ITQAN DALAM BEKERJA
Menurut Irsyad Al-Hadith Siri Ke-217: Itqan (Tekun) Dalam Setiap Pekerjaan yang dikarang oleh Mushfique Ayoup, Itqan atau tekun dalam beramal atau bekerja bermaksud menyempurnakan atau melaksanakan satu tuntutan daripada seseorang sebagaimana yang dikehendaki oleh orang tersebut tanpa kurang sedikitpun dengan sesempurna yang mungkin disertai dengan usaha yang kuat agar tidak terlewat daripada waktu yang telah ditetapkan.
Sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi yakni,
وَلَكِنَّ اللهَ يُحِبُّ مِنَ الْعَامِلِ إِذَا عَمِلَ أَنْ يُحْسِنَ
Maksudnya: “Tetapi Allah kasih kepada pekerja (yang melakukan sesuatu amalan) yang apabila dia melakukan sesuatu amalan hendaklah melakukannya dengan baik”, Sunan al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman, no. Hadith 4932.
Islam agama syumul, Islam agama penuh dengan ketertiban dan kekemasan. Islam menggalakkan umatnya untuk bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Hal ini telah diajarkan Allah SWT kepada hamba-hambaNya dalam konsep penciptaan alam semesta. Allah SWT menciptakan langit dan bumi ini dalam masa enam hari walhal Allah SWT yang Maha berkuasa dan Maha Menjadikan boleh sahaja untuk menciptakan bumi dan langit ini dalam sekelip mata yang tidak mampu terbayangkan dek akal fikiran manusia.
Namun demikian, Allah SWT mencipta alam dalam beberapa tempoh waktu tersebut agar hamba-hambaNya mengambil iktibar untuk berusaha sesempurna yang mungkin dalam beramal, dan teliti dalam melakukan sesuatu perkara. Hal ini demikian kerana sikap tergesa-gesa dan tegopoh-gapah hanya akan memberi cacat-cela dalam urusan-urusan kita.
Maka, berimanlah kita dengan firman Allah SWT, yakni maksudnya, “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya”, Al-Mu’minun, 1-2.
Kepentingan Itqan (Tekun).
Antara kepentingan itqan di dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan ialah untuk mendapatkan pahala dan ganjaran daripada Allah SWT kerana Allah SWT sangat kasih kepada orang-orang yang tekun dalam melakukan sesuatu perkara. Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad), beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan”, Al-Taubah, 105.
Di samping itu juga, sifat tekun akan membezakan antara orang yang benar-benar berusaha dengan orang yang sambil lewa ketika bekerja. Dengan sifat ketekunan juga, ianya akan menambakan keberkatan di dalam setiap perkara yang kita lakukan. Justeru, bertakwalah kepada Allah SWT dengan sentiasa memberikan usaha yang terbaik dalam melakukan apa jua pekerjaan kerana di situlah kemungkinan punca rezeki mata wang dan sumber makanan yang akan diberikan pula kepada isteri, anak cucu kita yang akan berterusan mengalir darah di dalam tubuh badan mereka.
Tuntasnya, sifat tekun ini merupakan salah satu lambang keislaman. Tambahan pula, kita sebagai seorang Muslim, dituntut untuk sentiasa ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam melakukan setiap amal ibadah, sikap dan kehidupan kita. Maksudnya: “Katakanlah, sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”, Al-An’am, 162. Akhir kalam, penulis mendoakan agar semoga Allah SWT menggolongkan kita semua dalam kalangan hamba-hambaNya yang ikhlas dan tekun dalam setiap perkara yang dilakukan.