3 TIPS UNTUK PERUBAHAN HIDUP
ADA 3 AMALAN apabila kita istiqomah mengamalkannya pasti akan mengubah hidup kita, dengan izin Allah istiqomah setiap hari pasti dan yakinlah tidak ada apa-apa yang boleh menghalang perubahan hidup yang ketara dari pelbagai sudut. Sama ada sudut hubungan dengan pasangan, anak, rakan sekerja, urusan kesihatan, rezeki, hati dan lain-lain.
1. JAGA SOLAT DI AWAL WAKTU
Apabila kita berusaha betul-betul menjaga solat di awal waktu, maka kita sedang memperbaiki hubungan dengan Allah. Allah yang Maha Memiliki Segala-galanya, segalanya daripada Allah dan akan kembali kepada Allah. Apa yang kita perlukan daripada Allah adalah rezeki, ketenangan, kelapangan, kemudahan dan segala nikmatNya.
Sesiapa yang ada Allah maka dia ada segala-galanya, sesiapa yang tidak ada Allah, maka dia tidak ada segala-galanya. Walaupun zahirnya ada, tetapi itu hanya tipu daya semata. Orang yang ada adalah apabila dia memiliki sesuatu di dunia dan dia mampu memilikinya di akhirat berganda.
Ramai yang memiliki sesuatu di dunia tetapi sebaik sahaja dia matii dia tidak memiliki apa-apa melainkan sesuatu keburukan, seksaan dan kehilangan, tetapi bagi yang memiliki Allah di hatinya, menjaga solat di setiap awal waktu walaupun kesibukan melanda dirinya, tetapi Allah menjadi pilihan paling utama. Kerana itu sesiapa yang ADA ALLAH maka dia memiliki SEGALA-GALANYA.
Daripada Abdullah Ibnu Mas’ud bertanya kepada Rasulullah SAW:
أَىُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ قَالَ “الصَّلاَةُ عَلَى وَقْتِهَا”. قَالَ ثُمَّ أَىُّ قَالَ “ثُمَّ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ”. قَالَ ثُمَّ أَىّ قَالَ “الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ”.
Maksudnya: “apakah amalan yang paling dicintai di sisi Allah SWT? Nabi menjawab: “solat pada waktunya.” dia (perawi) bertanya lagi, “kemudian apa?”, jawab baginda: “berbuat baik kepada kedua ibu bapa.” dia bertanya lagi, “kemudian apa?”, jawab baginda: “jihad pada jalan allah swt.”
(Hadis riwayat Bukhari,)
2. JAGA AL-QURAN DAN MEMBACA TERJEMAHANNYA
Sekiranya mampu membaca setiap kali selepas solat, maka usahakanlah. Kita akan merasakan seumpama dunia seisinya milik kita, maksudnya kita bukan memilikinya, kita seakan tidak ada rasa hairan lagi dengan dunia, samada dunia yang datang kita menyambutnya dengan biasa-biasa, yang pergi juga kita sambut biasa-biasa. Ketahuilah inilah pemilik dunia.
Sebenarnya manusia ini hanya merasai ghairah dan teruja terhadap sesuatu kerana dia tidak memiliki contohnya, teringin nak makan sesuatu, bila dah dapat hilanglah rasa teringin tu. Tetapi ada orang, dunia yang datang pun dia biasa, pergi pun dia biasa, maksudnya, dia tidak merasa resah gelisah dalam dua keadaan iaitu bila nak dapat sesuatu atau kehilangan sesuatu.
Ada orang bila dia berniaga dapat saja keuntungan terus mengucapkan syukur, baginya duit dan untung alat sahaja dan digunakannya untuk melakukan kebaikan. Dia tidak nampak peluang duit dan keuntungan itu untuk menambah harta yang lain.
Lalu apabila hilang dan tidak peroleh untung, dia kata tak mengapalah, semua milik Allah, Allah nak ambil maka tiada rezeki dan perlu untuk bersyukur dan memandang hikmah.
Apabila diberi harta kepada orang begini, dia tidak akan mudah untuk melupakan pemberi iaitu Allah SWT, dia tidak lupa dan tidak kufur dengan nikmat Allah. Hakikatnya kita memang suka dengan nikmat, tetapi kita suka terlupa untuk bersyukur. Kita memang tak suka dengan ujian, tetapi manusia sering mencari selain Allah untuk menyelesaikan masalahnya. Muhasabah buat kita.
Daripada Abu Umamah Al-Bahili, Rasulullah SAW bersabda:
اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِى يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ
Maksudnya: “Bacalah al-Quran. Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya.”
(Hadis riwayat Muslim)
3. LAZIMI SELAWAT KE ATAS RASULULLAH SAW
Apabila kita berselawat pula, kita sebenarnya sedang membina hubungan dengan Rasulullah SAW. Maka dengan itu kita membina hubungan dengan Allah dan Rasulullah SAW.
Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا
Maksudnya: “Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.”
(Hadis riwayat Muslim)
Tidak ada hubungan yang lebih baik selain membina hubungan dengan Allah dan Rasulullah, apalah sangat hubungan dengan manusia, bukanlah ia tidak bernilai, tetapi jika kita jaga hubungan dengan Allah pasti Allah akan jaga segala urusan, ujian, hubungan dengan manusia, binatang, alam, dll. Malah kita tetap kuat untuk menempuhnya dengan tenang.
Cukuplah kita hadapi ujian kekalahan, sepatutnya daripada ujian kita semakin bagus, semakin baik, kita semakin ke depan, tetapi ramai disebabkan ujian dia jatuh kebelakang, dia serik di atas dan tidak mahu meneruskan perjalanan, dia tidak tahu jika dengan meneruskan perjuangan ada peluang yg besar yang Allah sediakan.
Moga dengan 3 amalan ini menjadikan kita hamba Allah yang dicintai Allah dan RasulNya.
Tag:ustazustazahcom