#throwback: Jejak Prihatin ke Negeri dibawah Bayu
September, 2021 merupakan perjalanan pertama team Ustazustazah.com mengorak langkah ke Negeri di bawah Bayu. Sebuah negeri yang merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia. Mempunyai pelbagai etnik dan suku kaum serta nilai-nilai kebudayaan yang tinggi dan langka bagi setiap etnik yang ada. Mempunyai ratusan pulau dalam negeri ini dan ratusan perkampungan atas air yang pastinya mempunyai kisah-kisah yang berbeza bagi setiap kawasan, kampung dan keluarga.
Alhamdulilah, team UUC berjaya menjejaki daerah Sandakan, Sabah. Keluasan daerah ini selari dengan luasnya negeri Selangor. Pengalaman pertama menawan perkampungan atas air di Sandakan merupakan pengalaman yang sangat tidak dapat dilupakan. Merasai keramahan penduduk disana. Tak lekang senyuman diwajah-wajah mereka. Kehadiran kami disambut mesra dengan membawa seribu harapan buat mereka. Ratusan kotak Jejak Prihatin diedar dan diagihkan kepada penduduk setempat. Menyantuni komuniti di kampung-kampung yang ada serta pulau-pulau yang boleh dimasuki. Antara pulau yang berjaya team UUC santuni ialah Pulau Bum Bum dan Pulau Berhala. Antara kampung yang dimasuki ialah Kampung Sri Manis, Batu 17, Jalan Koko, Batu 16, Gum-Gum, Ppr Gum-Gum, Batu 16, Kampung Batu Putih, Batu 7, Kampung Nelayan, Batu 7, Kampung Istimewa, Batu Sapi, Kampung Bonggaya Baru, Batu Sapi, Jalan Lintas Sibuga, Batu dan Kampung Sungai Korek, Batu 7.
Tidak dilupakan pengalaman pertama di Kg Bahagia, Batu Sapi, Sandakan yang merupakan perkampungan atas air pertama bagi UUC untuk menubuhkan Pusat Pengajian Nadi Al-Quran. Melangkah satu per satu diatas jambatan sepanjang kampung tersebut antara perkara yang mencabar. Jambatan yang hanya diperbuat daripada susunan kayu yang dipacak atas air. Adakalanya ia bergoyang dan menyenget. Buat kami yang pertama kali berjalan atas jambatan tersebut, agak perlahan langkah kami sedangkan anak-anak disitu berlari-lari ke sana sini dengan senang hati. Menakjubkan. Mereka sangat gembira dan senang hati dengan kehadiran kami.
Pemberian yang bagi kami hanya sekadar set bakul makanan yang terdiri daripada keperluan barangan asas dapur untuk kegunaan harian, bagi mereka sangat besar nilainya. Teringat akan seorang nenek yang terlantar baring diatas tilam. Beliau sanggup gagahkan diri untuk duduk dan menadahkan tangan, berdoa agar segala urusan kami dipermudahkan, terus dimurahkan rezeki dan diberi kekuatan untuk meneruskan misi ini. Hiba. Sebak. Terharu. Tiga perkataan yang boleh digambarkan ketika itu. Meski perjalanan kami jauh berjalan dibawah panas mentari tetapi segala lelah dan penat itu hilang sekelip mata apabila mereka tersenyum gembira. Kepuasan hati dapat membantu mereka merupakan suatu perasaan yang tidak dapat digambarkan. Bahkan ia merupakan penguat semangat untuk kami terus melangkah dalam menjayakan misi bantuan dan dakwah di negeri dibawah bayu ini.