4 BULAN DI USTAZUSTAZAH.COM
Setiap pelajar universiti kebiasaannya akan menjalani latihan industri bagi melengkapkan pengajian mereka di institusi pengajian tinggi. Para pelajar akan diberi peluang untuk menimba ilmu pengetahuan serta pengalaman bekerja mengikut bidang-bidang yang diceburi. Mereka akan didedahkan dengan situasi ataupun keadaan kerja yang sebenar. Kebiasaannya para pelajar latihan industri menjalani latihan industri selama empat hingga ke 8 bulan bergantung kepada institusi serta bidang masing-masing. Justeru itu, ingin saya kongsikan sedikit pengalaman menjalani latihan industri di syarikat Qudwah Technology Sdn Bhd. Saya menjalani latihan industri di syarikat ini selama 4 bulan. Qudwah Technology Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti perniagaan seperti pemasaran digital atau dalam bahasa inggerisnya ialah ‘digital marketing. Pemasaran secara digital merupakan teknik pemasaran yang dijalankan secara atas talian melalui media social seperti Facebook, Instagram dan sebagainya.
Menjalani latihan industri di syarikat Qudwah Technology memberikan pengalaman serta ilmu pengetahuan kerana dapat didedahkan dengan situasi bekerja yang sebenar. Terdapat banyak pengalaman yang dilalui. Semasa permulaan menjalani latihan industri, jabatan sumber kemanusiaan yang diwakili oleh Cik Fizah telah menjalankan aktiviti induksi bersama pelajar latihan industri. Aktiviti ini dijalankan bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar latihan industri berkaitan latar belakang syarikat. Sesi induksi dilakukan selama dua hari. Sepanjang sesi induksi ini, pelajar juga diperkenalkan oleh pihak jabatan sumber manusia kepada semua kakitangan Qudwah. Tujuan pengenalan ini adalah bagi mengeratkan hubungan antara pelajar latihan industri dan kakitangan. Selain itu, saya juga turut didedahkan dengan peraturan dan undang-undang syarikat. Walaupun sebagai pelajar latihan industri, saya turut terikat dengan segala peraturan dan undang-undang syarikat.
Setelah menjalani sesi induksi di ibu pejabat Qudwah, saya ditempatkan di bawah anak syarikat Qudwah iaitu Ustazustazahdotcom Sdn Bhd. Pejabat Ustazustazahdotcom (UUC) terletak di Kampung Sri Melenggang. Saya memulakan latihan industri pada bulan yang mulia dalam islam iaitu bulan ramadan ataupun bulan puasa. Tambahan pula, bulan puasa merupakan bulan yang sangat sibuk bagi ustazustazahdotcom kerana pada setiap tahun syarikat ini akan mengadakan program keagamaan dengan sangat kerap pada bulan puasa. Pada tahun 2023 ini, ustazustazahdotcom telah menganjurkan program yang dinamakan Program Ramadan Terbaik. Terdapat sebanyak 13 program yang dijalankan ketika waktu bulan puasa. Setiap program dihadiri oleh Ustaz-ustaz selebriti sebagai tetamu jemputan khas. Antaranya ialah, trio geng ngaji, Ustaz Rozie Rejab dan lain-lain. Tujuan mereka dipanggil menjadi tetamu khas adalah supaya dapat menarik audien ataupun masyarakat yang berada di sekitar kawasan Rembau terutamanya kawasan Kota menghadiri program keagamaan.
Tambahan pula, kebanyakan dari setiap program akan dihadiri oleh para pelajar tahfiz dan pelajar sekolah-sekolah di kawsan Rembau. Ini merupakan pengalaman yang sangat berharga kerana saya dikelilingi orang-orang yang baik dan soleh. Selain itu, saya juga diberi pengalaman untuk membantu menguruskan program-program ini. Pada hujung bulan Ramadan, Qudwah Group telah mengadakan majlis berbuka puasa. Majlis ini dihadiri oleh semua kakitangan syarikat. Terdapat sesi penghargaan kepada kakitangan yang memberi komitmen ataupun menunjukkan prestasi yang sangat baik. Mereka ini diberi ganjaran seperti Ipad oleh pihak atasan Qudwah. Seterusnya, Pengarah Urusan Qudwah iaitu Encik Abdul Rahman juga turut memberikan duit raya kepada semua kakitangan Qudwah Group.
Selain itu, saya juga diberi peluang untuk melakukan tugas-tugas yang dilakukan oleh pentadbir syarikat. Saya melakukan kerja-kerja seperti penyusunan fail, memasukkan data serta membuat surat. Saya berasa amat gembira kerana dapat mengaplikasikan kemahiran yang saya ada apabila ingin melakukan kerja-kerja yang melibatkan penggunaan microsoft office. Hal ini kerana tugas memasukkan data atau mengemas kini data perlu mempunyai kemahiran menggunakan microsoft office mahupun google drive.
Sesi bergambar bersama Penasihat Al-Quran Ustazustazah.com, Ustaz Ahmad Tarmizi Abd Rahman.
(Dari kiri: Ust Syamil, Ust Khairullah, Ust Tarmizi, En Zamri, Amirul Zakwan, Ibu Amirul Zakwan)
Kesimpulannya, terdapat pelbagai pengalaman menarik yang saya lalui sewaktu menjalani latihan industri di syarikat Qudwah Technology. Saya diberikan layanan yang sangat baik oleh semua kakitangan Qudwah. Saya rasa amat bersyukur kerana diberi peluang menjadi sebahagian dalam syarikat ini. Saya ingin berterima kasih kepada semua kakitangan Qudwah terutamanya Encik Abdul Rahman dan Encik Wan Kamaruzzaman selaku pengurus atasan yang memberikan peluang kepada saya untuk menjalani latihan industri di syarikat ini. Tidak juga dilupakan Puan Alifah Ilyana selaku penyelia industri saya yang sentiasa memberikan tunjuk ajar dan dorongan kepada saya sepanjang menjalani latihan industri. Begitu juga kakitangan UUC iaitu Ustaz Ammar, Ustaz Khairullah, Ustaz Zaki, Ustaz Syamil, Ustazah Fatihah dan Ustazah Aisyah. Segala ilmu dan pengalaman manis yang diperolehi akan saya ingati sampai bila-bila.
Penulisan : Pelatih Industri Mac sehingga Julai 2023
Amirul Zakwan Bin Khalid, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia