil_5_Konflik_Palestin_dan_Harapan_Masa_Depan_Dr_Roslan.pdf
[2] Ermy Azziaty Rozali. Azmul Fahimi Kamaruzaman. 2011. International Journal of West Asian Studies
EISSN : 2180-4788 Vo. 3 No 2 (pp 19-39) DOI: 10.5895/ijwas.2011.08. First World War, Balfour Declaration and Their Impacts on Palestine. Perang Dunia Pertama, Deklarasi Balfour Dan Kesannya Terhadap Palestin. 24. http://journalarticle.ukm.my/3280/1/v3n2-2011-2.pdf
[3] Machiavelli merupakan seorang ahli falsafah, diplomat dan penulis di Florence, Itali. Dia menulis sebuah karya yang mewajarkan konsep matlamat menghalalkan cara dalam pentadbiran negara. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, Machiavellianisme merupakan suatu faahaman (prinsip) politik yg menekankan ciri orang yang suka mengambil kesempatan (oportunis), bersifat licik, dan pandai menipu.
[4] Tasnim Abdul Rahmana. Zuriati Mohd Rashid. Wan Sabri Wan Yusof. Ahmad Nabil Amir. 2015. UMRAN : Konflik Islam Dan Israel Di Palestin: Tentangan, Isu Dan Penyelesaiannya Dalam Karya Al-Faruqi. 4. file:///C:/Users/HP/Downloads/9-Full%20Article%20Text-279-248-10-20150708%20(1).pdf
[5] Sinar Harian : Israel guna senjata dilarang terhadap orang awam di Gaza. https://www.sinarharian.com.my/article/283473/global/israel-guna-senjata-dilarang-terhadap-orang-awam-di-gaza
[6] Muslim bin Hajjaj bin Abu al-Hasan al-Qusyairi al-Naisaburi. Musnad Sahih al-Mukhtasar bi Naql al-‘Adl ‘an al-‘Adl ila Rasulillah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Tahqiq : Muhammad Fuad Abdul Baqi. T.th. Beirut : Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi. 3/1523.
[7] Ibnu Katsir. 2015. Al-Nihayah fi al-Fitan wa al-Malahim (Terj : Bencana Dan Peperangan Akhir Zaman). Jakarta Timur : Ummul Qura. 61