3 HARI TIDUR BERALASKAN LANTAI
Pada 28 Oktober yang lalu, saya telah mengunjungi 3 buah pusat pemindahan di kawasan Melaka. Tempatnya adalah di SMK Pengkalan, Balairaya Gadek dan SK Kerubong. Pada petang Jumaat itu, saya telah ke sana dengan membawa toto sebanyak 44 buah beg toto dan boleh juga digunakan sebagai selimut. Saya melalui lebuh raya AMJ dan selepas 20 minit saya akhirnya sampai di SMK Pengkalan. Saya pun masuk ke dalam dewan tertutup sekolah itu dan menyapa pihak yang menjaga pusat pemindahan sementara berkenaan. Saya pun bertanya mengenai hal mangsa banjir di tempat berkenaan. Mangsa banjir tidur di dalam khemah dan diberi sehelai tikar. Ketika itu hanya tinggal 7 buah keluarga yang masih berada di sana tetapi mereka telah kembali ke rumah masing-masing untuk mengemaskan rumah masing-masing. Saya pun mengambil beberapa gambar dan dihantar ke dalam group whatapp Ustazustazah dot com. Seterusnya, saya bertolak ke Balairaya Gadek untuk melihat keadaan mangsa banjir di sana. Ternyata keadaan di sana lebih padat dan sebanyak 18 buah keluarga yang tinggal di sana. Apabila saya mengatakan bahawa saya membawa toto, wajah-wajah mangsa banjir berubah menjadi ceria dan mengucapkan alhamdulillah. Sebenarnya mereka sudah 3 hari tidur beralaskan lantai dan berbantalkan lengan dan berhari-hari menunggu bantuan toto tiba. Saya menurunkan toto sebanyak 18 buah beg dan dibantu oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM). Kemudian saya memasang bunting UUC mengagihkan sumbangan toto kepada seorang demi seorang sambil bergambar. Saya juga sempat mengambil video penghargaan daripada wakil penduduk yang merangkap sebagai ketua kampung. Kemudian saya pun mengundurkan diri dan menuju ke pusat pemindahan sementara di SK Kerubong. Perjalanan dari Balairaya Gadek hingga ke SK Kerubong mengambil masa 30 minit dan saya juga beberapa kali berpusing-pusing di kawasan berkenaan kerana di pintu SK Kerubong ketika itu gelap dan menyebabkan ia sukar dilihat. Alhamdulillah, akhirnya saya jumpa juga SK Kerubong walaupun agak was-was ketika saya mula-mula masuk kawasan sekolah berkenaan. Selepas bertanya dengan pengawal keselamatan sekolah berkenaan barulah saya tahu saya berada di tempat yang betul. Saya pun membawa masuk pickup 4×4 dan ‘parking’ di kawasan perhimpunan sekolah tersebut lalu menuju ke kantin sekolah di mana staff Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertugas. Saya pun bertanya beberapa soalan dan mendapat maklumat bahawa sebanyak 31 buh keluarga yang tinggal di pusat berkenaan. Saya pun menyatakan hasrat dan tujuan saya datang ke sana dan mereka menyambut baik benda itu dan akan membantu memanggil wakil-wakil mangsa berkenaan untuk mengambil toto. Terdapat juga guru-guru sekolah berkenaan yang bertugas menjaga mangsa banjir di pusat berkenaan, mereka turut membantu saya membawa toto dari ‘pickup’ ke kantin sekolah. Saya sempat menyantuni mangsa-mangsa banjir serta bergambar bersama mereka sambil menyerahkan bantuan toto. Selesai menyerahkan bantuan saya mengucapkan terima kasih kepada pihak JKM dan guru-guru yang sudi membantu saya untuk mengambil dan memberi keizinan untuk menyumbangkan barang bantuan kepada mangsa. Saya pun bergerak pulang ke pejabat.