KAHWIN BUKAN MAGIK
Kahwin ini bukan benda yang mudah tapi hari ini anak-anak muda, budak sekolah rendah pun dah fikir pasal kahwin. Budak sekolah menengah yang baru tingkatan 1 pun dah fikir pasal kahwin. Macam kahwin ini seolah-olah benda yang mudah dan seronok. Tetapi apabila ditanya “kenapa mahu kahwin?’. Rata-ratanya tidak ramai yang boleh jawab. Cuba anda tanya kepada diri anda sendiri kenapa anda mahu kahwin? Ada yang memberi jawapan kerana mahu menundukkan pandangan, nak menghalalkan hubungan kerana sudah lama bercinta, supaya mudah lagi untuk jaga solat dan ada juga yang mahu menjadi kaya dan lain-lain. Tidak kiralah apa pun jawapan yang diberikan, kita perlu sedia maklum bahawa kahwin ini bukanlah magik. Kahwin bukanlah solusi kepada masalah yang sedang kita hadapi dan bukannya selepas kahwin kita akan 100% berubah. Sebab itu apabila matlamat kahwin ini tidak jelas, banyak kes penceraian berlaku. Sumber daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Mahkamah Syariah negeri merekodkan 1,064 kes perceraian bagi pasangan Islam sejak Januari 2021 hingga September 2021 lepas. Apabila hancurnya institusi keluarga yang menjadi mangsa adalah anak-anak. Perkahwinan ini bukanlah untuk memuaskan nafsu dan menghalalkan nafsu kerana ramai di luar sana walaupun telah berkahwin tetapi nafsunya tetap tidak puas dan masih bergelumang dengan maksiat. Maka, penyelesaian kepada masalah-masalah masyarakat pada hari ini bukanlah kahwin tetapi takwa. Sebab itulah kita harus mengejar takwa bukannya mengejar kahwin. Mungkin pada hari ini kita mahu sangat berkahwin tetapi hakikatnya perkara-perkara asas dalam agama pun kita tak dapat praktikkan dengan konsisten. Antaranya, melewatkan solat, meninggalkan solat, tidak menjaga pandangan dan mengeluarkan kata-kata kesat. Maka, kita sebagai seorang Islam yang mengaku beriman wajiblah mengejar takwa, mencari Allah, menjaga solat dan menjaga ibadat, Perkara inilah yang akan menguatkan hati kita untuk meninggalkan segala maksiat yang pernah kita lakukan selama ini. Selain itu, perkara inilah juga yang akan menjadi kunci keberkatan perkahwinan kita sebenarnya. Jadi kepada anak-anak muda sekiranya mahu berkahwin tolong jelaskan matlamat itu betul-betul kerana perkahwinan bukanlah untuk suka-suka. Perkahwinan adalah satu tanggungjawab yang cukup besar. Persiapkanlah dirimu daripada pelbagai aspek ilmu, kewangan dan sebagainya. Jangan disebabkan kita, orang lain menjadi mangsa dan akhirnya kita menyusahkan orang lain. Jadikanlah hidup kita bermanfaat kepada orang lain dan memudahkan urusan orang lain. Carilah cinta Allah dalam hidup nescaya Allah akan bagi segala-galanya yang baik-baik dalam hidup kita. Memang pada zahirnya perkahwinan itu kelihatan indah tetapi disebaliknya penuh dengan tanggungjawab. Tidak semestinya pasangan yang kita lihat serasi bersama akan kekal bersama. Maka, letakkanlah sepenuh pengharapan kepada Allah taala agar menemukan kita dengan jodoh yang baik. “Jodoh itu cerminan diri”. Itulah yang boleh kita ambil perhatian dengan berusaha mengejar takwa dan yakin dengan Allah Taala. Sesungguhnya Allah tidak pernah menzalimi hambanya melainkan hambanya menzalimi dirinya sendiri. Allah Taala telah menetapkan rezeki,jodoh dan ajal ketika kita di dalam kandungan lagi. Seterusnya, kita sebagai hamba Allah hendaklah bersabar dan meminta bantuan daripada Allah dengan cara sabar dan solat. Janganlah sekali-kali kita beranggapan bahawa apabila kita telah berkahwin, pasangan itu adalah hak milik kita buat selama-lamanya. Jika sesuatu itu bukan milik kita, kita berusaha sekuat apa pun, akan tetap tidak menjadi milik kita. Tetapi jika sesuatu itu memang milik kita, sesulit apa pun halangannya, ia tetap akan menjadi milik kita. Maka, berlapang dadalah sekiranya pasangan itu tidak mahu lagi bersama dengan kita, walaupun kita telah berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan rumah tangga itu. Jangan lupa bahawa Allah tidak pernah menzalimi hambanya dan Dia memberi satu-satu ujian itu mengikut kesanggupan hambanya. Bersangka baiklah dengan Allah, mungkin Allah mahu menjodohkan anda dengan jodoh yang lebih baik. Apabila Allah Taala mahu memberikan satu nikmat yang lebih baik kepada kita, maka dia akan menarik satu nikmat daripada hambanya. Berserah dirilah kepada Allah dan apa yang berlaku kepada kita pada waktu ini sebenarnya adalah yang terbaik untuk kita. Akhir sekali, jangan bersedih dan solusi untuk masalah kita adalah takwa bukannya kahwin